#5738: Kehebatan Imam al-Syafi’i Tentang Nasab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Syafi’i mempunyai pengetahaun yang mendalam terkait dengan nasab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka, tanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Lafaz Ahl al-Zikr yakni ‘orang yang mempunyai pengetahuan’ dalam ayat di atas  adalah bersifat umum, merangkumi al-Mafdhul dan al-Afdhal. Selain itu, di antara hujah mereka  yang lain ialah keputusan (kata putus) pada zaman sahabat iaitu dengan fatwa daripada setiap sahabat termasuklah daripada kalangan mereka yang mafdhul, dan perkara ini dianggap sebagai ijma‘ daripada mereka (para sahabat) akan keharusannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/87-88)

Murid Imam Syafi’i iaitu Ismail bin Yahya al-Muzani memberitahu kami: “Tatkala Imam al-Syafi‘i tiba di kota Mesir, seorang ulama bernama Ibn Hisyam, pengarang kitab al-Maghazi terkenal sebagai yang paling pakar dalam gharib dan syair Arab. Dikatakan kepadanya, “Pergilah kamu kepada Imam al-Syafi‘i.” Beliau tidak mahu.

Kemudian selepas beberapa ketika, disuruhnya dengan berkata, “Pergilah kamu kepada Imam al-Syafi‘i untuk berbincang dan muzakarah.” Kemudian beliau pergi untuk bermuzakarah berkaitan nasab Arab daripada kalangan lelaki. Selepas lama bermuzakarah, Imam al-Syafi‘i berkata: “Tinggalkanlah nasab kaum lelaki. Ini kerana kita semua sudah mengetahui dan menghafalnya. Mari kita bincang dan muzakarah berkenaan nasab kaum perempuan.” Apabila mereka mula menyebutnya, Ibn Hisyam lantas terdiam. Selepas pertemuan itu, Ibn Hisyam berkata: “Aku tidak pernah menyangka Allah menciptakan orang seperti ini.” Beliau juga mengakui dengan berkata, ucapan Imam al-Syafi‘i merupakan pakar dalam Bahasa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”