#5740: Kehebatan Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, benarkah murid-murid Imam Malik gerun kepadanya dan merasa takut dek kerana kehebatannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”.

(Surah Fathir:28)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)

Imam Malik mempunyai kehebatan yang luar biasa sehingga murid-muridnya berasa gerun tatkala ingin berjumpa dengannya. Dalam majlisnya, tiada siapa yang berani bercakap dan semuanya akan tertumpu kepada Imam Malik. Betapa beradabnya mereka seolah-olah sekiranya burung datang kepada mereka ia mampu bertenggek di atas kepala mereka. Pernah satu ketika khalifah al-Mahdi menjemputnya sedangkan ramai manusia dalam majlis tersebut seolah-olah tiada tempat. Tetapi apabila Imam Malik datang beliau dapat pergi sehingga menghampiri khalifah dan orang ramai memberi laluan kepadanya. Bahkan Imam al-Syafi‘i pernah berkata: Aku tidak pernah merasa gerun pada seseorang melebihi Imam Malik.

Dikatakan juga, para muridnya tidak berani bertanya kepadanya kerana berasa takut. Sifat tersebut jelas menunjukkan betapa eratnya hubungan Imam Malik dengan Tuhannya. Ini kerana sesiapa yang takutkan Allah pasti makhluk akan takutkan kepadanya.

Pemimpin seperti Malik memiliki kedudukan yang tinggi di kalangan penguasa dan raja-raja. Cukuplah untuk kita menyebut bahawa Khalifah Harun al-Rasyid pernah memeluk tanggungjawab besar – sebagai penguasa dunia – namun beliau duduk di hadapan Imam Malik bersama orang ramai untuk mendengar hadith Rasulullah. Harun juga merupakan salah seorang perawi dalam kitab al-Muwatta. (Lihat al-Imam Malik bin Anas Imam Dar al-Hijrah, hlm. 12)

Pada tahun 179 hijrah, Khalifah Harun al-Rasyid pergi mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan, dan kekal di dalam ihramnya sehinggalah dia mengerjakan haji pula. (Lihat Tarikh al-Khulafa’, hlm. 212)

Dalam perjalanan melakukan haji, khalifah meminta Imam  Malik untuk datang kepadanya dan ajarkan padanya al-Muwatta’. Lalu Imam Malik berkata: “Ilmu itu didatangi.”

Khalifah datang bertemu Imam Malik, lalu bersandar di dinding ketika hendak belajar. Lalu Imam Malik berkata: “Mengagungkan ilmu adalah tanda mengagungkan Rasulullah,” maka khalifah duduk dihadapan beliau, dan beliau mengajarnya. (Lihat Mu‘jam al-Mufassirin, 2/460)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”