#5742: Nisbah Kitab al-Fiqh al-Akbar kepada Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah penisbahan kitab al-Fiqh al-Akbar kepada Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Masalah ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama’. Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyebut antara lain, isu nisbah kitab al-Fiqh al-Akbar kepada Imam Abu Hanifah menjadi khilaf di kalangan ulama’ dan mereka tidak sepakat dalam masalah ini. Justeru, ia perlu kepada penelitian yang bersungguh. (Lihat Abu Hanifah wa Ara’uhu wa Fiqhuhu)

Ada yang menyatakan nisbah kepadanya amat lemah. Pendapat ini disandarkan kepada riwayat Hammad bin Abi Hanifah dan Abi Muti’ bin Abd Allah al-Balkhi. Kedua-duanya disebut sebagai tidak sahih daripada Abu Hanifah. Inilah yang dikemukakan oleh Dr Abd al-Aziz bin Ahmad al-Humaidi dalam kitabnya Bara’ah al-A’immah al-Arba’ah Min Masa’ili al-Mutakallimin al-Mubtadi’ah (hlm. 46-71).

Tetapi pendapat kedua, menyebut penisbahan kitab tersebut kepada beliau. Antaranya:

  • Imam Ibn Abi al-Izz dalam Syarh al-Tahawiyyah
  • Syeikh al-Islam dalam Dar’ Ta’arudh al-’Aql wa al-Naql
  • Ibn al-Qayyim dalam Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah
  • Imam Fakhr al-Islam al-Razi

Bahkan Ibn Taimiyyah menyebut, ia makruf dan masyhur dalam kalangan Ashab Abi Hanifah. Ini berdasarkan riwayat mereka daripada sanad Abi Muti’ al-Hakam bin Abdullah al-Balkhi. Ia dikatakan riwayat Hammad bin Abi Hanifah.

Menariknya kitab tersebut juga telah dibahaskan oleh para ulama’ seperti Ibn Qudamah dan lain-lain.

Kami berpendapat bahawa nisbah kitab al-Fiqh al-Akbar kepada Abu Hanifah adalah makruf dari kalangan kebanyakan ulama’ dan kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan nisbah itu sahih. Ini kerana dapatan kami daripada para ulama’ antaranya:

  • Syeikh Wahbi Ghawaji al-Albani dalam Muqaddimah Tahqiqnya bagi Syarah Mulla al-Qari ke atas kitab al-Fiqh al-Akbar menyebut: “Dan kitab al-Fiqh al-Akbar adalah karya Imam Abu Hanifah dan penulisannya.”
  • Begitu juga pendapat al-Imam Abd al-Qahir al-Baghdadi (meninggal dunia 429H) menyebut dalam kitabnya Usul al-Din (hlm. 308), yang antara lain berkata: “Sesungguhnya Abu Hanifah telah menulis kitab untuk membangkang pendapat al-Qadariyyah yang dinamakannya al-Fiqh al-Akbar.”
  • Imam Abu al-Muzaffar al-Isfirayini dalam al-Tabsir fi al-Din kitab al-’Alim wa al-Muta’allim antara lain menyebut, antara karya Abu Hanifah ialah kitab al-Fiqh al-Akbar yang telah dikhabarkan kepada kami oleh orang yang thiqah melalui jalan yang muktamad dan sanad yang sahih daripada Nasr ibn Yahya, daripada Abi Hanifah. Begitu juga yang dinyatakan dalam kitab al-Tabsir (hlm. 113).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”