#5743: Cara Wanita Haid Mengerjakan Amal Ibadah Semasa Umrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah cara lain untuk membolehkan wanita yang haid semasa umrah mengerjakan amal ibadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya haid itu merupakan suatu ketentuan Allah SWT terhadap wanita, yang juga menjadi halangan dari beberapa ibadah tertentu. Akan tetapi, mereka tetap boleh untuk perbanyakkan berzikir dan beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: ‘Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah’.”

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211)

Sekiranya wanita tersebut tidak mengerjakan tawaf, maka secara tidak langsung dia juga tidak dapat mengerjakan saie kerana jumhur ulama’ menetapkan tertib umrah dimulai dengan tawaf, dan kemudiannya diikuti dengan saie. Ini jelas sebagaimana dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ، فَطَافَ وَسَعَى بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW datang ke Makkah, lalu mengerjakan tawaf dan sa‘i di antara Safa dan Marwah.”

Riwayat al-Bukhari (1625)

Imam al-‘Imrani menyebutkan, saie tidak sah dilakukan kecuali selepas tawaf, kerana Nabi SAW ketika mana tiba di Makkah, Baginda mengerjakan tawaf qudum, kemudian solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, seterusnya melakukan saie antara Safa dan Marwah. (Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 4/303)

Oleh kerana wanita tersebut tidak dapat menyempurnakan umrahnya, maka antara ibadah yang dibenarkan baginya adalah berdoa kepada Allah SWT, berzikir, beristighfar, mendengar bacaan al-Quran dari para imam di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)