#5744: Murid-Murid Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kemukakan kepada kami, tokoh ulama’ yang pernah berguru dengan Imam Syafi’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Imam al-Syafi‘i mempunyai ramai murid. Hal ini kerana beliau banyak bermusafir, belajar serta mengajar dalam menyebarkan ilmunya. Dinyatakan di sini, sebahagian murid-murid Imam al-Syafi‘i di kota-kota Islam:

 

Pertama: Di Kota Makkah

  • Abu Bakar ‘Abdullah bin al-Zubir al-Asadi al-Makki al-Humaidi

Imam al-Humaidi, nama lengkapnya ialah Abu Bakar ‘Abdullah bin Zubair bin Isa bin Usamah al-Qurasyi al-Asadi al-Humaidi al-Makki. Beliau merupakan seorang al-Hafiz dan faqih serta Syeikh di Makkah. Beliau termasuk salah seorang ulama besar dalam mazhab al-Syafi‘i. Ketika hayatnya, beliau duduk belajar dalam majlis Imam al-Syafi‘i.

Antara gurunya yang lain ialah Sufyan bin ‘Uyainah, Muslim bin Khalid, Fudhail bin ‘Iyadh, Ibrahim bin Sa‘ad, dan al-Darawurdi. Beberapa muridnya yang menonjol seperti Imam al-Bukhari (yang meriwayatkan 75 hadith daripada al-Humaidi), Imam Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, al-Tirmizi, Abu Zur‘ah, Abu Hatim dan ramai lagi.

Beliau meninggal dunia di Makkah pada tahun 219 Hijrah. Imam Ahmad menyebut, “Al-Humaidi, bagi kami, adalah seorang ulama besar.” Al-Faswah menyatakan, “Aku belum pernah bertemu seseorang yang lebih (memiliki sifat) nasihat untuk Islam dan pemeluknya selain daripada al-Humaidi.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/616-621)

  • Abu al-Walid Musa bin al-Jarud

Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra (2/161) menyebutkan, beliau salah seorang ulama yang thiqah dan termasuk dalam kalangan ashab Imam al-Syafi‘i dan ulamanya.

Beliau meriwayatkan daripada Yahya bin Ma‘in dan Abu Ya‘qub al-Buwaiti. Manakala ulama yang meriwayatkan daripadanya pula ialah al-Za’farani, al-Rabi‘ dan Abu Hatim al-Razi.

Beliau seorang faqih lagi agung, menetap di Makkah dan berfatwa kepada orang ramai di atas Mazhab al-Syafi‘i. Abu ‘Asim menyebut: “Dirujuk kepadanya apabila berlaku percanggahan dalam riwayat.”

  • Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad al-Abbasi

Abu Ishaq Ibrahim merupakan salah seorang murid Imam al-Syafi‘i di Makkah. Beliau meninggal dunia di kota Makkah pada tahun 237 Hijrah.

 

Kedua: Di Kota Baghdad

Antara mereka yang mempelajari ilmu daripada Imam al-Syafi‘i di Kota Baghdad ialah:

  • Ahmad bin Khalid al-Khallal

Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (11/531) menyebutkan, beliau ialah Ahmad bin Khalid Abu Ja‘far al-Khallal. Seorang faqih besar, Abu Ja’far al-Baghdadi al-Khallal.

Beliau mempelajari ilmu dari Ishaq al-Azraq, Ibn ‘Ulayyah, Ibn ‘Uyainah, Syu‘aib bin Harb, Ma’n, Imam al-Syafi‘i dan ramai lagi. Antara yang belajar daripadanya ialah al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ahmad al-Abbar, Ja’far al-Firyabi, Umar al-Bujairi, al-Husain bin Idris dan lain-lain.

Abu Hatim al-Razi berkata: “Beliau seorang yang adil, thiqah dan benar.” Beliau meninggal dunia pada tahun 247 Hijrah.

  • Ahmad bin Sinan al-Qattan

Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (12/245) menyebutkan, beliau ialah Ahmad bin Sinan bin Asad bin Hibban al-Wasiti. Seorang tokoh ulama, al-Hafiz, al-Mujawwid, Abu Ja’far al-Wasiti al-Qattan. Beliau dilahirkan sekitar tahun 170 Hijrah lebih.

Beliau mengambil ilmu daripada Abu Mu‘awiyah al-Dharir, Waki‘ bin al-Jarrah, ‘Abd al-Rahman bin al-Mahdi, Yahya al-Qattan, Yazid bin Harun dan lain-lain. Manakala di antara yang belajar daripadanya ialah Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah, al-Nasa’i, Yahya bin Sa‘id, Ali bin Abdullah bin Mubassyir dan ramai lagi.

Ibn Abi Hatim berkata: Beliau adalah seorang tokoh ulama pada zamannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 256 Hijrah. Pendapat lain menyatakan 258 Hijrah dan ada yang berpendapat, tahun 259 Hijrah.

  • Imam Ahmad Ibn Hanbal

Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di kota Baghdad pada bulan Rabiul Awal, tahun 164H. Ada pendapat menyatakan, beliau dilahirkan pada bulan Rabiul Akhir seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin Ahmad dan Ahmad bin Abu Khaithamah.

Nama beliau ialah Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin ‘Abdillah bin Hayyan bin ‘Abdillah bin Anas bin ‘Auf bin Qasit bin Mazin bin Syaiban bin Zuhl bin Tha‘labah bin ‘Ukabah bin Sa‘b bin ‘Ali bin Bakr bin Wa’il bin Qasit bin Hathab bin Afsa bin Da‘ma bin Jadilah bin Asad bin Rabi‘ah bin Nizar bin Ma‘d bin ‘Adnan. Beliau digelar al-Mururi dan kemudian al-Baghdadi.

Keturunan Ibn Hanbal bertemu dengan keturunan Rasulullah SAW, iaitu Mazin bin Muad bin Adnan. Ibn Hanbal terkenal dengan nama datuknya, “Hanbal.”

Orang ramai memanggilnya dengan nama Ibn Hanbal, sedangkan Hanbal adalah datuknya. Sementara bapanya ialah Muhammad. Ini adalah kerana datuknya lebih masyhur daripada bapanya. Bapanya ialah seorang pejuang yang handal. Manakala datuknya merupakan seorang gabenor bagi wilayah “Sarkhas” dalam jajahan Khurasan pada zaman pemerintahan Umawiyyin. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/178; al-Thiqat, 8/18)

Imam al-Syafi‘i pernah memuji Imam Ahmad bin Hanbal dengan menyebut:

خَرَجْتُ مِنْ بَغْدَادَ وَمَا خَلَفْتُ بِهَا أَوْرَع وَلَا أَتْقَى وَلَا أَفْقَهُ وَلَا أَعْلَمُ مَنْ أَحْمَدُ ابْنُ حَنْبَل

Maksudnya:Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada  Ahmad bin Hanbal.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 5/272; Tabaqat al-Hanabilah, 1/40; Tarikh Baghdad, 6/99 dan Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, 1/143)

Terdapat sebuah kisah berkenaan mimpi Imam al-Syafi‘i tentang Imam Ahmad yang akan diuji. Kisah ini disebut dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir, seperti berikut: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada al-Rabi‘, katanya: “Imam al-Syafi‘i mengutusku dengan satu surat dari Mesir untuk diutuskan kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Lalu aku pergi menemuinya dan menyerahkan tulisan tersebut kepadanya. Beliau bertanya: ‘Adakah kamu telah membacanya?’ Aku menjawab: ‘Tidak.’ Lalu beliau mengambilnya dan membacanya. Kemudian air matanya bergenangan. Aku bertanya: ‘Wahai Abu ‘Abdillah, apakah kandungannya?’

Lalu beliau menjawab: ‘Imam al-Syafi‘i menyebut bahawa beliau melihat Rasulullah SAW di dalam mimpi. Lalu Baginda bersabda kepadanya, tulislah kepada Abu ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal dan sampaikan salamku kepadanya. Katakan kepadanya bahawa engkau akan diuji dengan ucapan khalq al-Quran, maka jangan kamu memenuhi panggilan mereka. Allah akan menaikkan kedudukanmu hingga hari Kiamat’.”

Al-Rabi‘ menyebutkan, lalu aku berkata: “Ia satu berita gembira. Beliau (Imam Ahmad) lalu membuka bajunya dan menyerahkannya kepadaku. Tatkala aku pulang kepada Imam al-Syafi‘i dan menceritakannya lantas beliau berkata: ‘Sesungguhnya aku bukanlah mahu menyusahkan kamu padanya. Akan tetapi rendamkanlah bajunya dalam air dan berikanlah ia padaku sehingga aku dapat mengambil berkat dengannya.  (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/395).

Walau bagaimanapun, kisah ini dinilai sebagai tidak sahih oleh al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (16/588). Ketika menyebut berkenaan riwayat hidup al-Rabi‘, beliau menyatakan: “Adapun apa yang diriwayatkan berkenaan Imam al-Syafi‘i mengutusnya ke Baghdad dengan sepucuk surat tulisannya kepada Ahmad bin Hanbal, maka kisah tersebut adalah tidak sahih.”

  • Ahmad bin Yahya bin Abdul Aziz al-Baghdadi

Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra (2/64) menyebutkan, beliau ialah Ahmad bin Yahya bin Abd al-‘Aziz al-Baghdadi Abu Abd al-Rahman al-Mutakallim. Beliau mempelajari ilmu dari Imam al-Syafi‘i dan al-Walid bin Muslim al-Thaqafi.

Manakala antara yang meriwayatkan daripadanya ialah Abu Ja’far al-Hadrami. Al-Daraqutni berkata: “Beliau adalah daripada kibar ashab al-Syafi‘i yang melaziminya di Baghdad.”

Zakariyya al-Saji berkata: Aku bertanya kepada Abu Daud al-Sijistani, “Siapakah ashab al-Syafi‘i?” Lalu dia menjawab: “Al-Humaidi, Ahmad, al-Buwaiti, al-Rabi’, Abu Thaur, Ibn al-Jarud, al-Za’farani, al-Karabisi, al-Muzani, Harmalah Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Yahya.”

  • Ishak bin Rahawaih

Dilahirkan pada tahun 161 Hijrah. Beliau mempelajari ilmu dari ramai tokoh di tempatnya. Kemudian, pada tahun 184 Hijrah, beliau telah bermusafir ke Iraq, Hijaz, Yaman dan Syam.

Di Syam, beliau telah mempelajari ilmu, antaranya dari: Fudhail bin Iyadh, Jarir bin Abd al-Hamid al-Razi, Sufyan bin ‘Uyaynah, Abd al-Rahman bin Mahdi, Abdullah bin Wahb, Al-Walid bin Muslim, Waki’ bin al-Jarrah, Yahya bin Sa’id al-Qattan, Sulaiman bin Harb, Yahya bin Adam dan ramai lagi. (Lihat Tarikh Madinat al-Salam, 7/362 dan Tahzib al-Kamal, 2/373-376)

Antara murid-muridnya ialah Muhammad bin Ishaq (anaknya), al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa’i, Abd al-Rahman al-Darimi, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, Abu al-Abbas al-Sarraj dan lain-lain. Beliau meninggal pada tahun 238 Hijrah.

  • Al-Harith bin Suraij al-Naqqal

Al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikh Baghdad menyebut: Beliau ialah al-Harith bin Suraij Abu Umar al-Naqqal. Berasal dari Khawarizmi. Beliau mengambil ilmu daripada Hammad bin Salamah, Hammad bin Zaid, Sufyan bin ‘Uyainah, Abd Allah bin Idris, Abd al-Rahman bin Mahdi dan ramai lagi.

Manakala antara yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Ahmad bin Abi Khaithamah, Abu Bakr bin Abu al-Dunya, Ibrahim bin Hasyim al-Baghawi dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 236 Hijrah.

  • Al-Hassan bin Muhammad bin al-Sobbah al-Za‘farani

Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (23/254) menyebut: Beliau adalah seorang tokoh ulama, al-‘allamah, syeikh para fuqaha dan ahli hadith, Abu Ali al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Baghdadi al-Za‘farani. Beliau dilahirkan pada tahun 170 Hijrah.

Beliau mengambil ilmu daripada Sufyan bin ‘Uyainah, Abu Mu’awiyah al-Dharir, Isma’il bin ‘Ulayyah, Ubaidah bin Humaid, Waki’ bin al-Jarrah, Abd al-Wahhab al-Thaqafi, Muhammad bin Abi ‘Adi, Yazid bin Harun, Hajjaj bin Muhammad, Abu ‘Abdillah al-Syafi‘i dan ramai lagi.

Antara yang belajar daripadanya ialah Imam al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa‘i, al-Qazwini, Zakariyya al-Saji, Abu al-Abbas bin Suraij, Imam al-A’immah Ibn Khuzaimah, Abu ‘Awanah al-Isfarayini, Umar bin Bujair, Abu al-Qasim al-Baghawi, Abu Muhammad bin Sa’id, Abu Bakar bin Ziyad, Muhammad bin Makhlad, al-Qadhi al-Mahamili, Abu Sa’id bin al-A’rabi dan ramai lagi. Imam al-Nasa’i berkata: “Beliau seorang yang thiqah.” Beliau meninggal dunia di Baghdad pada tahun 260 Hijrah.

  • Al-Husin bin Ali al-Karabisi

Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (23/75) menyebut: Beliau ialah seorang yang alim, seorang faqih di Baghdad, Abu ‘Ali al-Husain bin ‘Ali bin Yazid al-Baghdadi. Beliau mempelajari ilmu daripada Ishaq al-Azraq, Ma’n bin Isa, Yazid bin Harun, Ya’qub bin Ibrahim. Antara yang meriwayatkan daripadanya ialah ‘Ubaid bin Muhammad al-Bazzar, Muhammad bin Ali Fustuqah. Beliau adalah daripada lautan ilmu, seorang yang pintar dan cerdik serta fasih. Beliau meninggal dunia pada tahun 248 Hijrah. Pendapat lain menyebut pada tahun 245 Hijrah.

  • Al-Husin al-Qallas

Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad menyebut: Al-Husain al-Qallas, daripada ashab Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi‘i.

  • Sulaiman bin Daud Rahimahullah

Imam al-Zahabi dalam al-Siyar (20/134) menyebut: Beliau ialah Ibn al-Amir Daud bin Ali Ibn al-Bahr Abd Allah bin al-‘Abbas al-Syarif, seorang tokoh ulama’, al-Hafiz, Abu Ayyub al-Hasyimi al-Abbasi, daripada tokoh besar ulama’. Beliau mempelajari ilmu daripada Ibrahim bin Sa’d, Ismail bin Ja’far, ‘Abtar bin al-Qasim, Abd al-Rahman bin Abu al-Zinad, Sufyan bin ‘Uyainah dan lain-lain.

Manakala yang mempelajari ilmu daripadanya ialah Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Abd al-Rahim Sa’iqah, Abbas al-Dauri, Ibrahim al-Harbi, al-Harith bin Abi Usamah, Abu Muslim al-Kajji dan ramai lagi.

Al-Za’farani menyebut, Abu ‘Abdillah al-Syafi‘i berkata kepadaku: Aku tidak pernah melihat orang yang lebih cerdik daripada dua orang lelaki ini; Ahmad bin Hanbal dan Sulaiman bin Daud al-Hasyimi.

Beliau meninggal dunia pada tahun 219 hijrah.

  • Al-Qasim bin Sallam Abu Ubaid

Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (19/485) menyebut: Beliau adalah seorang tokoh ulama’, al-Hafiz, seorang mujtahid, yang menguasai pelbagai cabang ilmu, Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam bin Abdullah.

Beliau dilahirkan pada tahun 157 Hijrah. Beliau mengambil ilmu daripada Isma’il bin Ja‘far, Syarik bin ‘Abdullah, Husyaiman, Isma’il bin ‘Ayyasy, Sufyan bin ‘Uyainah, Abu Bakr bin ‘Ayyasy, Abd Allah bin al-Mubarak, Sa’id bin Abd al-Rahman al-Jumahiy, Ubaid Allah al-Asyja‘i, Ghundaran, Hafs bin Ghiyath, Waki’, Abd Allah bin Idris, ‘Abbad bin ‘Abbad, Marwan bin Mu’awiyah, ‘Abbad bin al-‘Awwam, Jarir bin Abd al-Hamid, Abu Mu’awiyah al-Dharir, Yahya bin al-Qattan, Ishaq al-Azraq, Ibn Mahdi, Yazid bin Harun dan ramai lagi.

 

Ketiga: Di Kota Mesir

Imam al-Baihaqi telah menyebut sebahagian murid-murid Imam al-Syafi‘i, sebagaimana disebut oleh al-Hafiz al-Mizi dan Ibn Hajar al-Asqalani. Antara mereka yang mengutip mutiara ilmu daripada Imam al-Syafi‘i di Kota Mesir ialah:

  • Abu Ya‘qub Yusuf bin Yahya al-Buwaiti

Pemimpin para fuqaha, sahabat Imam al-Syafi‘i yang mendampinginya dalam masa yang agak lama sehingga mendampingi rakan-rakan yang lain. Al-Buwaiti merupakan seorang Imam dalam ilmu, seorang yang zuhud, rabbani dan banyak bertahajud serta melazimi zikrullah. Imam al-Syafi‘i memujinya dengan berkata: “Tidak ada seorang pun dari sahabat-sahabatku yang lebih banyak ilmunya daripada al-Buwaiti. Beliau pernah diseksa kerana menolak pendapat yang mengatakan bahawa al-Quran itu adalah makhluk. Beliau sabar menghadapi ujian tersebut sehingga menemui ajal di dalam penjara. Semoga Allah SWT merahmatinya dengan rahmat yang luas. Amin.”

Imam al-Rabi’ bin Sulaiman berkata: “Al-Buwaiti sentiasa menggerakkan bibirnya menyebut Allah. Aku tidak pernah menemukan orang yang lebih menggunakan kitab Allah sebagai hujah selain al-Buwaiti. Aku lihat dia dinaikkan di atas seekor kuda dengan leher dan kaki diikat, yang diberi beban batu seberat 40 ritil.” Al-Buwaiti berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk dengan kun (jadilah!), maka makhluk itu pun jadi. Sehingga satu makhluk seakan-akan tercipta kerana makhluk lain. Jika aku dimasukkan ke dalam penjara, pasti aku akan mempercayai orang yang jujur dan aku akan mati dalam belenggu ini sehingga datang satu kaum yang mengetahui bahawa ia telah mati dalam keadaan seperti ini, segolongan manusia kerana masalah ini.” Al-Buwaiti meninggal dunia di penjara Iraq pada tahun 231 Hijrah.

  • Abu Ibrahim Ismail bin Yahya bin Ismail bin Amr bin Musali al-Muzani al-Misri

Imam yang sangat faham tentang agama, dari kalangan para ahli zuhud, murid dari Imam al-Syafi‘i. Beliau lahir pada tahun 175 Hijrah. Karangannya yang merupakan mukhtasar (ringkasan) dalam bidang fiqh memenuhi banyak negeri, yang kemudian dihuraikan oleh sejumlah imam besar. Bukan itu sahaja, bahkan dikatakan Mukhtasar al-Muzani turut dimiliki oleh setiap gadis sebagai di antara barang-barang simpanan milik mereka. Selain itu, Imam al-Syafi‘i pernah berkata: “Al-Muzani adalah pembela mazhabku.”

Imam al-Zahabi menyebutkan, ‘Amr bin Tamim al-Makki mengatakan, aku mendengar Muhammad bin Ismail al-Tirmizi berkata: Aku telah mendengar al-Muzani mengatakan hal berikut: Tauhid seseorang tidak benar sehingga dia mengetahui bahawa Allah SWT berada di atas Arasy dengan sifat-sifat-Nya. Aku (Muhammad bin Ismail) berkata: Contohnya? Dia menjawab: Sami’ (Maha Mendengar), Basir (Maha Melihat), ‘Alim (Maha Mengetahui)’. Al-Muzani meninggal dunia pada tahun 264 Hijrah.

  • Al-Rabi‘ bin Sulaiman bin Abdul Jabbar bin Kamil, Imam al-Muhaddith al-Faqih al-Kabir Abu Muhammad al-Muradi al-Misri al-Muazzin

Beliau adalah sahabat Imam al-Syafi‘i yang mengambil ilmunya, syeikh para muazzin di Masjid Fustat dan seorang yang diminta oleh para syeikh pada zamannya untuk membacakan serta menyampaikan ilmu. Al-Rabi’ lahir pada tahun 174 Hijrah.

Diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi‘i pernah berkata kepadanya: “Jika aku mampu memberimu makanan ilmu, nescaya aku memberikannya.” Imam al-Syafi‘i juga berkata: “Al-Rabi’ adalah orang yang banyak meriwayatkan tulisanku.” Beliau meninggal dunia pada tahun 270 Hijrah.

  • Abu ‘Abdillah Muhammad bin Abdullah bin ‘Abd al-Hakam bin A’yan bin Laith al-Imam Syeikh al-Islam al-Misri al-Faqih

Beliau lahir pada tahun 182 Hijrah. Beliau adalah ulama Mesir, sezaman dengan al-Muzani. Ketika Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakam menaiki kudanya, Imam al-Syafi‘i memandangnya, seraya berkata: “Alangkah baiknya jika aku mempunyai anak seperti dia, dan sementara aku menanggung hutang sebanyak 1000 dinar yang aku tidak dapat membayarnya.” Diriwayatkan bahawa berlaku perselisihan pendapat antara dia (Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakam) dengan al-Buwaiti kerana tampilnya Imam al-Syafi‘i di majlisnya untuk menggantikannya sehingga Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakam kembali ke mazhab Maliki.

  • Al-Rabi‘ bin Daud al-Jizi

Beliau merupakan salah seorang murid kanan Imam al-Syafi‘i. Meninggal dunia pada tahun 256 Hijrah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)