#5746: Pemurahnya Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Malik terkenal dengan sifat pemurahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Ibn Kathir berkata: Ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.

Thabit di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفضلُ الصَّدَقَةِ جَهدُ الْمُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177) Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّخِيُّ قَرِيبٌ مِنَ اللَّهِ، قَرِيبٌ مِنَ الْجَنَّةِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّاسِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّارِ. وَالْبَخِيلُ بَعِيدٌ مِنَ اللَّهِ، بَعِيدٌ مِنَ الْجَنَّةِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّاسِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّارِ. وَلَجَاهِلٌ سَخِيٌّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ عَابِدٍ بَخِيلٍ

Maksudnya: “Orang yang pemurah dekat dengan Allah SWT, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga, jauh daripada neraka. Sedangkan orang yang bakhil dan kedekut, jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga dan hampir dengan neraka. Orang jahil yang pemurah lebih dicintai oleh Allah SWT daripada ‘abid yang bakhil.”

Riwayat al-Tirmizi (1961)

Menjawab persoalan di atas, di dalam buku Sedekah Membawa kepada Kekayaan diceritakan:

Imam Malik adalah seorang ulama dan tokoh yang terkenal dan masyhur. Beliau mempunyai seorang anak murid yang amat pintar dan juga anak murid kesayangannya iaitu Imam al-Syafi‘i. Satu hari, ketika Imam al-Syafi‘i datang untuk menemui gurunya, Imam al-Syafi‘i melihat ada seekor kuda yang kelihatan amat gagah ditambat di hadapan masjid. Beliau pergi menghampiri kuda itu dan mengagumi kecantikan kuda tersebut.

Imam Malik melihat Imam al-Syafi‘i amat suka akan kuda tunggangannya yang beliau ikat di hadapan masjid. Lantas, segera Imam Malik datang kepada Imam al-Syafi‘i dan berkata, “Ini untukmu!” Dan terus memberi kudanya kepada Imam al-Syafi‘i.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”