#5755: Terlupa Berniat Umrah, Di Hotel Makkah Baru Teringat Belum Berniat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kalau Jemaah wanita terlupa untuk berniat umrah, di hotel Makkah baru teringat belum berniat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berihram atau berniat memulakan ibadah umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378)

Begitu juga berniat ihram di miqat termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.”

Riwayat al-Bukhari (1526)

Ibn al-Malak dalam menjelaskan, lafaz (لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ) bermaksud bukannya orang yang langsung tidak ingin melaksanakan haji atau umrah. (Lihat Syarh al-Masabih, 3/241)

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi, dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491).

Justeru, jika benar bahawasanya dia belum lagi berniat ihram sehinggalah dia sudah sampai di hotel di Makkah, maka dia dikira melepasi miqat tanpa berniat ihram sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah. Lalu jika dia segera berniat umrah di situ atau di tanah halal Makkah, maka dia dikenakan dam  — iaitu seekor kambing  kerana telah meninggalkan wajib umrah. Namun, jika dia kembali semula ke miqat tersebut atau yang setara dengan miqat tersebut (yang disebut dalam hadith Nabi SAW) seperti Qarnul Manazil dan Juhfah yang berdekatan dengan Makkah, maka tidak ada dam ke atasnya.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sekiranya seseorang ketika di miqat dalam keadaan berniat untuk melaksanakan manasik (umrah atau haji), sama ada segera atau masa akan datang, maka dia wajib berniat ihram di miqat itu dengan manasik tersebut (jika dia mampu) atau yang setara dengannya (miqat tersebut jika dia tidak mampu untuk pergi ke miqat yang sepatutnya). Sekiranya tidak, dia dikira berdosa dan wajib ke atasnya dam berdasarkan syaratnya (jika dia tidak kembali sebelum melakukan apa-apa manasik (umrah atau haji tersebut). (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”