#5760: Firasat Imam Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kekuatan firasat Imam Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.”

(Surah al-Hijr:75)

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

  • Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, ”’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”
  • Qatadah berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”
  • Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”
  • Ibn al-Qayyim menukilkan bahawa Mujahid berkata: “(Mereka adalah) para ahli firasat.”
  • Orang dahulu kala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Iyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad :30)

Sebahagian orang-orang soleh menyatakan, “Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ

Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”

Riwayat al-Tirmizi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843)

Ibn al-Athir berkata, “Ia memberi maksud dengan dua makna, pertama berdasarkan kepada zahir hadith ke atasnya. Maka, Allah mencampakkan kepada hati-hati auliya’ (wali-walinya). Justeru, mereka dapat mengetahui keadaan sebahagian manusia dengan jenis daripada karamah atau ketepatan dzan dan sangkaan yang kuat. Kedua, jenis dengan mengetahui tanda-tanda, pengalaman, rupa bentuk dan akhlak. Maka, akhirnya dia dapat mengetahui keadaan manusia.”

Al-Mubarakfuri berkata: “Takutlah firasat orang yang beriman. Perkataan firasat dengan baris bawah adalah nama dari ucapan kamu, ‘Aku berfirasat kepada si fulan dengan kebaikan.’ Ia terbahagi kepada dua:

Pertama, menunjukkan padanya oleh zahir hadith iaitu apa yang Allah campakkan pada hati wali-walinya. Akhirnya, mereka mengetahui demikian itu keadaan manusia sama ada daripada jenis karamah, benarnya sangkaan dan pemerhatian serta dzan dan tasabbut.

Kedua, ialah apa yang terhasil dengan bukti-bukti pengalaman dan akhlak yang diketahui dengannya keadaan manusia juga.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/441)

Al-Munawi berkata, “Takutlah kamu firasat orang yang beriman iaitu pengamatannya berdasarkan hati dan dhamir melalui cahaya-cahaya yang terang pada hatinya. Justeru, maka berlakulah tajalli baginya dengan hakikat-hakikat. Maka, sesungguhnya orang yang berilmu itu melihat dengan cahaya Allah melalui mata hatinya yang disinari dengan cahaya Allah.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/31)

Abu Yusuf merupakan di antara ashab Abu Hanifah yang kanan. Beliau meriwayatkan hadith daripada al-A‘masy, Hamam bin ‘Urwah, Muhammad bin Ishaq, Yahya bin Sa‘id dan ramai lagi. Manakala di antara ulama yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Muhammad bin al-Hasan, Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma‘in.

Ali bin al-Ja‘d menyatakan, aku pernah mendengar beliau menyebutkan, bapaku meninggal dunia ketika aku masih kecil. Jadi, ibuku menghantarku kepada Qassar. Akan tetapi aku pergi ke halaqah Abu Hanifah dan duduk di dalamnya. Ibuku mengikutiku lalu menarik tanganku keluar dari halaqah tersebut dan membawaku kepada (majlis) Qassar. Kemudian, aku menyelisihi ibuku dalam hal itu dan tetap pergi ke majlis Abu Hanifah.

Apabila perkara tersebut berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama, ibuku berkata kepada Abu Hanifah: “Sesungguhnya budak ini adalah seorang anak yatim yang tidak memiliki apa-apa kecuali makanan yang aku berikan kepadanya daripada hasil pekerjaanku memintal benang, namun kamu telah menjadikannya derhaka kepadaku.” Lalu Abu Hanifah berkata kepadanya: “Diamlah engkau, wahai orang yang semberono! Dia sekarang sedang belajar ilmu. Suatu hari nanti, dia akan menjadi seseorang yang mampu makan faluzaj (sejenis manisan yang mewah) dengan minyak kacang pistacio di piring-piring yang terbuat daripada batu firus.” Namun ibu Abu Yusuf (tidak mempercayainya), sebaliknya berkata kepada Abu Hanifah: “Engkau seorang tua yang telah gila.”

Abu Yusuf meneruskan lagi ceritanya, ketika mana aku dilantik sebagai seorang qadhi — (menurut Ibn Kathir) dan beliau adalah orang pertama yang diangkat sebagai qadhi oleh al-Hadi dan juga orang pertama yang mendapat gelaran Qadhi al-Qudhah. Selain itu, beliau turut dikenali sebagai Qadhi Qudhah al-Dunya kerana beliau akan mengadili dalam semua wilayah yang diperintah oleh khalifah. — suatu hari, semasa aku berada di sisi Khalifah al-Rasyid, dihidangkan kepada mereka faluzaj yang diletakkan di atas piring yang terbuat daripada batu firus. Kemudian, khalifah berkata kepadaku: “Makanlah manisan ini kerana makanan ini tidak selalu dibuatkan untuk kita.” Maka, aku bertanya: “Apakah nama makanan ini, wahai Amirul Mukminin?” Khalifah menjawab: “Ini ialah faluzaj.”

Abu Yusuf meneruskan lagi ceritanya, aku pun tersenyum. Maka, khalifah bertanya: “Apakah yang membuatmu tersenyum?” Aku menjawab: “Tidak ada apa-apa, semoga Allah menjaga Amirul Mukminin.” Khalifah berkata lagi: “Beritahulah kepadaku.” Maka, aku pun menceritakan kisah tersebut. Khalifah pun berkata: “Sesungguhnya ilmu memberi faedah dan meninggikan kedudukan seseorang di dunia dan akhirat.” Kemudian Khalifah berkata lagi: “Semoga Allah merahmati Abu Hanifah, kerana beliau dapat melihat dengan mata akalnya apa yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/180).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”