#5762: Niat Ihram di Masjid Nabawi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terang kepada kami pendapat Imam Malik berkenaan dengan isu niat ihram dari Masjid Nabawi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya: “Aku melihat Nabi SAW melontar dalam keadaan baginda berada di atas tunggangannya pada hari penyembelihan dan baginda bersabda:

لِتَأْخُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ حَجَّتِي هَذِهِ

Maksudnya:Ambilah manasik kamu (daripadaku), sesungguhnya aku tidak mengetahui mungkin aku tidak lagi melakukan haji selepas pada haji ini.”

Riwayat Muslim (1297)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya:Wahai manusia, ambillah daripadaku manasik-manasik kamu, sesungguhnya aku tidak mengetahui, aku tidak lagi melakukan haji selepas pada tahun ini.

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Mulla Ali al-Qari menyatakan bahawa maksud “ambillah daripadaku manasik-manasik kamu” membawa maksud belajarlah daripada perbuatanku, amalkanlah dan ajarkanlah kepada manusia yang lain. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1815)

Dinukilkan dalam kitab al-I‘tisam (1/100), bahawa Malik bin Anas ditanya oleh seorang lelaki mengenai dari mana patut dia berniat ihram? Lalu Imam Malik menjawab: “Dari Zulhulaifah yang juga merupakan tempat Rasulullah berniat ihram.” Lelaki itu berkata lagi: “Sesungguhnya aku mahu berihram dari masjid yang berhampiran dengan kubur (yakni Masjid Nabawi).” Imam Malik menjawab: “Jangan lakukan kerana aku takut kamu akan ditimpa fitnah.” Lalu lelaki itu bertanya: “Fitnah apa? Ia hanya jarak yang aku tambah sahaja.” Imam Malik menjawab: “Fitnah apa lagi yang lebih besar, apabila engkau mendahului bagi memperoleh kebaikan dan kelebihan yang Rasulullah SAW sendiri tahan daripada mendapatkannya? Sesungguhnya Allah SWT berfirman:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Nur: 63)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”