#5764: Tawaf Wada’ Jika Pergi ke Taif

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perlu melakukan tawaf wada jika pergi ke Taif?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara ringkasnya, golongan yang diwajibkan melakukan tawaf wada‘ ialah:

  • Orang yang akan bermusafir meninggalkan Makkah pada jarak yang mengharuskannya qasar solat iaitu dalam kadar dua marhalah.
  • Orang yang akan meninggalkan Makkah dan bermukim di luar Tanah Haram, sekalipun jaraknya kurang dari dua marhalah.

Oleh itu, sesiapa yang hendak keluar meninggalkan Makkah bagi tujuan menziarahi Taif (melalui mana-mana laluan) hendaklah melakukan tawaf wada‘ kerana jarak perjalanannya melebihi dua marhalah. Ini juga adalah resolusi yang telah diputuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-35.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sesiapa yang telah keluar meninggalkan Makkah tanpa melakukan tawaf wada‘, maka dia telah berdosa dan wajib ke atasnya untuk berpatah balik bagi melakukan tawaf tersebut. Sekiranya dia berpatah balik sebelum melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat lalu melakukan tawaf, maka dia tidak dikenakan dam. Akan tetapi, sekiranya dia telah melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat, wajib ke atasnya dam sekalipun dia telah berpatah balik untuk melakukan tawaf wada‘. Demikianlah juga hukumnya bagi sesiapa yang terlupa untuk melakukan tawaf wada‘ dan telah keluar meninggalkan Makkah, dia hendaklah berpatah balik untuk melakukannya. Sekiranya jaraknya kurang daripada jarak yang mengharuskan qasar solat, maka tiada dam dikenakan ke atasnya dan jika tidak — yakni melebihi jarak yang mengharuskan qasar solat — maka diwajibkan dam ke atasnya sekalipun dia telah melakukan tawaf wada‘. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”