#5766: Surah al-Kafirun: Makkiyyah atau Madaniyyah?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, surah al-Kafirun sifatnya al-Makkiyyah atau Madaniyyah, dan intipatinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Surah al-Kafirun merupakan salah satu surah Makkiyyah, yakni diturunkan sebelum berlakunya penghijrahan umat Islam dari kota Makkah ke Madinah. Surah ini turun selepas Surah al-Ma‘un dan Surah al-Fil. (Lihat Basa’ir Zawi al-Tamyiz, 1/548; al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/580)

Intipati Surah al-Kafirun ini berkisarkan pemurnian tauhid dan pembebasan daripada unsur syirik, sebagai sebuah pengisytiharan bahawa Rasulullah SAW dan umat Islam keseluruhannya berlepas diri daripada sebarang bentuk amal ibadah yang dilakukan oleh orang-orang kafir, iaitu dengan tidak menyekutukan Allah SWT dengan sembahan selain-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/437).

Meneliti kandungan surah ini, dapat dirumuskan bahawa objektif utama yang dijulang adalah pengisytiharan tentang keesaan Allah SWT serta pengecualian diri dari kekufuran yang dilakukan kaum Musyrikin. Dari sudut yang berbeza, surah ini menafikan ideologi pluralisme dalam beragama kerana tidak wujud sebarang toleransi dalam isu akidah. Allah SWT mendidik Rasul-Nya agar menolak sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh masyarakat Arab-Quraisy ketika awal pensyariatan Islam.

Menurut Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur, surah ini diturunkan kepada Rasulullah SAW setelah berlakunya rundingan antara pemuka Quraisy yang diwakili oleh al-Aswad bin al-Muttalib, al-Walid bin al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan al-‘As bin Wa’il. Mereka menawarkan solusi kepada kemelut pertembungan kepercayaan antara agama Islam dan fahaman Jahiliyyah, dengan cara mereka mengadakan persetujuan untuk menyembah Allah SWT selama satu tahun, sekiranya Rasulullah SAW bersetuju untuk menyembah berhala pada tahun berikutnya. Maka turunlah surah ini sebagai penegasan yang tidak membuka sebarang ruang diplomasi dalam permasalahan akidah. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/580).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”