#5768: Adakah Berhak Bagi Isteri Menuntut Upah Menyusukan Anak daripada Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya  saya ada membaca artikel yang menyatakan seorang isteri berhak untuk meminta upah susuan. Pada hematnya seorang suami yang telah sempurnakan nafkah isteri dan anak (keperluan bayi seperti lampin pakai buang, makanan dan vitamin tambahan) adakah wajar seorang isteri itu minta upah yang demikian. Apakah kadar sesuai asas upah susu demikian jika diambil kira suami itu hanyalah seorang yang bekerja biasa sahaja seperti tukang sapu, buruh binaan dan sebagainya. Wallahualam. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui. (Lihat Kamus Dewan hlm. 1553)

Penyusuan dikenali dengan ridha’ (الرِّضَاع) atau radha’ (الرَّضَاع) dan dimaksudkan dengan radh’an (رَضْعًا), ridha’an (رِضْعًا), dan radha’an (رَضَاعًا) iaitu menghisap susu, ardha’ah (أَرْضَعَة) dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.

Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:

Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 233)

Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi,  3/160)

Firman Allah SWT

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani idahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya, kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya, dan berundinglah di antara (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq: 6)

Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/168)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebahagiaa ulama menyatakan bahawa jika seorang isteri meminta bayaran dari suaminya kerana menyusukan anak-anak, maka suami wajib memberikan upah  tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada pandangan Mazhab Hanbali. Mereka berdalilkan dengan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya.

(Surah al-Talaq: 6)

Namun apa yang sahihnya adalah jika seorang isteri berada dalam perlindungan suaminya, tidak dibenarkan baginya untuk meminta bayaran sebagai ganti menyusukan anak-anaknya, kerana itu adalah kewajipan baginya, dan pada masa itu dia hanya mempunyai hak untuk mendapat nafkah sahaja. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah: 233)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan hal keadaan seorang isteri yang layak untuk menuntut upah kerana menyusukan anak adalah sebagaimana berikut:

  • Menurut Mazhab Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali, seorang ibu tidak layak menerima bayaran atas penyusuan susu ketika dalam perkahwinan atau semasa dalam iddah selepas talak raj’i, kerana suami bertanggungjawab untuk memberikan nafkah kepadanya. Oleh itu, dia tidak layak untuk mendapat nafkah tambahan sebagai ganti penyusuan susu, agar tanggungjawab nafkah dan bayaran tidak bertindih. Yang demikian tidak dibolehkan kerana nafkah yang wajib diberikan oleh suami telah mencukupi.

Maliki juga bersetuju dengan pandangan ini jika penyusuan susu adalah kewajipan bagi ibu, yang merupakan keadaan yang lazim. Namun, jika penyusuan susu bukanlah kewajipan bagi ibu, seperti dalam kes penyusuan susu oleh wanita yang berasal dari keturunan bangsawan, maka dia layak menerima bayaran atas penyusuan susu tersebut.

  • Ibu berhak menerima bayaran atas penyusuan mengikut kesepakatan para ulama selepas berakhirnya perkahwinan dan iddah, atau semasa iddah kematian.
  • Ibu berhak menerima bayaran atas penyusuan susu semasa iddah selepas talaq bain menurut pandangan yang lebih sahih di kalangan sebahagian ulama Hanafi, kerana dia dianggap seperti orang asing. Begitu juga dalam mazhab Maliki. (Lihat Fiqh al-islami wa Adillatuhu, 10/278)

Selain itu, pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh Islam Ibn Taimiyyah: Jika seorang wanita berada di bawah tanggungan suaminya, maka yang dia miliki hanyalah hak untuk mendapat nafkah sahaja, dan tidak berhak untuk meminta bayaran. (Lihat Durus Fiqhiyyah oleh al-Luhaimid, 4/383)

Justeru, berdasarkan pandangan ulama sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa isteri yang menyusukan anak tidak berhak untuk menuntut sebarang bayaran daripada suami kecuali setelah berlakunya penceraian. Hal ini kerana isteri masih di bawah tanggungan suami dan menerima nafkah daripadanya. Selain itu, tanggungjawab utama isteri adalah untuk menyusukan anak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”