#5772: Menanam Rambut yang Dipotong atau Gugur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kuku yang dipotong, dan begitu juga rambut yang gugur atau dipotong, adakah perlu ditanam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, terdapat lima perkara yang menjadi fitrah bagi setiap manusia sebagaimana hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ، أَوْ خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Fitrah itu lima perkara; – atau beliau berkata: lima perkara termasuk daripada fitrah; –  berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong  misai.”

Riwayat al-Bukhari (5889) dan Muslim (257)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa bilangan yang disebutkan itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana dalam hadith lain dinyatakan bilangan yang lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/337).

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian ulama berpendapat bahawa disunatkan dan dianjurkan untuk menanam dan menimbus di tanah rambut dan kuku yang dipotong. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa sunat untuk menanam dan menimbus dalam tanah segala rambut dan kuku yang dipotong sebagaimana diriwayatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh Ibn Umar dan disepakati oleh para ulama mazhab kami. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/289-290).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa disunatkan untuk menanam rambut dan kuku yang dipotong dan begitu juga darah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/476). Syeikh Zakariyya al-Ansari menjelaskan lagi, disunatkan menanam rambut tersebut sebagai penghormatan kepadanya. (Lihat Asna al-Matalib, 6/232).

Selain daripada itu, Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya, al-Mughni (1/146) menyatakan, disunatkan menanam kuku yang dipotong dan juga rambut berdasarkan riwayat daripada Mil binti Misyrah al-Asy‘ariyyah, di mana beliau berkata:

رَأَيْتُ أَبِي يُقَلِّمُ أَظْفَارَهُ، وَيَدْفِنُهُ وَيَقُول: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَل ذَلِكَ

Maksudnya: “Aku melihat bapaku memotong kukunya, kemudian dia menanamnya dan berkata: ‘Beginilah yang aku lihat Nabi SAW lakukan.’

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (762). Selain itu, pada bahagian nota kaki dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/21) dinyatakan, hadith seperti ini turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Qasim, Ibn al-Sakan dan lain-lain. Sanadnya dinilai sebagai dha‘if jiddan (tersangat lemah), dan inilah seperti mana yang disebutkan dalam kitab al-Isabah (3/421) oleh Ibn Hajar.

 Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami katakan bahawa kuku dan rambut adalah sebahagian daripada anggota badan yang sentiasa tumbuh dan panjang. Justeru, dianjurkan bagi kita untuk memotongnya dan memastikannya rapi serta kemas kerana ia termasuk dalam Sunnah.

Selain itu, kami juga berpendapat bahawa kuku dan rambut yang dipotong turut dianjurkan dan disunatkan untuk ditanam kerana ia lebih menepati anjuran Islam dalam menjaga kebersihan persekitaran, di samping sebagai penghormatan kepadanya kerana ia sebahagian daripada anggota manusia yang dihormati. Bahkan dengan menanamnya juga dapat mengelakkan kemungkinan penggunaan bahan-bahan tersebut disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak elok seperti perbuatan jahat sihir, menyambung rambut dan lain-lain.

Sekalipun begitu, jika rambut yang gugur atau dipotong dan juga kuku yang dipotong tidak ditanam di dalam tanah, sebaliknya ia hanya dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah atau ke tempat-tempat yang sesuai, maka perbuatan itu adalah tidak mengapa dan diharuskan. Akan tetapi sebaik-baiknya kita merujuk kepada sunnah Rasulullah SAW dan juga salafussoleh yang menanam kuku dan rambut kerana di sana mungkin ada hikmah yang tersembunyi dan tidak diketahui.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”