Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah seorang muslim masuk gereja untuk menghadiri perkahwinan kawan yang beragama kristian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”
(Surah Al-Mumtahanah: 8)
Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)
Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asalnya memasuki gereja atau rumah ibadah agama lain adalah perkara yang diperselisihi dikalangan ulama. Kami nyatakan sepertimana berikut:
Pandangan pertama: Diharamkan bagi muslim memasuki gereja. Ini merupakan pandangan ulama Hanafi dan Syafi’i. Ulama Syafi’i mengikat pengharaman tersebut dengan adanya gambar-gambar yang digantung manakala ulama mazhab Hanafi mengharamkannya secara mutlak.
Imam al-Ramli menyatakan bahawa: gereja adalah tempat ibadah orang-orang Yahudi, dan al-Bi’ah tempat ibadah bagi orang-orang Nasrani, ia merupakan tempat-tempat kufur, kerana tempat-tempat tersebut adalah tempat tinggal bagi syaitan. Kita dilarang masuk ke dalamnya ketika mereka menghalang kita daripada memasukinya. Begitu juga dilarang jika terdapat gambar yang diagung-agungkan di dalamnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 2/63)
Disebutkan dalam al-Bahr al-Raiq (5/121): Tidak dibolehkan mendirikan Bi’ah dan gereja dalam Dar al-Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
لَا إِخْصِاءَ فِي الإِسْلَامِ، وَلَا بُنْيَانَ كَنيسَةٍ
Maksudnya: Tiada kembiri dalam islam dan tiada pembinaan gereja
Riwayat al-Baihaqi (20287)
Pandangan kedua: Makruh seorang muslim memasuki gereja. Ini merupakan pandangan ulama Hanbali dan sebahagian daripada mereka mengikat hukum makruh tersebut sekiranya terdapat gambar-gambar dalam gereja.
Syeikh Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa: Pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para al-Ashab adalah Makruh memasuki gereja yang terdapat padanya gambar-gambar. Inilah pandangan yang tepat yang tidak ada keraguan. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/327)
Mereka berdalilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا رَأَى الصُّوَرَ فِي الْبَيْتِ لَمْ يَدْخُلْ حَتَّى أَمَرَ بِهَا فَمُحِيَتْ
Maksudnya: Nabi SAW ketika melihat gambar-gambar di ka’abah Baginda tidak masuk sehinggalah merintahkan untuk dihapus lalu gambar tersebut dihapuskan.
Riwayat Bukhari (3352)
Pandangan Ketiga: Diharuskan memasuki dalam gereja. Ini merupakan pandangan sebahagian ulama Hanbali.
Al-Mardawi menyatakan dalam kitabnya al-Insaf bahawa: Dibolehkan untuk memasuki bi’ah dan gereja, serta melaksanakan solat di dalamnya, tanpa makruh, menurut pendapat yang sahih dalam mazhab. (Lihat al-Insaf fi ma’rifah al-Rajih, 3/313 )
Mereka berdalilkan berdasarkan apa yang disebut dalam syarat-syarat Umar kepada Ahli zimmah ialah mereka boleh memperluaskan gereja-gereja bagi membolehkan orang Islam masuk untuk bermalam di dalamnya dan membolehkan orang lalu lintas dengan binatang mereka. (Lihat al-Mughni, 8/113)
Berbalik kepada soalan yang dibangkitkan kami berpandangan bahawa tidak diharuskan bagi umat Islam menghadiri majlis perkahwinan di gereja sekiranya jelas kehadiran dalam majlis tersebut membawa kepada kemungkaran dan perbuatan yang dilarang, seperti pemakaian yang tidak sesuai, pergaulan bebas, penggunaan alat muzik, nyanyian, dan sebagainya. Keadaan ini semakin teruk jika terdapat amalan keagamaan yang bertentangan, penyelewengan, atau perbuatan yang tidak benar dari pihak gereja tersebut.
Firman Allah SWT:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.
(Surah al-Nisa: 140)
Namun jika diyakini bahawa majlis perkahwinan tersebut tidak mengandungi perkara-perkara mungkar, adalah diharuskan untuk menghadirinya. Bahkan sunnah untuk memenuhi jemputan, sekiranya bertujuan untuk dakwah dan dengan harapan melembutkan hati mereka untuk menerima Islam. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli: Tidak wajib untuk memenuhi permintaan seorang zimmi, tetapi adalah disunatkan jika dijangkakan dia akan memeluk Islam, atau jika dia adalah saudara, atau jiran. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, 6/371)
Sebagai kesimpulannya, kami ingin menyatakan bahawa menghadiri majlis perkahwinan bukan Islam di gereja adalah dibenarkan selagi tidak terdapat unsur kemungkaran dan dengan tujuan untuk menjaga hubungan baik dengan kenalan bukan Islam. Namun, jika terdapat ritual-ritual dalam majlis tersebut yang bertentangan dengan syariah, maka tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk menghadirinya. Tindakan ini bertujuan untuk memelihara aqidah dan mematuhi batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam