#5775: Fadilat Surah al-Kafirun

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato Seri terangkan kepada kami beberapa fadilat Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pemerhatian dilakukan kepada kitab-kitab yang menyenaraikan fadha’il atau kelebihan surah-surah dalam al-Quran, dan didapati terdapat beberapa riwayat sahih yang menerangkan fadha’il bagi keseluruhan Surah al-Kafirun ini. Fadha’il surah ini merangkumi pemilihan Rasulullah SAW untuk membacanya di dalam solat Baginda serta pembacaannya pada waktu-waktu tertentu. Antara hadith-hadith tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلاً قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ، فَقَرَأَ فِي الرَّكْعَةِ الأُولَى: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} حَتَّى انْقَضَتِ السُّورَةُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلى الله عَلَيه وسَلم: هَذَا عَبْدٌ عَرَفَ رَبَّهُ، وَقَرَأَ فِي الآخِرَةِ: {قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ} حَتَّى انْقَضَتِ السُّورَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلى الله عَلَيه وسَلم: هَذَا عَبْدٌ آمَنَ بِرَبِّهِ، فَقَالَ طَلْحَةُ: فَأَنَا أَسْتَحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَاتَيْنِ السُّورَتَيْنِ فِي هَاتَيْنِ الرَّكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Seorang lelaki berdiri dan menunaikan solat sunat subuh dua rakaat. Beliau membaca di rakaat pertama {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} sehingga selesai surah. Nabi SAW bersabda: ‘Hamba ini mengenali Tuhannya.’ Lelaki itu membaca di rakaat akhir dengan  {قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ} sehingga selesai surah. Rasulullah SAW bersabda: ‘Hamba ini beriman dengan Tuhannya.’ Talhah R.A berkata: ‘Aku suka untuk membaca kedua-dua surah ini pada dua rakaat solat tersebut’.”

Riwayat Ibn Hibban (2461)

Begitu juga dalam hadith Farwah bin Naufal, dari bapanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَأْ: “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” ثُمَّ نَمْ عَلَى خَاتِمَتِهَا، فَإِنَّهَا بَرَاءَةٌ مِنَ الشِّرْكِ

Maksudnya: “Bacalah {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} kemudian tidurlah setelah selesai membacanya, kerana ia adalah penyelamat daripada syirik.”

Riwayat Abu Daud (5055)

Dalam hadith lain daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Juraij R.A, katanya:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ يُوتِرُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَتْ: كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى بِـ {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى}، وَفِي الثَّانِيَةَ بِـ {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}، وَفِي الثَّالِثَةِ بِـ {قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ}، وَالْمُعَوِّذَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku bertanya ‘Aisyah Ummu al-Mukminin R.Anha tentang surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW dalam solat witir. Beliau berkata: Baginda membaca di rakaat pertama: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى}, dan di rakaat kedua: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}, dan di rakaat ketiga {قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ} dan al-mu‘awwizatain.”

Riwayat Ahmad (25906)

Daripada Abu Hurairah R.A berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ: ﴿قُلْ يا أَيُّها الْكافِرُونَ﴾، وَ﴿قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca dalam dua rakaat solat Subuh: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} dan {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ}.”

Riwayat Muslim (726)

Disebutkan juga dalam hadith Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ، وَكَانَ يَقُولُ: نِعْمَ السُّورَتَانِ هُمَا، يُقْرَأُ بِهِمَا فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ: {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ}

Maksudnya: “Rasulullah SAW solat dua rakaat sebelum solat subuh, Baginda bersabda: Sebaik-baik dua surah iaitu yang dibacakan ketika dua rakaat solat sunat Subuh: {قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ} dan {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ}.”

Riwayat Ibn Majah (1150)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”