#5776: Melakukan Maksiat Sebagai Pendorong Untuk Beristighfar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum sengaja melakukan maksiat, supaya dengan itu kita terdorong untuk beristighfar lebih banyak? Kadang-kadang, kita malas hendak beristighfar kerana terasa diri tidak banyak melakukan dosa.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Beristighfar memohon keampunan sangatlah dianjurkan oleh syara‘, bahkan melazimi istighfar ini disifatkan sebagai ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ini disebutkan dalam firman-Nya:

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Bersegeralah kamu bagi mendapatkan keampunan daripada Tuhan dan syurga yang keluasannya melebihi langit dan bumi. Ia disediakan khas bagi orang yang bertakwa.”

(Surah Ali ‘Imran: 133)

Sebagai seorang Mukmin, kita sebaiknya memperbanyakkan memohon keampunan meskipun kita tidak melakukan kesilapan, dan beginilah sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Dalam hadith al-Aghar bin Yasarf al-Muzani R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّها النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ فِي اليَوْمِ إِلَيْهِ مِئَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah, sesungguhnya aku bertaubat sebanyak 100 kali dalam sehari.”

Riwayat Muslim (2702)

Berniat untuk melakukan dosa dengan meletakkan azam akan memohon keampunan sesudah itu, ini dibincangkan oleh ulama’ dalam perbahasan taswif al-taubah (تَسْوِيفُ التَّوْبَةِ) atau melengah-lengahkan taubat. Syeikh ‘Uthman al-Khamis menyebutkan 2 musibah yang mungkin berlaku:

  • Pertama: Boleh jadi orang ini akan meninggal terlebih dahulu sebelum sempat dia beristighfar memohon keampunan.
  • Kedua: Boleh jadi dia tidak bertaubat, sebaliknya berterusan melakukan dosa, bahkan melakukan dosa lain yang lebih teruk.[1]

Oleh yang demikian, Allah SWT memperingatkan di dalam kitab-Nya:

وَأَنِيبُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا۟ لَهُۥ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (٥٤) وَٱتَّبِعُوٓا۟ أَحْسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ بَغْتَةًۭ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ (٥٥) أَن تَقُولَ نَفْسٌۭ يَـٰحَسْرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِى جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّـٰخِرِينَ (٥٦) أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ ٱللَّهَ هَدَىٰنِى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ (٥٧) أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى ٱلْعَذَابَ لَوْ أَنَّ لِى كَرَّةًۭ فَأَكُونَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ (٥٨)

Maksudnya: “Dan kembalilah kepada Tuhan kamu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datangnya azab kepadamu kerana ketika itu kamu tidak lagi akan diberikan pertolongan. Dan ikutilah sebaik-baik panduan iaitu al-Quran yang telah diturunkan daripada Tuhan kamu, sebelum datangnya azab secara mengejut sedangkan kamu tidak menyedarinya. Supaya tidak ada seorang pun yang akan menyesal dengan berkata, ‘Alangkah besar penyesalanku kerana mengabaikan perintah Allah dan sesungguhnya aku dahulu dalam kalangan orang yang mempersendakan agama-Nya’. Atau supaya tidak ada yang akan berkata: ‘Kalaulah Allah beri hidayah kepadaku tentu aku menjadi orang yang bertakwa’. Atau supaya tidak ada yang akan berkata ketika melihat azab neraka: ‘Kalaulah aku dapat kembali semula ke dunia tentu aku akan menjadi orang yang sentiasa melakukan kebaikan’.”

(Surah al-Zumar: 54-58)

Allah SWT memperingatkan agar tidak terjebak dalam harapan dan angan-angan palsu serta penyesalan pada waktu segala harapan dan penyesalan tersebut tidak berguna lagi. Para pelaku maksiat yang lalai dan tidak sempat bertaubat akan mengalami tiga keadaan di akhirat kelak:

Pertama: Menyesal dan hanya boleh berkata: “Sungguh sayang dan betapa aku menyesal di atas semua kelalaianku dalam menjalankan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT, mengikuti al-Quran dan mengamalkannya. Apa yang aku lakukan dulu di dunia adalah mengolok-olok dan meremehkan agama Allah SWT, kitab dan Rasul-Nya serta orang beriman. Aku sama sekali tidak meyakini dan mengimani semua itu.”

Kedua: Menggunakan alasan tidak mendapat hidayah dan berkata: “Seandainya Allah memberiku petunjuk kepada agama-Nya, pasti aku termasuk dalam kalangan orang yang takut kepada Allah, meninggalkan syirik dan menjauhi maksiat.”

Ketiga: Bercita-cita untuk kembali semula ke dunia dan berkata: “Seandainya aku boleh kembali lagi ke dunia, pasti aku akan menjadi orang yang beriman kepada Allah, mengesakan-Nya dan beramal baik sebanyak mungkin.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/271; Safwah al-Tafasir, 3/1009)

al-Izz bin ‘Abd al-Salam mengatakan, memohon keampunan kepada Allah SWT ini wajib disegerakan. Sesiapa yang melewatkannya kepada suatu tempoh, maka dia dikira melakukan maksiat dengan perbuatannya sengaja melengahkan itu. Maksiat melewat-lewatkan taubat itu juga akan sentiasa berulang selama mana dia memanjangkan lagi tempoh untuk bertaubat itu. Maka orang tersebut juga perlu bertaubat kerana sengaja melewat-lewatkan taubat, dan hukum yang sama turut diaplikasikan jika seseorang itu sengaja melewat-lewatkan ibadah yang wajib disegerakan. (Lihat Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/221)

Imam Abu Hamid al-Ghazali juga menyebutkan, melengah-lengahkan taubat ini, cara memperbaikinya adalah berfikir tentang betapa banyaknya jeritan ahli neraka yang dahulunya suka melengahkan taubat. Hal ini kerana orang yang melengahkan itu membina sesuatu perkara pada sesuatu yang tidak pasti, iaitu kekal hidup. Barangkali dia tidak kekal hidup lama, dan meskipun dia kekal hidup, mungkin dia tidak mampu meninggalkan perbuatan dosa itu pada keesokan harinya sepertimana dia tidak mampu meninggalkannya pada hari ini. Tidaklah orang tersebut terhalang dari memohon keampunan melainkan dia dikuasai nafsu syahwat. Syahwat itu tidak akan dapat ditinggalkan esok, sebaliknya ia akan semakin kuat, kerana sifat syahwat ini menjadi semakin kuat apabila sudah terbiasa dengannya. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 4/58)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya tentang persoalan ini, lalu beliau menjawab di dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb (24/2), jika orang tersebut melakukan maksiat dengan niat ingin bertaubat selepas itu, nescaya niat itu tidak memberikan sebarang manfaat padanya, hukuman terhadap perbuatan maksiatnya tidak juga diringankan. Akan tetapi, jika dia melakukan maksiat tersebut kemudian memohon taubat nasuha, dengan izin Allah SWT taubatnya itu akan diterima. Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:

 قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas dalam melakukan dosa! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa hamba-Nya yang bertaubat. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.”

(Surah al-Zumar: 53)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa melakukan maksiat itu adalah perbuatan yang haram, dan ia telah diketahui oleh semua orang yang beragama Islam. Sebanyak mana seseorang itu melakukan maksiat, dosanya tetap akan diampunkan oleh Allah SWT selama mana dia tidak melakukan perbuatan yang mensyirikkan-Nya.

Kami katakan, ini juga termasuk dalam tipu daya syaitan kerana kita tidak mengetahui, boleh jadi ketika kita melakukan maksiat tersebut, kita telah terperangkap dengan sebuah kematian. Alangkah ruginya seseorang itu mati dalam keadaan maksiat dan melakukan derhaka kepada Allah SWT.

Sekiranya seseorang itu berniat melakukan dosa, kami berharap agar dia dikurniakan ganjaran pahala kerana tidak meneruskannya. Dan sekiranya dia tetap melakukannya, semoga Allah SWT tidak menuliskan baginya keburukan lebih dari perbuatan dosa yang dilakukannya. Ingatlah kita kepada sabda Rasulullah SAW sepertimana dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A:

وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: “Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai satu keburukan di sisi-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (6491) dan Muslim (131)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=TBWvFzYXTWA. Diakses pada 17 April 2024.