#5778: Menolak Pemberian Sedekah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, kita selalu mendengar kebaikan-kebaikan sedekah dan ganjaran-ganjarannya. Tetapi, saya dapati ada orang yang tidak suka terima sedekah. Mungkin tuan boleh jelaskan orang yang menolak menerima sedekah dari pandangan Islam? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620)

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Pada asasnya, amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan kepada seseorang untuk tidak menerima sedekah yang dihulurkan kepadanya, sama ada disebabkan khuatir terhadap manfaat pemberian tersebut atau merasakan tidak berhak untuk menerima sedekah itu. Ini kerana pada asalnya menerima sedekah bukanlah suatu kewajipan.

Ibn Qudamah menyatkan bahawa: orang yang muflis tidak boleh dipaksa untuk menerima hadiah, sedekah, wasiat, atau pinjaman… kerana itu akan mendatangkan kerugian kepada hak penerimaan manfaat tersebut. (Lihat al-Mughni, 4/337)

Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan: Jika seseorang ditawarkan wang dari sumber yang halal dengan cara yang dibenarkan untuk mengambilnya, tidak ada masalah daripadanya dan dia tidak mengharap-harapkannya, maka adalah dibenarkan untuk mengambilnya. Hukumnya tidaklah makruh dan tidak juga wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/245)

Justeru, meskipun memberi dan menerima sedekah adalah amalan yang dianjurkan dalam agama, namun tidak ada kewajipan yang mengikat seseorang untuk menerimanya jika mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk menolak. Walau bagaimanapun, menerima sedekah adalah lebih digalakkan sebagai tindakan menghormati niat baik si pemberi yang ingin membantu, pada masa yang sama ia dapat meringankan beban penerima, terutamanya jika mereka termasuk dalam golongan yang kurang berkemampuan.

Kami berpendapat, alangkah baiknya seseorang itu menerima pemberian tersebut dan kemudiannya bersedekahlah kepada mereka yang berhak supaya perjalanan pahala dengan niat keikhlasan masing-masing berlaku kepada semua pihak. Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13646), al-Mu’jam al-Ausat (6026) dan al-Mu’jam al-Saghir (861). Diriwayatkan juga oleh Abu al-Syaikh dalam al-Taubikh (94); al-Syajri dalam al-Amali (2298); Ibn ‘Asakir dalam al-Tarikh (64/17). Dinyatakan sebagai hasan li ghairihi dalam Sahih al-Targhib (2623)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam