#578: Kesucian Air Mani Haiwan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Jika air mani manusia dianggap suci, bagaimana pula dengan air mani selain manusia iaitu air mani haiwan dan seumpamanya? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (6) يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ

Maksudnya:Dia diciptakan daripada air yang memancut ke dalam rahim. (6) Air yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan.

(Surah al-Tariq: 6-7)

Bukti kekuasaan Allah SWT amat jelas, di mana manusia dicipta daripada air yang terpancut dan terpancar ke dalam rahim, iaitu yang terdiri daripada air mani lelaki dan perempuan, kemudian berlaku persenyawaan antara keduanya. Kedua air tersebut ialah air yang keluar daripada tulang belakang lelaki melalui saluran saraf tertentu yang berhubungan dengan otak dan air yang keluar daripada antara tulang dada wanita (al-Tara’ib). Oleh itu, seorang bayi terbentuk daripada percampuran dua jenis air ini, yang seterusnya bertempat di dalam rahim dan akhirnya membentuk janin dengan kehendak Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/476)

Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan mereka semula selepas mati. Hal ini adalah sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Rum:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ

Maksudnya:Dan Dialah Allah yang menghidupkan makhluk daripada tiada. Kemudian Dia juga yang menghidupkannya semula selepas kematiannya dan ini lebih mudah bagi-Nya.

(Surah al-Rum: 27)

Oleh itu, hendaklah manusia mengerjakan amalan yang akan menggembirakan mereka ketika dibangkitkan semula nanti. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 30/112; 30/115)

 

Air mani haiwan

Pada asasnya perkara ini kembali kepada perselisihan mereka — yakni para ulama — terhadap kesucian air mani anak Adam — atau air mani secara umumnya. Menurut ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat bahawa air mani adalah najis, tidak kira air mani manusia mahupun haiwan keseluruhannya tanpa membezakan antara haiwan yang dimakan dagingnya atau tidak. Mereka berhujah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كانَ يَغْسِلُ المَنِيَّ

Maksudnya:Rasulullah SAW membasuh air mani (yang terkena pada pakaian).

Riwayat Muslim (289)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Aisyah R.Anha membasuh kesan air mani daripada pakaian Rasulullah SAW dan perbuatannya membasuh air mani itu menunjukkan bahawa ia adalah najis. Selain itu, Baginda SAW mengetahui akan perkara tersebut — yakni Aisyah membasuh kesan air mani itu — dan membenarkan perbuatan Aisyah itu serta tidak bersabda kepadanya dengan menyebutkan bahawa air mani adalah suci. Tambahan lagi, air mani itu juga keluar melalui salah satu dari dua saluran — yakni qubul dan dubur. Oleh itu, ia dihukumkan sebagai najis sebagaimana najis-najis yang lain.

Begitu juga ulama dalam kalangan mazhab Maliki juga berpendapat air mani adalah najis jika ia merupakan air mani manusia atau air mani haiwan yang diharamkan untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Manakala air mani haiwan yang halal dimakan, terdapat perselisihan pendapat mengenainya. Sebahagian daripada mereka berpendapat ia adalah suci. Sebahagian lagi pula berpendapat ia adalah najis kerana ia dianggap kotor dan telah berubah menjadi rosak. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki. Menurut mereka, sebab air mani dianggap najis kerana ia merupakan darah yang telah berubah menjadi busuk dan rosak. Oleh itu, dihukumkan air mani haiwan keseluruhannya sebagai najis dan tidak ada beza di antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh al-Dardir. Begitu juga kerana air mani keluar dari saluran air kencing yang menyebabkannya menjadi najis. Justeru, hukum air mani adalah berkait dengan hukum air kencing sama ada suci atau najis.

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanbali berpendapat bahawa air mani anak Adam adalah suci tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أنَّها كانت تفرُكُ المَنيَّ مِن ثوبِ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ثمَّ يُصلِّي فيه

Maksudnya: “Beliau telah menggosok kesan air mani yang terkena pada pakaian Rasulullah SAW, kemudian Baginda mendirikan solat dengan memakan pakaian tersebut.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (5/211)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

سُئِل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْمَنِيِّ يُصِيبُ الثَّوْبَ فَقَال: إِنَّمَا هُوَ بِمَنْزِلَةِ الْبُصَاقِ أَوِ الْمُخَاطِ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَمْسَحَهُ بِخِرْقَةٍ أَوْ إِذْخِرٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya berkenaan air mani yang terkena pada pakaian. Lalu Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya air mani itu sama kedudukannya dengan ludah dan kahak. Cukup bagi engkau untuk menyapunya — yakni bagi membersihkannya — dengan perca kain atau izkhir — yakni sejenis tumbuhan.’

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2/418)

Adapun air mani haiwan pula, dalam mazhab Hanbali air mani haiwan yang dimakan dagingnya adalah suci, sedangkan air mani haiwan yang tidak dimakan dagingnya pula adalah najis sebagaimana susunya.(Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/140-142)

Di sisi ulama mazhab Syafi‘i pula, air mani manusia adalah suci sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyatakan pula bahawa ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah mengenai kesucian air mani berdasarkan hadith yang menceritakan mengenai cara membersihkannya dengan cara menggosoknya. Jika air mani itu dianggap sebagai najis, maka tidak cukup sekadar membersihkannya dengan cara menggosoknya sebagaimana darah, air mazi dan selainnya — yang perlu dibasuh dengan air. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554)

Begitu juga dalil-dalil lain sebagaimana dalil yang dibawakan oleh ulama dalam kalangan mazhab Hanbali mengenai kesucian air mani.

Manakala air mani haiwan pula, terdapat tiga pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana yang disebutkan oleh al-Syirazi iaitu:

  1. Kesemua air mani haiwan adalah suci kecuali air mani babi dan anjing kerana ia keluar daripada haiwan yang suci dan terhasil daripadanya. Justeru ia dihukumkan sebagai suci sebagaimana telur dan air mani manusia.
  2. Kesemua air mani haiwan adalah najis kerana ia dianggap sebagai lebihan makanan yang sudah berubah (akibat sudah diproses). Manakala air mani manusia dihukumkan sebagai suci kerana kemuliaannya sebagaimana susunya (susu ibu) adalah halal sekalipun dagingnya tidak dimakan kerana kehormatan dan kemuliaan manusia itu.
  3. Air mani yang terhasil daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci, manakala air mani yang terhasil daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya pula adalah dikira najis. (Lihat al-Muhazzab, 1/92)

Kemudian Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap kitab al-Muhazzab menyebutkan bahawa pendapat yang paling tepat dalam mazhab Syafi‘i ialah air mani seluruh haiwan adalah suci melainkan air mani anjing dan babi serta yang lahir daripada kedua-duanya. Di antara ulama yang jelas mensahihkan pendapat ini ialah al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Ibn Sabbagh, al-Syasyi dan lain-lain. Selain itu, pengarang — yakni al-Syirazi — juga mengisyaratkan tarjihannya kepada pendapat ini dalam kitab beliau yang lain iaitu al-Tanbih. Walau bagaimanapun, al-Rafi‘i mensahihkan pendapat yang menyatakan air mani haiwan adalah najis secara mutlak. Namun, pendapat muktamad dalam mazhab ialah pendapat yang awal — yakni air mani seluruh haiwan adalah suci melainkan air mani anjing dan babi serta yang lahir daripada kedua-duanya. Adapun air mani babi dan anjing serta apa yang lahir daripada kedua-duanya dihukumkan sebagai najis tanpa sebarang khilaf sebagaimana yang disebutkan secara jelas oleh pengarang — yakni al-Syirazi. ( Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat air mani seluruh haiwan — tidak kira yang dimakan dagingnya mahupun tidak — selain babi dan anjing serta apa yang lahir daripada kedua-duanya adalah suci sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia keluar daripada haiwan yang suci dan terhasil daripadanya. Justeru ia dihukumkan sebagai suci sebagaimana telur dan air mani manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H