#5789: Ciri-Ciri Wanita yang Terburuk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan, bagaimana ciri-ciri wanita terburuk, yang sewajarnya dijauhi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abi Uzainah al-Sadafi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَشَرُّ نِسَائِكُمُ الْمُتَبَرِّجَاتُ الْمُتَخَيِلَّاتُ وَهُنَّ الْمُنَافِقَاتُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْهُنَّ، إِلَّا مِثْلُ الْغُرَابِ الْأَعْصَمِ

Maksudnya: “Dan seburuk-buruk wanita di antara kamu adalah yang suka berdandan/berhias (ketika keluar rumah), yang sombong dan angkuh; merekalah wanita-wanita munafik. Mereka tidak masuk syurga, kecuali seperti burung gagak bersayap putih (iaitu sangat jarang).”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13478). Dinyatakan sebagai sahih dalam al-Silsilah al-Sahihah (1849) dan Sahih al-Jami’ (3330)

Dalam hadith di atas, Nabi SAW menerangkan beberapa ciri-ciri terburuk bagi seorang wanita, iaitu:

 

Pertama: Gemar Berhias (Ketika Keluar Rumah)

Mereka yang gemar berhias, memakai perhiasan, atau suka memakai minyak wangi ketika keluar rumah, sehingga hal ini menjadi punca fitnah bagi lelaki dan punca kerosakan di kalangan umat Islam. Wanita yang memiliki ciri-ciri seperti ini, pada hakikatnya dia adalah pembantu syaitan untuk merosakkan umat Islam.

Firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya:Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.)

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam hal ini, mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya, lalu disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka para ulama telah menyatakan ijma’ bahawa ia adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62.)

Oleh yang demikian syarak yang mulia menganjurkan isteri untuk berhias  dan bersolek untuk suami serta mencari kebaikan dan  keelokan di matanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang wanita yang terbaik. Baginda SAW menjawab:

خَيْرُ النِّسَاءِ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَلَا مَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menggembirakan suaminya apabila dilihat, dan mentaati suaminya apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suaminya pada perkara yang tidak disukainya pada dirinya hartanya dalam perkara yang tidak disukainya.”

Riwayat al-Nasa’ie (7421) dan Ahmad (3231)

Imam al-Munawi ketika mensyarahkan  makna  “yang menggembirakan suaminya apabila dilihat” beliau menyebutkan: kerana kecantikannya menjadi sokongan baginya dalam memelihara kesucian dan agamanya. (Lihat al-Taisie bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/528)

Dikisahkan dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’ bahawa Bakrah Binti Uqbah beliau masuk menemui Aisyah yang sedang duduk dalam keadaan berwarna kuning. Dia bertanya kepadanya tentang pewarna inai? Aisyah menjawab, ‘Ia adalah pokok yang wangi dan air yang suci.’ Kemudian dia bertanya tentang pewarna kuku? Aisyah menjawab kepadanya, ‘Jika kamu memiliki suami, dan kamu dapat melepas kuku palsumu, lalu membuat yang lebih baik daripada keduanya, maka lakukanlah. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 2/188)

Kedua: Sombong dan Angkuh

Terdapat hubungan yang erat antara gemar berhias dan kesombongan. Seorang wanita yang ketika keluar rumah dalam keadaan berhias dan berdandan, bukanlah dia keluar ke jalan-jalan atau pasar dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya, dia keluar dengan rasa sombong dan bangga dengan dirinya sendiri. Berbeza dengan seorang wanita yang dipenuhi dengan rasa malu, tentunya hal ini akan tercermin dari penampilannya.

Oleh itu, Rasulullah SAW menyebutkan bahwa wanita dengan ciri-ciri seperti ini sebagai wanita yang terburuk. Wanita seperti ini Nabi SAW membuat perumpamaan bahwa mereka sangat sedikit (jarang) sekali yang masuk syurga.

Nabi SAW menggunakan ungkapan “burung gagak bersayap putih”. Kerana burung gagak itu kebanyakan sayapnya berwarna hitam sempurna. Sedangkan burung gagak yang sayapnya ada (bertompok) warna putih di tengah-tengah warna hitam, itu sangat jarang sekali. Demikianlah, seorang wanita dengan ciri-ciri seperti ini sedikit sekali yang masuk syurga, sebagaimana kita melihat burung gagak dengan bertompok warna putih di sayap yang berwarna hitam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”