#5792: Perpisahan Kerana Berbeza Fikrah Antara Suami Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami isteri berbeza fikrah, di mana si isteri berpegang dengan ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, manakala si suami dan keluarganya pula dari golongan yang mempercayai bumi ini rata, teori konspirasi, lebih mempercayai mimpi dan cerita daripada penglipur lara. Si isteri tidak mampu lagi untuk bertoleransi dengan suaminya berkenaan hal ini, adakah berpisah itu jalan yang lebih baik? Apakah tindakan yang lebih diredhai Allah dan memberikan kebaikan kepada kedua pasangan terutamanya si isteri?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjadi kewajipan setiap pasangan untuk saling memahami keperluan antara satu sama lain kerana nilai sebuah perkahwinan, khususnya yang terbina atas dasar cinta dan kasih sayang, perlulah tertegak di atas dasar tanggungjawab dan mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah SWT kerana banyak sabar dan sikap memahami. Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ibn Kathir menyebutkan di dalam tafsir beliau: “Boleh jadi kesabaran mempertahankan ikatan perkahwinan itu, meskipun tidak disukai oleh isteri, ia lebih banyak kebaikan buat kalian di dunia dan di akhirat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/212)

Begitu juga hukum yang sama diqiaskan kepada si isteri, boleh jadi kesabaran dia mempertahankan rumahtangga yang dibina itu, meskipun dia tidak suka dengan perbezaan fikrah tersebut, ia jauh lebih baik baginya di dunia dan di akhirat kelak. Tambahan pula, wanita dilarang sama sekali untuk meminta penceraian tanpa sebarang sebab yang diharuskan oleh syara‘. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Thauban maula Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (1187)

Antara sebab-sebab yang diharuskan adalah:

  • Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib. (Lihat al-Mughni, 8/204)
  • Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah. (Lihat Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/345)
  • Suami dipenjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat Mausu‘ah al-Kuwaitiyyah, 29/ 67)

Selagimana si suami menjalankan tanggungjawab dengan baik, tidak memudharatkan isteri dari sudut fizikal dan mental, maka isteri tidak dibenarkan untuk menjadikan penceraian sebagai pilihan.

Kami menasihatkan agar saudari yang bertanya dapat bersabar dan cekal dalam memperbaiki hubungan dengan suami tercinta. Sesungguhnya kelebihan wanita dari sudut agama merupakan suatu keuntungan buat si suami, maka jadikanlah ilmu pengetahuan yang dipelajari itu sebagai suatu elemen yang mengukuhkan lagi hubungan. Oleh kerana itu juga, Rasulullah SAW menasihatkan para lelaki untuk mencari pasangan kerana agamanya, seperti dalam hadith Abu Hurairah R.A:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”

Riwayat al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Imam al-Nawawi menyebutkan, Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/51-52)

Perubahan tidak boleh berlaku dalam tempoh sesingkat satu malam, maka perbanyakkanlah bersabar dan berdoa kepada Allah SWT agar si suami dikurniakan hidayah serta taufiq. Semoga dengan sabar itu, Allah SWT kurniakan ganjaran terbaik buat saudari seterusnya menjadi asbab dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.