#5794: Ibadah yang Paling Bahaya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah antara jenis ibadah yang paling bahaya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan, ayat ini menyuruh manusia dan jin untuk mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa. Beliau menukilkan kata-kata Ali R.A, Allah SWT tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyuruh mereka (manusia dan jin) beribadah.  (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 17/55)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan, ibadah ini bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati syari‘at dan apa yang diperintahkan, dan menjauhi apa yang dilarang dengan penuh patuh, rendah diri serta kecintaan. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula mengatakan, ibadah  itu adalah kata nama yang meliputi segala apa yang disukai dan diredhai Allah, dari sudut perkataan dan perbuatan, sama ada secara zahir atau batin. (Lihat Ma‘arij al-Su‘ud, hlm. 41; al-‘Ubudiyyah, hlm. 31)

Konsep ibadah ini juga dapat difahami menerusi firman Allah SWT:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Ketika menafsirkan firman Allah SWT di atas, Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur menyatakan, ibadah itu di sisi syara‘ lebih khusus. Ia didefinisikan sebagai amal perbuatan yang diredhai oleh Allah dengan penuh kerendahan diri, ketaatan dan menjauhi larangan. Ia juga difahami sebagai perbuatan mukallaf yang bercanggah dengan hawa nafsunya demi membesarkan Allah SWT. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/180)

Memahami hakikat ibadah di sisi syara‘, kami katakan bahawa antara ibadah yang paling bahaya adalah ibadah kepada hawa nafsu. Hal yang demikian kerana seseorang itu merasakan dirinya telah merdeka dari ‘ubudiyyah atau memperhambakan diri kepada sesuatu yang lain seperti batu berhala, sebaliknya dia tidak lain hanya berpindah kepada ‘ubudiyyah kepada kehendak diri dan fikiran. Seseorang itu menyangka bahawa dia berjaya untuk tidak tawaf dan menyembah berhala, sedangkan dia tawaf hawa nafsu yang tidak dapat dilihat oleh mata, sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh ‘Abd al-‘Azizi al-Tarifi. Ini kerana bukti dan juga hujjah tidak akan memberi sebarang manfaat buat mereka yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu, sehinggalah dia mengenepikan hawa nafsu tersebut. Beginilah ciri-ciri Bani Israel yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

لَقَدْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَأَرْسَلْنَا إِلَيْهِمْ رُسُلًا ۖ كُلَّمَا جَاءَهُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَىٰ أَنفُسُهُمْ فَرِيقًا كَذَّبُوا وَفَرِيقًا يَقْتُلُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.”

(Surah al-Ma’idah: 70)

Bagaimana kita dapat mengesan sekiranya seseorang itu memperhambakan dirinya kepada hawa nafsu? Kata Syeikh al-Tarifi: “Engkau dapat mengenali orang yang mengikut nafsu ini apabila dia berlembut dengan mereka yang menolak dalil-dalil qat‘iyyah, tetapi berkeras dengan mereka yang menyelisihinya dalam masalah-masalah zanniyyah serta menyifatkan mereka sebagai keras dan kolot.” (Lihat Sutur min al-Naql wa al-‘Aql wa al-Fikr, hlm. 175-177)

Benarlah firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)?”

(Surah al-Jathiyah: 23)

Ibn Kathir mengatakan, orang begini hanya akan mentaati hawa nafsunya. Apabila nafsunya merasakan suatu perkara itu baik, maka dia akan melakukannya, dan apabila ia merasakan suatu perkara itu buruk, maka dia akan meninggalkannya. Beginilah istidlal yang dipegang oleh golongan Mu‘tazilah ketika mereka membincangkan bab tahsin dan taqbih al-‘aqliyyan (التَحْسِينُ وَالتَّقْبِيحُ الْعَقْلِيَّانِ). Dinukilkan juga dari Imam Malik tentang tafsir ayat di atas: “Seseorang tidak mengikut sesuatu melainkan dia hamba kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/247)

Semoga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu, tidak menjadikannya panduan dalam amal perbuatan kita terutamanya yang berkaitan dengan hukum syara‘. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam.