#5797: Cara Mengubati Hati Yang Keras dan Sempit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, benarkah terdapat hati yang keras dan sempit serta bagaimana cara menyelesaikannya untuk memperoleh hati yang tenang ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

(Surah al-Baqarah:10)

Imam al-Qurtubi menafsirkan (مَّرَضٌ) sebagai kerosakan pada akidah, kerana ia berlaku sama ada dengan syak wasangka dan kemunafikan, atau pengingkaran dan pendustaan. Maksudnya, Hati-hati mereka itu telah rosak kerana hilangnya al-‘ismah, taufiq, pemeliharaan dan juga sokongan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/197)

Ayat ini mengisahkan berkenaan dengan sikap dan sifat golongan munafik atas tindakan mereka yang bercanggah dengan perintah Allah SWT bahkan mereka lebih bahaya daripada golongan kufur. Ramai ahli tafsir telah menerangkan dengan panjang lebar berkenaan dengan ayat-ayat tersebut.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hati manusia dapat menjadi keras atau lembut, namun hanya dengan zikrullah hati itu dapat menjadi lembut. Hati juga dapat menjadi sempit atau tenang, namun hanya dengan zikrullah hati itu dapat menjadi tenang. Hal Ini sebagaimana firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ‎

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah al-Ra’d:28)

Al-Tabari berkata: Yakni, ingatlah, hanya dengan zikir kepada Allah hati orang-orang beriman menjadi tenang dan jinak. Menurut Ibnu Kathir pula, ayat diatas bermaksud itulah hal yang sepatutnya diperolehi dengan mengingati Allah SWT. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/287; Tafsir Ibn Kathir, 3/262)

Al-Syaukani berkata: Firman-Nya ‘أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ’, Maksudnya adalah, dengan mengingati Allah sahaja, tanpa yang lain, maka hati akan menjadi tenang. Walaupun dengan memerhatikan ciptaan-ciptaan Allah SWT dan keindahan ciptaan-Nya boleh mendatangkan ketenteraman, namun ia tidak seperti ketenteraman dengan mengingati Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 3/98)

Imam al-Qusyairi berkata: Ada kaum yang tenang hati mereka dengan sebab mereka mengingati Allah. Ini kerana, pada zikir mereka merasai kemanisannya. Dengan zikir juga mereka sampai kepada hakikat kebersihan hati. (Lihat Lataif al-Isyarat, 2/229)

Benarkah hadith nabi SAW menyebutkan:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.”

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Imam al-Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan ‘ليغان‘ bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23)

Dikehendaki dengan ‘الغين‘ iaitu masa-masa yang luput daripada zikir, yang biasanya seseorang itu sentiasa dalam zikir. Apabila terluput dengan sesuatu sebab, maka dia mengira sebagai dosa, lantas dia istighfar daripadanya. Begitu juga, pendapat Ibn al-Jauzi, ‘الغين‘ dengan maksud kegelinciran tabiat manusia yang tidak ada seorang pun yang terselamat.

Para Nabi, sekalipun ma’sum daripada dosa besar, tetapi mereka tidak ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan pecahan daripada khilaf yang terpilih. Tetapi yang paling rajih, para Nabi juga ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ibn Battal berkata: Para Nabi sekuat-kuat manusia dari sudut ibadat kerana kurniaan Allah kepada mereka daripada makrifah. Justeru mereka sentiasa mensyukurinya dan mengiktiraf kepada Tuhan atas kelemahan.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa bahawa istighfar itu daripada taqsir atau kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah dan diandaikan juga kerana sibuk dengan urusan yang harus seperti makan, minum, bersama isteri, tidur, rehat, atau berbicara dengan manusia serta melihat kemaslahatan mereka dan menentang musuh-musuh mereka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/103)

Antara sebab utama penyempitan dada ialah berpaling daripada Allah, mencintai selain-Nya, lalai daripada mengingati-Nya, dan mencintai yang lain. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ (124) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (124) Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

(Surah Taha: 124-125)

Jika seseorang mencintai sesuatu selain dari Allah, hatinya akan disiksa dan dipenjarakan dalam cinta terhadap sesuatu tersebut (Lihat al-Durar al-Muntaqoh min Kalimat al-Mulqoh:3/449 )

Justeru dgn cara zikrullah, tadabur al-Quran, ziarah kubur, memperbanyakkan beristighfar boleh mengubati dan melembutkan hati serta membawa kebaikan yang banyak. Yang demikian juga adalah cara yang dianjurkan oleh agama untuk menyucikan hati dan mendekatkan diri kepada Allah serta memperolehi hati yang tenang.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua`lam.