#58 Solat Zohor Awal Waktu Pada Hari Jumaat

Soalan

Assalamualaikum. Bagaimana kedudukan solat Zohor di awal waktu pada hari Jumaat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198).

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/159).

Kedudukan Solat Zohor Awal Waktu pada Hari Jumaat

Secara umumnya, memang terdapat tegahan daripada menunaikan solat Zohor sebagai ganti solat Jumaat di awal waktu. Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah, dinyatakan: “Tidak sah bagi orang yang tidak diberikan keuzuran untuk bertakbiratulihram bagi solat Zuhur sebelum imam solat Jumaat memberi salam.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 325).

Namun, dalam isu tiada solat Jumaat semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, tegahan tersebut adalah tidak terpakai. Ini disebabkan ‘illah atau sebab tegahan daripada solat Zohor tersebut hanya berlaku kepada mereka yang tiada sebarang keuzuran bagi menghadiri Jumaat. Sebaliknya, jika wujudnya keuzuran seperti bimbang wujudnya ancaman, takut pada bahaya mendatang dan sakit, maka larangan tersebut tidak terpakai.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (1/497) menjelaskan bahawa setiap keuzuran yang sama tahap kesusahan sepertimana kesukaran orang yang sakit, maka itulah keuzuran secara qiyas terhadap keadaan sakit yang dinaskan ke atasnya. Oleh itu, tidak wajib Jumaat bagi orang yang takut bahaya terhadap dirinya atau hartanya sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya) maka tidak ada solat baginya melainkan kerana keuzuran. Mereka (para sahabat) bertanya: Apakah keuzuran itu? Baginda menjawab: ketakutan dan sakit.”

Riwayat Abu Daud (551) dan Ibn Majah (793)

Termasuk dalam bentuk keuzuran adalah sepertimana yang berlaku waktu ini iaitu penularan wabak COVID-19 yang boleh membawa maut. Maka ia dikira sebagai satu keuzuran kerana wujudnya bahaya yang boleh mengancam nyawa.

Kesimpulan

Dalam isu di atas, mereka yang berada di rumah dan tidak melaksanakan solat Jumaat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan serta penangguhan solat Jumaat di masjid dan surau, maka hukum menunaikan solat Zohor pada awal waktu sebagai ganti solat Jumaat tersebut adalah sah. Mereka tidak tertakluk kepada hukum makruh atau haram kerana termasuk dalam golongan yang mendapat keuzuran untuk tidak pergi melaksanakan solat Jumaat di samping tiada solat Jumaat dilaksanakan di tempat tersebut. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H