#5802: Hingus Kucing pada Pakaian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum hingus kucing yang terkena pada pakaian? Adakah ia suci atau najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu hingus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hingus ialah lendir yang keluar daripada hidung.[1] Dalam bahasa Arab, hingus dipanggil sebagai mukhat (المُخَاط) iaitu dari segi bahasa ia bermaksud cecair yang mengalir dari hidung seperti air liur dari mulut. Al-Makhtah (المَخْطَةُ) bermaksud cecair yang dikeluarkan oleh seseorang dari hidungnya. Dikatakan: “امْتَخَطَ” iaitu seseorang mengeluarkan hingusnya dari hidungnya. Kemudian, maknanya dari segi istilah pula tidak terkeluar daripada maknanya dari segi bahasa. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/258).

Secara umumnya, para fuqaha bersepakat bahawa hingus (manusia) adalah suci dan solat seseorang yang pada bajunya terdapat hingus adalah dikira sah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/258). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith:

فَإِذَا تَنَخَّعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَنَخَّعْ عَنْ يَسَارِهِ تَحْتَ قَدَمِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيَقُلْ هَكَذَا -‏ وَوَصَفَ الْقَاسِمُ – فَتَفَلَ فِي ثَوْبِهِ ثُمَّ مَسَحَ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ ‏

Maksudnya: “Maka apabila salah seorang di antara kamu ingin meludah, hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya di bawah kakinya. Akan tetapi jika dia tidak menemui (ruang untuk meludah) dia harus melakukan seperti ini — al-Qasim (salah seorang perawi) meludah ke kainnya lalu melipatnya dan menyapunya.”

Riwayat Muslim (550)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, menurut ulama mazhab Syafi‘i apa-apa cecair yang terpisah daripada bahagian dalam haiwan dan ia tidak termasuk dalam bahagian dalam haiwan tersebut (yakni tidak bersekali dengannya), melainkan hanya meleleh atau merembes seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya adalah mengikut hukum haiwan itu. Sekiranya haiwan tersebut najis, maka ia juga akan dikira sebagai najis, dan sekiranya tidak, maka ia adalah suci. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/85).

Tambahan lagi, al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa tidak ada bezanya pada peluh, air liur, hingus dan air mata antara orang berjunub, perempuan haid, orang yang suci, Muslim, kafir, baghal, keldai, kuda, tikus dan seluruh haiwan buas serta haiwan yang melata. Bahkan semuanya adalah suci dan daripada setiap haiwan yang dihukum sebagai suci kecuali babi dan anjing serta yang lahir daripada keduanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/559).

Dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa cecair yang terpisah daripada bahagian dalaman haiwan terbahagi kepada dua. Salah satunya, cecair yang tidak mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam bahagian dalaman. Cecair tersebut hanya sekadar merembes keluar sahaja. Keduanya, cecair yang mengalami proses pengumpulan dan perubahan di dalam bahagian dalaman, kemudian cecair tersebut keluar. Contoh cecair jenis pertama adalah seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukum dari cecair jenis ini adalah mengikut atau berdasarkan hukum haiwan yang mengeluarkan cecair tersebut. Jika haiwan tersebut dihukumkan sebagai najis, maka cecair tersebut juga adalah najis. Sebaliknya, jika ia keluar dari haiwan yang suci, maka cecairnya juga dihukumkan sebagai suci. Contoh cecair jenis kedua pula adalah seperti darah, kencing, tahi dan muntah. Kesemuanya ini (cecair jenis kedua) dihukumkan sebagai najis tidak kira sama ada ia keluar dari haiwan yang boleh dimakan dagingnya ataupun tidak. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/16).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hingus kucing dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Justeru, ia tidak perlu dibersihkan sebagaimana cara membersihkan najis. Begitu juga jika ia terkena kepada pakaian dan pakaian itu dibawa dalam solat, maka solat yang didirikan itu dikira sah dan tidak perlu diulangi semula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hingus. Diakses pada 23 April 2024.