#5808: Tafsir Ayat 6 Surah al-Kafirun

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsir ayat 6 Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’.”

(Surah al-Kafirun: 6)

Al-Mawardi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa padanya terdapat dua pandangan iaitu:

Pertama: Kamu mempunyai agama kamu yang kamu percayai sebagai kekufuran, dan aku mempunyai agama aku yang aku percayai sebagai Islam, kata Yahya bin Salam.

Kedua: Bagi kamu adalah balasan atas amalan kamu, dan bagi aku adalah balasan atas amalanku .

Ini adalah ancaman daripada-Nya kepada mereka, dan maknanya cukup sebagai ganjaran atas amalan,  kata Ibnu Isa. Ibnu Abbas berkata: “Tidak ada surah dalam Al-Quran yang lebih menimbulkan kemarahan Iblis daripada surah ini, kerana ia tentang tauhid dan pembebasan daripada syirik. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/358)

Muhammad Amin al-Syanqiti menyatakan di dalam Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran (9/135): Ia adalah serupa dengan apa yang telah disebutkan dalam Surah Yunus iaitu Firman Allah SWT:

 أَنتُم بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan.”

(Surah Yunus: 41)

Begitu juga firman Allah SWT:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: “Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu.”

(Surah al-Qasas: 55)

Ini bukanlah penegasan terhadap agama mereka yang mereka berpegang teguh padanya, tetapi lebih kepada ancaman dan peringatan sebagaimana firman Allah SWT:

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah.”

(Surah al-Kahf: 29)

Ibn Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-‘Azim (8/480) menyebutkan bahawa: Abu ‘Abdillah al-Syafi‘i dan yang lainnya telah berdalilkan  kepada ayat mulia ini: (لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ‎)- Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku- bahawa semua kukufuran adalah satu agama yang sama yang diwarisi oleh orang Yahudi dari orang Nasrani, dan sebaliknya; sekiranya terdapat di antara mereka hubungan darah atau sebab yang menyebabkan pewarisan, kerana semua agama – kecuali Islam – adalah seperti satu perkara dalam kesesatan. Ahmad bin Hanbal dan orang yang sependapat dengannya berpendapat bahawa tidak boleh mewarisi agama Nasrani dari orang Yahudi dan sebaliknya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Amru Bin Syuaib daripada ayahnya daripada Datuknya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَتَوَارَثُ أَهْلُ مِلَّتَيْنِ شَتَّى

Maksudnya: Dua pemeluk agama yang berbeza tidak boleh saling mewarisi

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (2/195) dan Abu Dawud (2911)

Selain itu, menurut al-Nasafi beliau menafsirkan dengan menyatakan: Untuk kamu adalah syirik kamu, dan untukku adalah tauhidku. Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas’ud, R.A, masuk ke masjid dan Nabi SAW sedang duduk. Lalu Baginda bersabda kepadanya:

نابِذْ يا ابْنَ مَسْعُودٍ، فَقَرَأَ: {قُلْ يا أيُّها الكافِرُونَ}، ثُمَّ قالَ لَهُ في الرَكْعَةِ الثانِيَةِ: {أخْلِصْ}، فَقَرَأ: {قُلْ هو اللهُ أحَدٌ}، فَلَمّا سَلَّمَ، قالَ: يا ابْنَ مَسْعُودٍ، سَلْ تُجَبْ

Nabiz[1] wahai Ibn Mas’ud Lalu dia membaca “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” kemudian Baginda bersabda kepadanya pada rakaat kedua: bacakan surah al-Ikhlas, lalu beliau membaca  “قُلْ هُوَ الله أَحَدٌ”. Usai beliau memberi salam Baginda bersabda kepadanya: memohonlah nescaya akan dijawab. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/688)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Nota hujung:

[1] Syeikh al-A‘zami berkata: “Pada asalnya adalah fayid, dalam disebutkan dalam al-Ittihaf: Tayid. Mungkin yang lebih tepat adalah Nabiz iaitu menzahirkan kepada orang kafir perbezaan kalian dengan mereka dalam agama, dan berlepas diri dari apa yang mereka lakukan.” (Lihat al-Matalib al-‘Aliyah bi Zawa’id al-Masanid al-Thamaniah, 16/461)