#5809: Tidur Selepas Melakukan Tawaf Wada’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum tertidur atau sengaja tidur selepas tawaf wada’ sementara menunggu bas untuk ke lapangan terbang? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

kami mulakan dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.A, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Dalam hadith yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Makkah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada‘).

Riwayat Muslim (3283) dan Ibn Majah (3070)

Imam al-Nawawi mengatakan, hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti ulama’. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Imam al-Nawawi juga menyebutkan, ashab (ulama’ al-Syafi‘iyyah) kami mengatakan, sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Makkah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Makkah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu‘, 8/254)

Imam al-Zarkasyi pula mengulas, larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya. Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Makkah sebelum Tawaf Wada‘ ialah melakukan Tawaf Wada‘ sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan Tawaf Wada‘ sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa tidur selepas melakukan tawaf wada’ dengan sengaja, tanpa berniat untuk menetap di Makkah dalam tempoh yang lama atau tidur sementara menunggu ketibaan bas, tidaklah membatalkan tawaf wada’ tersebut. Ini kerana syarak memberi kelonggaran kepada sesiapa yang mempunyai kesukaran atau hajat selepas melakukan tawaf wada’ untuk berada di Makkah dalam tempoh yang singkat.

Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Tidak dibenarkan bagi seorang yang melakukan haji untuk keluar dari Makkah kecuali setelah melakukan Tawaf Wada’ sekiranya dia bercadang untuk pulang ke tanah airnya atau ke negara lain. Jika dia melakukan tawaf wada’ sebelum matahari terbenam dan kemudian duduk selepas makan malam untuk keperluan atau untuk mendengar pelajaran atau untuk menunaikan solat Isyak, tidak ada masalah dalam hal itu. Ini kerana masa yang singkat diberi kelonggaran.[1]

Hal ini juga sebagaimana yang telah ditanya kepada Dar al-Ifta’ al-Misriyyah tentang bermalam di Makkah, dalam fatwanya menyatakan: Para fuqaha sepakat bahawa tinggal di Makkah selepas Tawaf Wada’ disebabkan kesibukan dengan persiapan untuk meninggalkan tempat tersebut tidak memenuhi syarat menetap yang memerlukan untuk mengulangi tawaf wada’ tersebut. Oleh itu, segala yang berkaitan dengan keluar dan persiapan perjalanan seperti kembali ke tempat penginapan di hotel, menunggu rombongan atau kumpulan yang akan berjalan bersama, serta menunggu waktu penerbangan atau pengangkutan yang akan digunakan untuk perjalanan, tidaklah memerlukan pengulangan tawaf walaupun mengambil masa sehari atau lebih. Ini kerana perkara ini pada adatnya tidaklah mengeluarkannya daripada keadaanya yang ingin keluar atau meninggalkan Makkah [2]

Begitu juga Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi‘ al-Awwal 1440 Hijrah telah menggariskan beberapa perkara yang harus untuk dilakukan selepas selesai Tawaf Wada‘, iaitu:

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa tidur dengan sengaja selepas melakukan tawaf wada’ sementara menunggu bas atau rombongan untuk pulang tidaklah membatalkan tawaf wada’ tersebut. Namun, jika seseorang berniat untuk berada di Makkah untuk tempoh masa yang lama selepas melakukan tawaf wada’, maka tawaf tersebut terbatal, dan dia perlu mengulanginya semula.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahua‘lam.

Nota hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/18322/%D8%AD%D9%83% Diakses pada 23 April 2024

[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/15413/%D8%A7%D9% Diakses pada 23 April 2024