#581: Makna ‘Pagi’ dalam Hadith Fadhilat Kurma Ajwah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah waktu pagi yang dimaksudkan dalam hadith yang bermaksud, “Pada kurma Ajwah ‘Aliyah terdapat penyembuh atau penawar bagi racun, jika dimakan pada waktu pagi dalam keadaan perut masih kosong.” Adakah waktu pagi itu ketika terbitnya fajar sadiq atau selepas solat subuh ataupun waktu-waktu lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya terdapat banyak hadith yang menceritakan mengenai kelebihan memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi. Di antaranya, riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya:Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5445); Muslim (2047)

Begitu juga, riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”

Riwayat Muslim (2048)

Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:

فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءٌ – أَوْ تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى الرِّيقِ

Maksudnya:Pada kurma Ajwah ‘Aliyah terdapat penyembuh atau penawar bagi racun, jika dimakan pada awal pagi dalam keadaan perut masih kosong.”

Riwayat Ahmad (25187)

Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:

فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ، أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى رِيقِ النَّفْسِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ سِحْرٍ، أَوْ سُمٍّ

Maksudnya:Pada kurma Ajwah ‘Aliyah, jika dimakan pada waktu awal pagi dalam keadaan perut masih kosong, adanya penawar daripada segala sihir atau racun.

Riwayat Ahmad (24735); hadith ini telah disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (4262)

Justeru berdasarkan kepada hadith-hadith ini, secara zahirnya menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah dan kurma Ajwah ‘Aliyah termasuk dalam jenis kurma Ajwah Madinah. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith berkenaan kelebihan kurma Madinah menyebutkan, hadith-hadith ini menunjukkan kelebihan kurma Madinah dan kurma Ajwah. Begitu juga kelebihan memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi. Namun kelebihan ini hanya khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, dan bukannya pada kurma-kurma yang lain. Manakala, bilangan tujuh biji — yang disebutkan dalam hadith — termasuk dalam perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT akan hikmahnya. Sedangkan kita pula wajib beriman dan menerimanya, serta meyakini akan fadhilatnya (adalah benar) dan ada hikmahnya (akan perkara tersebut), sebagaimana ketetapan terhadap bilangan solat, kadar nisab di dalam zakat dan lain-lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3)

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258.  juga ada menukilkan pendapat yang menyatakan bahawa fadhilat tersebut — yakni terselamat dari racun dan sihir — hanya terdapat pada kurma Ajwah Madinah. Begitu juga, al-Qurtubi menyebutkan, secara zahirnya hadith-hadith tersebut menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah bagi menyembuhkan racun dan membatalkan sihir.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, lafaz hadith, “أَوَّلَ الْبُكْرَةِ عَلَى الرِّيقِ” adalah sebagaimana makna pada lafaz hadith, “مَنْ تَصَبَّحَ” iaitu maksudnya ialah sesiapa yang memakan tujuh biji kurma tersebut semasa perut masih kosong pada waktu pagi, sebelum makan suatu apa pun, maka tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun mahupun sihir. Hal ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa perkataan Nabi SAW, “أَوَّلَ الْبُكْرَةِ” adalah sebagaimana makna yang terdapat dalam riwayat lain, “مَنْ تَصَبَّحَ”.(Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3)

Menurut Ibn al-Jauzi, lafaz “تَصَبَّحَ” bermaksud memakannya — yakni kurma itu — pada waktu pagi sebelum makan sesuatu apa pun. (Lihat Kasyf al-Musykil, 1/235)

Manakala “الْبُكْرَة” dari segi bahasa bermaksud permulaan siang sehingga terbitnya matahari. Selain itu, al-Munawi pula menyebutkan, permulaan hari ialah waktu fajar dan selepasnya pula ialah waktu subuh. Dalam erti kata lain, bermula pada waktu awal pagi, kemudian waktu Dhuha, kemudian waktu dhahwah (yakni sebelum waktu tengahari), kemudian tengahari, kemudian al-Rawah (yakni bermulanya gelincir matahari), kemudian waktu petang, kemudian waktu asar, kemudian al-Asil (yakni waktu matahari kekuningan sebelum ia terbenam), kemudian waktu isyak pertama, seterusnya waktu isyak kedua dan waktu tersebut adalah ketika terbenamnya (hilang) mega merah. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 1317; al-Mu‘jam al-Wasit, 1/67, Lihat Faidh al-Qadir, 2/103).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa waktu pagi yang disebutkan dalam hadith berkenaan adalah luas. Ia meliputi bermulanya ketika terbit fajar sadiq hingga terbitnya matahari kerana sepanjang waktu tersebut masih dikira atau dianggap waktu pagi. Oleh itu, sesiapa yang memakan kurma Ajwah Madinah sebanyak tujuh biji pada mana-mana waktu tersebut, sama ada pada awal waktunya, atau pertengahannya atau di akhirnya — yakni sebelum masuknya waktu tengahari — dikira sudah menepati makna waktu pagi yang disebutkan dalam hadith.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H