#5811: Adab Berhutang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa adab-adab dalam berhutang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak dinafikan berhutang adalah sebahagian daripada urusan kehidupan yang akan berlaku samada dahulu, sekarang atau pun kini. Yang susah pasti akan meminjam duit bagi memenuhi keperluan mendesak dan Yang kaya pasti memberi pertolongan dengan memberi pinjaman duit. Walaubagaimanapun, lebih baik seseorang mengelakkan daripada berhutang. Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إيّاكم والدَّيْنَ؛ فإنَّه هَمٌّ باللَّيلِ، ومَذَلَّةٌ بالنَّهارِ.

Maksudnya: “Awasilah kamu daripada berhutang, kerana ia membawa dukacita pada malam hari dan kehinaan pada siang hari.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5166). Al-Safarini al-Hanbali menyatakan hadith ini dha’if dalam Syarh Kitab al-Syihab (197). Manakala ia dinyatakan sebagai dha’if jiddan dalam Dha’if al-Jami‘ (2199) dan al-Silsilah al-Dha’ifah (2265)

Justeru itu, beberapa adab yang kita perlu jaga sama ada orang yang berhutang atau orang yang memberi hutang agar kita tak menzalimi kedua-dua belah pihak.

Pertama: Merekodkan hutang.

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيۡنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمّٗى فَٱكۡتُبُوهُۚ وَلۡيَكۡتُب بَّيۡنَكُمۡ كَاتِبُۢ بِٱلۡعَدۡلِۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411).

Ayat di atas membicarakan secara terperinci berkenaan dengan perintah mencatat hutang beserta syarat-syarat saksi iaitu dua orang lelaki yang adil atau seorang lelaki beserta dua orang perempuan.

Para ulama berbeza pandangan tentang perintah tersebut sama ada wajib ataupun sunat. Ibn Kathir menyimpulkan bahawa majoriti ulama menyatakan bahawa ini perintah sunat. Amalan menulis hutang amat berguna terutamanya apabila berlaku kematian kerana boleh menjadi bukti yang menjaga hak pemberi hutang. Selain mengelakkan golongan yang tidak bertanggungjawab, menipu dan mendakwa bahawa si mati berhutang dengannya.

Tulislah hutang, walaupun nilainya kecil dan hanya melibatkan ahli keluarga. Amalan ini bukan disebabkan ketidakpercayaan kepada penghutang, tetapi kerana mengejar pahala sunat yang digalakkan oleh Allah.

Kedua: Jangan melambatkan bayar hutang.

Rasulullah SAW memberi amaran tegas kepada mereka yang melengahkan membayar hutang sedangkan mereka berkemampuan:

مَطْلُ الْغَنِيّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Melambatkan bayaran hutang bagi orang kaya berkemampuan merupakan kezaliman.”

Riwayat al-Bukhari (2400)

Penyakit ini juga banyak menular dalam masyarakat Islam disebabkan tiada perasaan bertanggungjawab terhadap hak orang lain sama ada hutang kecil atau jumlah yang besar. Dalam mensyarahkan hadis ini, Ibn Hajar menyatakan bahawa jumhur ulama bersepakat bahawa golongan ini termasuk dalam kategori fasik. Sikap yang lebih hina, apabila seseorang dengan sengaja tidak mahu membayar hutang. Sengaja mengelak dan merasakan dirinya beruntung apabila berjaya melepaskan diri daripada membayar hutang. Pada hakikatnya, mereka bakal diisytiharkan muflis di akhirat kelak apabila terpaksa membayar kembali segala hutang tersebut dengan segala pahalanya kepada pemberi hutangnya di dunia dahulu. Ketika itu segala penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Ketiga: Tambahan masa kepada penghutang.

Firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٖ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٖۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

(Surah al-Baqarah: 280)

Ayat di atas ditujukan kepada pemberi hutang agar memberi tambahan masa sekiranya mengetahui penghutang masih dalam kesulitan. Dia bakal mendapat pahala yang besar atas kelonggaran yang diberikan. Bahkan ganjaran yang lebih hebat berdasarkan ayat di atas, sekiranya diisytiharkan sebagai sedekah kepada penghutang tersebut.

Semoga para penghutang dan pemberi hutang dapat sentiasa menjadikan suluhan Ilahi sebagai pemandu dalam setiap tindakan yang diambil.

Kami akhiri dengan sebuah kisah  seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya:

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا

Maksudnya: Daripada Rasulullah SAW bahawa, baginda pernah mengisahkan: Terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”

Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.

Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.

Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa wang yang dihutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.

Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.”

Riwayat al-Bukhari (2291)

Semoga kisah ini memberi motivasi dan semangat kepada kita dalam melangsaikan hutang. Sebagai penutup, sekali lagi tegaskan bahawa walaupun hutang itu walaupun sudah lapuk dan terlalu lama, ianya tetap wajib dibayar walaupun si pemberi hutang itu tidak memintanya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya:Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”