#5814: Iblis daripada Malaikat atau Jin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami bertanya hal ini kerana, apabila Allah perintahkan sujud kepada malaikat, tetapi yang tidak ingin sujud adalah Iblis. Benarkah ia daripada kalangan malaikat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Al-Baghawi di dalam tafsirnya menyebut: Kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa Allah sudah mengetahui bahawa iblis dalam kalangan kafir yang wajib bagi mereka penderitaan. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/82)

Menjawab persoalan di atas, ulama berpendapat bahawa Iblis bukan dari kalangan malaikat. Ini kerana, ‘إِلَّا ’ di dalam ayat tersebut yang memberi makna kecuali merupakan munqati’ atau terputus antara mustasna dan mustasna minhu. Ini menjadi kelaziman dalam bahasa Arab dan diterima pakai oleh ahli bahasa. Walaupun ghalib dan pada asalnya, istisna’ bersifat muttasil atau bersambung dengan makna jenis mustasna dan mustasna minhu adalah yang sama. Dua ibarat yang biasa disebut:

  • Semua orang datang ke masjid kecuali Umar. Maka Umar itu adalah sebangsa dan sejenis dengan bangsa atau orang. Ini dipanggil sebagai istisna’ muttasil.
  • Tetapi jika seseorang berkata: Semua orang datang ke masjid kecuali kambing. Ini yang dipanggil istisna’ munqati’. Di dalam bahasa Arab, sah dan tidak menjadi kesalahan.

Yang paling kuat dan kukuh untuk menjawab yang menjawab Iblis bukan dari kalangan malaikat, ialah firman Allah SWT:

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ

Maksudnya:Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

(Surah al-Kahfi: 50)

Imam al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, dengan hanya sekali pandang (dapat difahami dari ayat ini), sebaliknya Iblis adalah asal-usul kepada jin sepertimana Adam itu asal-usul kepada manusia. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/286)

Seterusnya, kami nyatakan beberapa noktah, terdapat beberapa perbezaan antara Iblis dengan malaikat:

  • Malaikat diciptakan daripada cahaya (nur), sedangkan Iblis daripada api. Firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ ‎‏

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikannya dari tanah.”

(Surah al-A’raf: 12)

Al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis menyatakan bahawa tangannya lagi keras daripada Adam, dia lebih kuat daripada sudut kekuatan berbanding Adam, dan jenisnya diciptakan lebih baik daripada Adam diciptakan iaitu daripada api. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/327)

  • Malaikat sifatnya tidak derhaka kepada Allah, sedangkan Iblis sombong angkuh dan derhaka. Firman Allah SWT:

لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Imam Ibn Kathir menegaskan bahawa tugas malaikat yang sangat patuh dan akur dengan bersegera mengerjakan segala perintah Allah SWT dan mereka tidak akan menangguhkan sesuatu walaupun sekelip mata sekali pun dan mereka mampu melaksanakannya serta tiada suatu kelemahan dalam diri mereka untuk melaksanakan segala suruhan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/189)

  • Malaikat menjadi tentera-tentera Allah, sedangkan Iblis mendapat laknat Allah.

وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ

Maksudnya:Dan sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”

(Surah Sad: 78)

Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Allah menyatakan bahawa Iblis dalam kalangan yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmat-Nya sehingga hari pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke neraka menujukkak kebenaran laknat tersebut. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/229)

Akhir kalam, marilah kita berdoa kepada Allah supaya diselamatkan daripada sebarang bentuk godaan dan was-was syaitan. Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –  “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, –  “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)