#5816: Amalan yang Dapat Membantu Melangsaikan Hutang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan, apa amalan-amalan yang boleh dilakukan, dalam kita berusaha melangsaikan hutang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Strategi dan ilmu penting bagi melangsaikan hutang namun semuanya tidak akan berlaku melainkan izin Allah. Tanpa pertolongan, rahmat dan Izin-Nya mana mungkin kita berjaya dalam melangsaikan hutang. Kita hendaklah sentiasa yakin dan percaya bahawa rezeki adalah milik Allah. Justeru memohonnya adalah amat penting antara caranya ialah:

  1. Solat Subuh berjemaah.

Ini kerana banyak kelebihan pelaksanaan solat berjemaah. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-Soleh. Ini juga kerana sentiasa awal ke masjid di waktu pagi termasuk dalam usaha meraih keberkatan kepada Allah serta keredhaan-Nya. Benarlah doa Nabi SAW seperti riwayat Sakhr al-Ghamidi, bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu pagi.”

Riwayat Abu Daud (2606), al-Tirmizi (1212), Ahmad (15481) dan al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8833). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad (2/332). Manakala ia dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (1300) dan Sahih Ibn Majah (1832). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut juga menyatakan ianya sahih dalam takhrij Siyar A’lam al-Nubala’ (11/159)

Ibn Battal berkata: Hadis ini tidaklah menunjukkan bahawa selain waktu pagi adalah tidak diberkati. Sesuatu yang dilakukan oleh Nabi SAW (pada waktu tertentu) adalah waktu yang berkat dan Baginda SAW adalah sebaik-baik uswah (suri teladan) bagi umatnya. Adapun Nabi SAW mengkhususkan waktu pagi dengan mendoakan keberkatan pada waktu tersebut berbanding waktu-waktu yang lain adalah kerana waktu pagi tersebut adalah waktu yang biasa digunakan manusia untuk memulakan aktiviti. Waktu tersebut adalah waktu yang bersemangat untuk memulakan aktiviti. Oleh itu, Nabi SAW mengkhususkan doa pada waktu tersebut supaya seluruh umatnya memperoleh keberkatan di dalamnya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 9/163)

  1. Selalu membaca surah al-Waqi’ah setiap malam.

Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: “Siapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam, nescaya tidak kefakiran selamanya.”

Riwayat al-Harith dalam al-Musnad (721), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (680), dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2498). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Ihya’ (1/450)

Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya, Fath al-Qadir (5/176) menukilkan sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

سُورَةُ الْوَاقِعَةِ سُورَةُ الْغِنَى، فَاقْرَؤُوهَا، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ

Maksudnya: “Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus (4005) dengan lafaz ‘علِّمُوا نساءَكُم سورَةَ الواقِعَةِ، فإِنَّها سورَةُ الغِنى’. Manakala lafaz di atas mengikut Ibn Mardawaih. Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (3730)

Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (27/240) menukilkan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, bahawa ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat, lalu Saidina Uthman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibn Mas’ud berkata:

أَتَخْشَى عَلَى بَنَاتِي الْفَقْرَ؟ إِنِّي أَمَرْتُ بَنَاتِي يَقْرَأْنَ كُلَّ لَيْلَةٍ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ، إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ كُلَّ لَيْلَةٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا

Maksudnya: “Apakah kamu risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2497) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (33/187)

Sesungguhnya, ramai para ulama yang memberi kecaknaan berkenaan dengan surah al-Waqiah untuk diamalkannya. Terutamanya, yang terkait dengan amalan yang dilazimi seterusnya usaha yang perlu dilaksanakannya.

Justeru itu, kami katakan meskipun hadith berkenaan membaca Surah al-Waqiah ini bertaraf dhaif, namun tidak menjadi masalah untuk mengamalkannya, moga-moga dengan membacanya kita dapat perolehi syafaat dan kelebihan darinya. Begitu juga, ramai ulama yang mengesyorkan untuk membacanya, maka sama-samalah kita mengamalkannya.

  1. Sering istighfar dengan sebanyak-banyaknya setiap hari. Benarlah firman Allah SWT:

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارٗا (10) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارٗا (11) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّٰتٖ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡهَٰرٗا

Maksudnya: “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu: Dan Dia akan memberi kepada kamu Dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Dalam mentafsirkan ayat ‘وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ’, Ata’ berkata: Nescaya Allah akan membanyakkan harta dan anak-anak kamu. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/398)

Al-Qurtubi berkata: Dalam ayat ini juga, disebutkan dalam ‘وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ’ (Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya) [Surah Hud: 3], dan ia merupakan dalil yang menunjukkan bahawa istighfar adalah salah satu wasilah memohon diturunkan rezeki dan hujan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/302)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

  1. Perbanyakkan doa dan taubat. Terutamanya ketika senang.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka Allah kurniakan permohonannya ketika dalam kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa senang.”

Riwayat al-Tirmizi (3391) dan al-Hakim (544). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’ (6290)

  1. Perbanyakkan Qiamullail.

Benarlah sabda Baginda SAW: Daripada Bilal bin Rabah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيكُمْ بِقيَامِ اللَّيلِ، فَإِنَّهُ دأبُ الصَّالِحِينَ قَبْلكُمْ، وإنَّ قِيَامَ اللَّيلِ قُربَةٌ إِلى اللهِ، ومَنْهاةُ عنِ الإِثْمِ، وتَكْفِيرٌ للسَّيئَاتِ، ومَطْرَدَةٌ للدَّاءِ عَن الْجَسَدِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelummu dan sesungguhnya qiamullail mendekatkan kepada Allah, menegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan dan menjauhkan daripada penyakit.”

Riwayat al-Tirmizi (3558), al-Hakim (308) dan al-Baihaqi (502)

  1. Perbanyakkan sedekah.

Hal ini bertepatan satu hadis di mana Allah utuskan Malaikat yang mendoakan kepada yang memberi sedekah setiap pagi dan malam. Doanya ialah:

اللهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah kurniakanlah kepada pemberi sedekah gantian dan kepada yang kedekut kehilangan.”

Riwayat al-Bukhari (1442), Muslim (1010), Ahmad (21721), Ibn Hibban (686) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2891)

Perkara ini dibuktikan dengan nas-nas yang thabit dan pengalaman yang dilalui. Antara nas yang menunjukkan bahawa sedekah membawa kepada rezeki termasuklah:

قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki’.”

(Surah Saba’: 39)

Allah SWT menegaskan bahawa semua rezeki berasal daripada-Nya. Dia akan melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu, janganlah tertipu dengan banyaknya harta benda yang dimiliki. Sebaliknya, infaqkan dan sedekahkanlah harta tersebut sebagai suatu ketaatan kepada Allah SWT kerana ia pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/307)

  1. Menyambung hubungan silaturrahim.

Daripada Anas bin Malik Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ أَوْ يُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ .

Maksudnya: “Siapa yang mahu Allah kurniakan rezeki dan panjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (1961) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

  1. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW.

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani al-Hasani Rahimahullah menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibn Farhun yang berkata: “Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai empat puluh dua kelebihan.” Hal ini tertulis di dalam kitabnya Hadaiq al-Anwar.

Moga-moga dengan amalan ini,  Allah SWT memberi kita keluasan rezeki dan dipermudahkan untuk melangsaikan hutang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”