#5819: Bayaran Zakat Sebanyak 2.5 %

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin tahu kenapa zakat wang dikira 2.5%? Siapakah yang menetapkan peratusan ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kadar zakat bagi emas, perak, dan segala jenis wang yang digunakan adalah seperempat daripada sepersepuluh, iaitu 2.5%. Penetapan ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih daripada Nabi SAW. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar dan Aisyah R.Anhum tentang zakat dinar emas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْخُذُ مِنْ كُلِّ عِشْرِينَ دِينَارًا فَصَاعِدًا نِصْفَ دِينَارٍ، وَمِنْ الْأَرْبَعِينَ دِينَارًا دِينَارًا

Maksudnya: “Nabi SAW biasanya mengambil setiap dua puluh dinar atau lebih, sebanyak setengah dinar, dan mengambil daripada empat puluh dinar sebanyak satu dinar.

 Riwayat Ibnu Majah (1791)

Nisbah setengah dinar untuk setiap dua puluh dinar adalah seperempat daripada sepersepuluh iaitu 2.5%. Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ وليس في مالٍ زكاةٌ حتى يحولَ عليه الحولُ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.

Riwayat Abu Daud (1572)

Begitu juga hadith dengan sanad yang jayyid (baik), riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

لَيْسَ فِي أَقَلَّ مِنْ عِشْرِينَ دِينَارًا شَيْءٌ ، وَفِي عِشْرِينَ دِينَارًا نِصْفُ دِينَارٍ، وَفِي أَرْبَعِينَ دِينَارًا دِينَارٌ، فَمَا زَادَ فَبِالْحِسَابِ

Maksudnya: “Tidak dikenakan zakat bagi jumlah yang kurang dari 20 dinar, kadar zakat yang dikenakan bagi 20 dinar adalah sebanyak setengah dinar, kadar zakat yang dikenakan bagi 40 dinar pula adalah sebanyak satu dinar, dan sebarang jumlah tambahan akan dikira dengan cara yang sama (gandaannya).

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (9966)

Hadith – hadith di atas menunjukkan bahawa kadar zakat emas dan perak adalah sebanyak 2.5 % dan perkara ini adalah ijma‘ ulama. (Lihat Irwa’ al-Ghalil, 3/291).

Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5 %.

Jelaslah bahawa kadar bayaran sebanyak seperempat dari sepersepuluh ataupun bersamaan dengan 2.5% bagi zakat emas dan perak, mahupun matawang tidak ada khilaf dalam kalangan ulama. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah bahawa apabila genap jumlah perak sebanyak 200 dan jumlah dinar sebanyak 20, maka zakat yang wajib dikeluarkan adalah rub‘u al-‘usyr (رُبْعُ الْعُشْرِ) — iaitu bersamaan 2.5 % — daripada jumlahnya, maka kami tidak mengetahui adanya perselisihan dalam kalangan ahli ilmu mengenai zakat emas dan perak adalah rub‘u al-‘usyr (رُبْعُ الْعُشْرِ) daripada jumlahnya. Sesungguhnya telah sabit hal itu berdasarkan sabda Baginda SAW: “Untuk zakat perak (setiap 200 dirham) zakatnya adalah seperempat puluh Dirham (2.5%).[1] Selain itu, Nabi SAW juga ada bersabda: “Berikan seperempat dari sepersepuluh (2.5%) bagi setiap empat puluh dirham satu dirham, dan tidak dikenakan zakat pada jumlah 190 dirham.[2] Al-Tirmizi menyebutkan, al-Bukhari berkata mengenai hadith ini: “Hadith ini adalah sahih di menurutku.” Ia juga diriwayatkan oleh Sa‘id dengan lafaz: “Berikan sedekah (zakat) perak bagi setiap 40 dirham sebanyak satu dirham.” Selain itu, para ulama juga sudah menyatakan ijma‘ bahawa zakat yang perlu dikeluarkan bagi 200 dirham adalah sebanyak 5 dirham. Ibn Umar dan Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW biasanya mengambil setiap dua puluh dinar atau lebih, sebanyak setengah dinar, dan mengambil daripada empat puluh dinar sebanyak satu dinar. (Lihat al-Mughni, 4/214-215).

Tambahan lagi, dinyatakan dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah bahawa menjadi suatu kewajipan untuk mengeluarkan 2.5 % daripada emas, perak, matawang atau barang dagangan yang kamu miliki; sekiranya masing-masing sudah mencapai nisabnya dengan sendirinya atau digabungkan dengan harta lain baik berupa wang atau barang dagangan, dan sudah mencapai haul. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 9/439).

Namun, jika maksud pertanyaan ini adalah bagi mengetahui hikmah di sebalik penetapan kadar tersebut, maka kami katakan bahawa pertamanya, seorang Mukmin beramal dengan apa yang ditetapkan oleh syariat sama ada dia dapat mengetahui dan memahami hikmahnya ataupun tidak. Banyak ibadah yang hikmahnya tidak dapat diketahui dengan pasti, seperti bilangan solat dan perbezaan bilangan rakaatnya, tujuh pusingan tawaf, tujuh pusingan sa‘ie, melempar jamrah sebanyak tujuh kali, dan banyak lagi. Tidak menjadi masalah bagi seorang Muslim untuk mencari hikmah di sebalik pensyariatan ibadah tersebut, tetapi yang ditegah adalah berhenti dan tidak melakukan perintah yang disyariatkan atau bersikap ragu-ragu akannya selagi dia belum mengetahui dan memahami hikmahnya. Selagi syariat sudah menetapkan kadar tersebut dalam zakat, maka tidak ada keraguan lagi bahawa ia adalah kadar yang paling sesuai untuk keadaan orang yang dizakatkan dan orang yang mengambil zakat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Nota Hujung:

[1] Baginda SAW bersabda:

وَفِي الرِّقَّةِ رُبْعُ العُشْرِ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ إِلَّا تِسْعِينَ وَمِائَةً، فَلَيْسَ فِيهَا شَيْءٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا

Maksudnya: “Untuk zakat perak (setiap 200 dirham) zakatnya seperempat puluh Dirham (2.5%). Jika perak tersebut hanya mencapai 190 dirham maka tidak wajib dibayarkan zakatnya, kecuali jika pemiliknya ingin bersedekah.

Riwayat al-Bukhari (1454)

[2] Baginda SAW bersabda:

هَاتُوا رُبْعَ الْعُشُورِ مِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ دِرْهَمًا دِرْهَمٌ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ شَيْءٌ حَتَّى تَتِمَّ مِائَتَيْ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Berikan seperempat daripada sepuluh (2.5%) bagi setiap empat puluh dirham satu dirham, dan tidak dikenakan zakat ke atas kamu sehinggalah jumlahnya genap 200 dirham.

Riwayat Abu Daud (1572)