#5821: Kembali Ke Makkah Dari Ziarah Taif Tanpa Melaksanakan Umrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya berkaitan niat umrah, saya menunaikan umrah dan berniat di Qarn al-Manazil, selapas 5 hari sy di Makkah, saya pergi ke Taif, balik dari Taif menuju ke Makkah saya tidak berniat untuk buat umrah kemudian pada keesokan hari timbul keinginan untuk melakukan umrah sebelum ke Madinah, soalan saya adakah boleh saya keluar berniat umrah di Tana’im, dan  adakah situasi saya ini dikenakan dam seekor kambing? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.).

Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarn al-Manazil bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (1530)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Dalam menjawab persoalan di atas dalam isu ini kami katakan, kami ingin katakan bahawa tidaklah dianggap sebagai kesalahan bagi sesiapa yang telah menunaikan ibadah umrah dan seterusnya pergi ke Taif, lalu kembali ke Makkah tanpa berniat untuk melakukan umrah sekali lagi. Hal ini disebabkan individu tersebut telah menunaikan ibadah umrah setelah tiba di Makkah, dan perjalanannya ke Taif hanya dilakukan untuk tujuan ziarah. Dalam situasi seperti berikut dia tidaklah dikenakan sebarang dam.

Adapun sekiranya mereka yang ingin melakukan umrah sepanjang keberadaan di Makkah mereka dikehendaki untuk keluar daripada Tanah Haram untuk berniat ihram.  Sebagai contoh, lokasi yang biasa digunakan oleh jemaah  yang berada Makkah  untuk berniat ihram adalah di  Masjid Aisyah di Tan’im.

Hal ini sebagaimana yang disebut dalam Fiqh al-Manhaji (2/131) bahawa: Manakala mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah Haram untuk berihram umrah ke Tanah Halal yang terdekat walaupun selangkah. Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.”

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Tambahan pula Imam al-Nawawi turut menyatakan, sesiapa yang sedang berada di Makkah dan berkeinginan mengerjakan ibadah umrah, maka miqatnya ialah Tanah Halal yang paling dekat. Tidak boleh untuk dia berniat ihram umrah dari Tanah Haram. Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari Tanah Haram, kemudian dia keluar ke Tanah Halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya tetap diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah Halal tetapi terus melakukan tawaf, sa‘ie dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini dan pendapat yang paling sahih, umrahnya dikira sah tetapi dia dikenakan dam.  (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/151).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, sekiranya penduduk Makkah atau sesiapa yang sedang berada di Makkah mahu mengerjakan ibadah umrah, hendaklah memulakannya — iaitu berniat ihram umrah — dari Tanah Halal dan sekiranya mahu mengerjakan ibadah haji, niat ihramnya adalah dari Makkah — iaitu di dalam Tanah Haram. Tidak kira sama ada mereka bermukim di Makkah ataupun bukan. Ini kerana sesiapa yang melalui miqat tersebut dikira sebagai tempat miqat baginya, dan kami tidak mengetahui adanya perselisihan ulama mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 3/246).

Sebagai kesimpulannya kami katakan bahawa tidaklah dianggap sebagai kesalahan bagi sesiapa yang pergi ke Taif untuk berziarah dan kemudian kembali ke Makkah tanpa melaksanakan Umrah. Tindakan ini tidak akan menyebabkan sebarang denda atau dikenakan dam. Bagi sesiapa yang berhasrat untuk menjalankan umrah ketika berada di Makkah, mereka dikehendaki keluar ke Tanah Halal yang berdekatan untuk melakukan niat ihram.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a‘lam.