#5823: Mengeluarkan Harta Wakaf Daripada Masjid Untuk Kepentingan Peribadi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan untuk mengambil harta  yang diwakafkan di masjid untuk digunakan pada tempat lain? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat: Al-Mughni, 12/175)

Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran :92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat reda Allah SWT dan RasulNya. (Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496)

Dalam satu hadith Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”

 Riwayat al-Bukhari (2769)

Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa harta yang telah diwakafkan di masjid tidak seharusnya diambil keluar dari masjid untuk kegunaan peribadi. Ini disebabkan oleh fakta bahawa harta yang diwakafkan itu diniatkan untuk kegunaan umum, seperti buku atau mushaf, dan sebagainya yang diletakkan di masjid. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi seseorang untuk menggunakan harta wakaf untuk kegunaan atau kepentingan peribadi.

Imam Ibn Hajar al-Haytami rahimahullah ditanya tentang air yang disedekahkan untuk tujuan bersuci di masjid, adakah dibenarkan seseorang memindahkannya ke tempat persebunyiannya dan menyimpannya di situ untuk tujuan bersuci, sambil menghalang orang lain daripada menggunakannya dan bagi keperluan di dalam masjid? dan adakah boleh atau tidak perkara tersebut sekiranya dia tidak menghalang orang lain daripada menggunakannya? Beliau menjawab: “Sesiapa yang menyedekahkan air atau meninggalkan air untuk tujuan bersuci di sebuah masjid, tidak dibenarkan memindahkannya dari tempat itu untuk tujuan kesucian atau tujuan lain, dan menghalang orang lain daripada menggunakannya. Ini kerana air yang telah diinfaqkan adalah haram untuk dipindahkan ke tempat lain yang tidak berkaitan dengannya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 3/266)

Begitu juga Syeikh Ibn Bazz dalam isu ini menyatakan bahawa: Adalah tidak dibenarkan mengambilnya dari masjid, sebaliknya hendaklah ditinggalkan di dalam masjid supaya digunakan oleh mereka yang berada di dalamnya, terutamanya para pembaca al-Quran, yang membacanya dan memperoleh manfaat daripadanya. Ini  kerana penempatannya di dalam masjid atau perpustakaan masjid adalah dengan tujuan memberi manfaat kepada manusia. Maka, janganlah mengambil al-Quran yang ada di dalamnya atau buku-buku yang ada di dalamnya.[1]

Justeru, kami nyatakan bahawa apa-apa harta yang telah diwakafkan untuk kegunaan di dalam masjid tidak dibenarkan untuk dikeluarkan daripada masjid. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa harta yang telah diwakafkan tersebut dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan umum, bukan untuk kegunaan peribadi. Dengan tindakan ini, pahala akan terus mengalir kepada pewakaf selagi mana harta tersebut masih digunakan dan dimanfaatkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/12548/%D8% Diakses pada 25 April 2024