#5824: Malas Bekerja dan Cara Merawatnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana untuk mengatasi dan merawat sikap malas bekerja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ

Maksudnya: “Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas.”

(Surah al-Nisa’: 142)

Kemalasan adalah musibah besar yang membawa akibat buruk kepada individu dan masyarakat. Ia memusnahkan keperibadian, menghilangkan kesegaran hidup, dan menyebabkan seseorang itu mengabaikan dan menunda pelbagai peluang-peluang yang luas terbentang di hadapan mata. Oleh sebab itu, orang beriman sejati membenci dan tidak suka akan kemalasan.

Antara cara bagaimana seseorang itu boleh merawat kemalasan dalam diri secara umumnya adalah:

 

Pertama: Mengekalkan sebarang jenis riadah fizikal; kerana apabila seseorang mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang baik, ia akan dapat mengurangkan kemalasan dalam diri.

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauzi mengatakan, ketahuilah bahawa setiap anggota itu ada riadahnya. Riadah bagi jiwa adalah membaca, maka mulakanlah pembacaan daripada bacaan secara perlahan kepada bacaan dengan suara yang kuat secara berperingkat. Dan riadah bagi pendengaran adalah dengan cara mendengar dialog secara berperingkat, daripada dialog yang ringan hingga berat. Begitu juga riadah lisan dalam berkata-kata, dan riadah penglihatan, sepertimana riadah berjalan, mestilah secara berperingkat, sedikit demi sedikit. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 4/170)

 

Kedua: Memenuhkan masa dengan aktiviti yang bermanfaat, kerana masa kosong yang tidak terluang boleh melahirkan perasaan malas dalam diri seseorang.

Antara perkara yang bermanfaat adalah bekerja mencari rezeki, kerana ia boleh menjadi punca pendapatan yang halal bagi seseorang berbanding duduk sahaja tanpa sebarang pekerjaan. Rasulullah SAW telah menasihatkan kita sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَحْتَطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَأْتِيَ رَجُلًا، فَيَسْأَلَهُ أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ

Maksudnya: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya bahawa salah seorang daripada kamu mengambil talinya lalu mencari kayu api dan membawanya di belakangnya (yakni bahunya), itu lebih baik baginya daripada dia mengemis dan meminta-minta daripada orang lain yang belum pasti akan diberi atau tidak.”

Riwayat al-Bukhari (1470), Muslim (1042), al-Nasa’ie (2589) dan Ahmad (7490)

Ketiga: Memelihara solat. Tidak syak lagi bahawa solat itu boleh memastikan kesihatan tubuh seseorang, di samping menjaga imannya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ، فَارْقُدْ فَإِنِ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللهَ، انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ

Maksudnya: “Syaitan akan mengikat leher kepala seseorang daripada kamu apabila dia tidur dengan tiga ikatan. Ia (syaitan itu) meletakkan setiap ikatan (sambil mengatakan): ‘Malam ini sangat panjang, maka tidurlah.’ Apabila orang itu bangun lalu menyebut nama Allah, maka terlepas satu ikatan. Kemudian, jika dia berwuduk, maka terlepas satu ikatan lagi, dan jika dia menunaikan solat, maka terlepaslah satu ikatan (yang akhir). Lalu dia akan berpagi-pagian dalam keadaan dia akan merasakan kesegaran tubuh dan ketenteraman jiwa (dalam ketaatan). Namun jika tidak (melakukan semua ini), maka pagi harinya dia akan merasakan jiwa yang kotor dan tubuh yang lesu.”

Riwayat al-Bukhari (1142) dan Muslim (776)

Kemalasan berfikir ini telah menjadi punca kebinasaan umat terdahulu, sehingga mereka diberikan kesudahan buruk. Firman Allah SWT:

فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُنذَرِينَ (٧٣) إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: “Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran. Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).”

(Surah al-Saffta : 73-74)

Pada ayat sebelumnya, Allah SWT menerangkan tentang satu sikap penghuni neraka yang menyebabkan mereka dimurkai oleh-Nya. Sikap tersebut ialah terburu-buru mengikut jejak langkah nenek moyang mereka tanpa berfikir tentang apa yang mereka bawakan itu benar atau jauh terpesong dari kebenaran. Allah SWT mencela sikap taqlid secara membuta-tuli seperti itu tanpa menggunakan akal untuk berfikir dan menilai tentang kebenarannya.

Begitu juga, apabila diutuskan rasul-rasul kepada mereka untuk memberi peringatan terhadap kesesatan kepercayaan dan amalan yang diwarisi mereka tersebut, namun mereka mengingkarinya dan tidak mahu mengambil pengajaran langsung daripada apa yang disampaikan oleh utusan Allah SWT tersebut.

Menurut Imam Fakhr al-Din al-Razi, maksud daripada ayat itu ialah Allah SWT memberikan sebab kukuh yang menyebabkan mereka berhak untuk diazab dengan azab yang pedih kerana bertaqlid kepada nenek-moyang mereka dan meninggalkan dalil-dalil nyata yang dibawa oleh para rasul. Beliau menambah, kalaulah tiada ayat al-Quran lain yang mencela sifat taqlid secara membuta-tuli kecuali ayat ini sahaja, maka ia sudah memadai. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 26/338)

Kemudian Allah SWT mengecualikan sebahagian hamba-hamba yang dibersihkan oleh- Nya daripada syirik dan diselamatkan daripada azab neraka serta mendapat sebaik-baik balasan daripada Allah SWT. Menurut al-Alusi dalam tafsirnya, mereka ialah golongan yang Allah SWT membersihkan mereka dengan taufik dan hidayah untuk beriman dan beramal dengan amalan yang diwajibkan ke atas mereka. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 12/94)

Kesimpulan

Allah SWT mencela orang yang tidak menggunakan akal fikiran dengan hanya mengikut apa yang tidak mereka mempunyai pengetahuan terhadapnya. Allah SWT menggalakkan manusia untuk menggunakan akal untuk berfikir dan mengkaji. Dalam banyak ayat al-Quran dan hadith menerangkan tentang perkara ini. Firman Allah SWT:

مَثَلُ ٱلْفَرِيقَيْنِ كَٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْأَصَمِّ وَٱلْبَصِيرِ وَٱلسَّمِيعِ ۚ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Perumpamaan golongan kafir dan beriman itu umpama seorang yang buta lagi pekak, dan seorang lagi yang boleh melihat serta mendengar; adakah sama kedua-dua golongan itu jika dibandingkan? Tidakkah kamu mahu mengambil pengajaran daripada perumpamaan tersebut?”

(Surah Hud: 24)

Firman-Nya lagi:

أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰٓ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

Maksudnya: “Adakah sama antara orang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu merupakan suatu yang benar dengan orang yang buta? Sesungguhnya orang yang mengambil iktibar dengan perumpamaan itu ialah orang-orang yang berakal.”

(Surah al-Ra‘d: 19)

Golongan Ulul Albab yang disebutkan Allah SWT dalam al-Quran ialah golongan yang menggunakan akalnya untuk berfikir. Sebaliknya, hal keadaan yang berlaku pada dunia Islam hari ini ialah umat Islam malas berfikir sehingga ketinggalan dalam pelbagai aspek. Selain itu, umat Islam juga terperangkap dengan apa yang disebut sebagai al-afkar al-mayyitah (pemikiran yang jumud) dan al-afkar al-mumitah (pemikiran yang mematikan).

Menurut Malik bin Nabi yang merupakan seorang pemikir Islam yang terkenal, beliau menyeru umat Islam supaya meninggalkan amalan pemikiran yang jumud yang masih lagi berdebat tentang isu-isu yang remeh dan menjadikannya punca pergaduhan dan permusuhan, sedangkan ia boleh diselesaikan dengan harmoni.

Maka, dengan pemikiran seperti ini, pemikiran kita akan mati. Begitu juga, sikap yang terlalu fokus kepada perkara negatif, sedangkan ada banyak sisi positif yang boleh untuk dijadikan contoh. Apabila melihat seseorang berada dalam kesusahan, kita menambahkan lagi tekanan dan memfitnah seseorang yang tidak sependapat dengan kita. Inilah pemikiran yang mematikan. Oleh itu, kita perlu berfikir dengan al-afkar al-hayyah (pemikiran yang dinamik) bagi menyelesaikan isu, berfikir demi maslahah ummah serta sentiasa menginginkan kebaikan untuk diri dan masyarakat sekeliling. (Lihat Musykilah al-Afkar fi al-‘Alam al-Islami, hlm. 146-152)

Kami akhiri dengan beberapa noktah tentang cara merawat kemalasan berfikir ini:

  • Mengekalkan kesihatan tubuh, kerana ia sangat mempengaruhi intelektual serta kecerdasan berfikir.
  • Memenuhkan jadual dengan aktiviti bermanfaat.
  • Memelihara solat, terutamanya solat-solat malam dan solat sunat yang lain.

Semoga kita semua dapat menghindarkan diri dari sifat malas yang  boleh merosakkan diri kita. Marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas.”

Wallahu a‘lam.