Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita sebagai ibu bapa mendoakan sesuatu yang buruk kepada si anak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Anak-anak merupakan anugerah Allah SWT buat hamba-Nya. Firman Allah SWT:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”
(Surah al-Nahl: 72)
Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)
Dan disebutkan juga di dalam firman Allah SWT:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”
(Surah al-Kahf: 46)
Imam al-Alusi menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan tentang perkara-perkara yang menjadi kebanggaan manusia daripada kebaikan kehidupan di dunia. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 8/271)
Anak-anak mempunyai satu anugerah yang amat besar dalam hidup mereka selama mana ibu bapa mereka masih hidup, iaitu doa ibu bapa buat mereka yang dijamin kemustajabannya. Ini thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ
Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab, tidak ada keraguan padanya: doa orang yang dizalimi, doa musafir dan doa orang tua untuk anaknya.”
Riwayat Abu Daud (1536), al-Tirmizi (1905), Ibn Majah (3862) dan Ahmad (7501)
Salah satu kesilapan yang dilakukan oleh ramai bapa dan ibu ialah mereka mendoakan keburukan ke atas anak-anak mereka jika berlaku sesuatu yang menyebabkan mereka marah. Benar, menjadi ibu bapa merupakan satu ujian yang amat mencabar dalam kehidupan seseorang, akan tetapi sebaiknya langkah yang diambil untuk memanfaatkan anugerah Allah SWT ini adalah berdoa memohon petunjuk untuk anak-anak agar Tuhan memperbaiki akhlak mereka dan memberikan mereka hidayah serta taufiq.
Segala puji bagi Allah SWT dengan rahmat-Nya, Dia menjadikan doa ibu bapa ke atas anak semasa sedang marah atau penat tidak diperkenankan. Ini berdasarkan firman-Nya:
وَلَوْ يُعَجِّلُ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ ٱلشَّرَّ ٱسْتِعْجَالَهُم بِٱلْخَيْرِ لَقُضِىَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ ۖ فَنَذَرُ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ
Maksudnya: “Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.”
(Surah Yunus: 11)
Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT menceritakan tentang kesabaran dan kemurahan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya, dan bahawa Dia tidak akan memperkenankan permohonan mereka apabila mereka berdoa ke atas diri mereka sendiri, harta mereka, atau anak-anak mereka dalam keadaan kesulitan atau kemarahan, dan Dia mengetahui mereka tidak bermaksud jahat. Oleh itu, atas sebab ini, Dia tidak memperkenankan permohonan mereka dalam keadaan ini sebagai rahmat dan kelembutan, sebagaimana Dia memperkenankan permohonan mereka apabila mereka memohon untuk diri mereka sendiri, harta mereka, atau anak-anak mereka dengan kebaikan, keberkatan, dan perkembangan.
Beliau juga membawakan tafsiran Mujahid bagi ayat di atas, katanya: “Iaitu doa manusia ke atas anaknya dan hartanya semasa sedang marah: ‘Wahai Tuhan, janganlah engkau memberkatinya dan laknatlah dia.’ Sekiranya Allah segera mengabulkan doa tersebut, sepertimana dikabulkan doa untuk kebaikan, nescaya binasalah mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/220)
Oleh kerana kemustajaban doa itu juga, Rasulullah SAW menegah dari seseorang itu berdoa ke atas anak-anak mereka. Ini warid dalam hadith Jabir bin ‘Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللَّهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ
Maksudnya: “Jangan kamu berdoa ke atas diri sendiri, jangan berdoa ke atas anak-anak kamu, dan jangan berdoa ke atas harta-harta kamu. Jangan sampai kamu berdoa (keburukan) bertepatan dengan waktu mustajab berdoa lalu Allah mengabulkan doa kamu.”
Riwayat Muslim (3009)
Larangan ini jelas, kerana dikhuatiri ia tepat pada waktu yang dimustajabkan padanya berdoa, lalu Allah SWT mengabulkannya. Nescaya, binasalah anak-anak itu atas kesalahan kecil mereka yang baru saja ingin mengenal erti kehidupan dan dunia.
Satu kisah yang nyata berlaku apabila saya bertemu salah seorang ustaz yang mengendalikan kes kematian di tali gantung, di mana salah seorang disangkakan dengan sebab doa ibunya sendiri yang selalu mengucapkan, ‘kamu akan ke tali gantung.’ Maka sesallah ia dengan apa yang dikatakan sehingga sanggup memberi sejumlah wang bagi mengelakkan anaknya menuju ke tali gantung. Semoga Allah selamatkan kita dari doa seperti itu terutamanya dari diri dan anak kita, sebaliknya doalah sebagaimana yang diajar oleh Allah:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Kesimpulan
Ibu bapa tidak sepatutnya mendoakan keburukan ke atas anak-anak mereka, sebaliknya menggunakan kemustajaban doa mereka pada waktu-waktu yang dimustajabkan berdoa untuk mengharapkan kebaikan serta penambahbaikan akhlak buat anak-anak tercinta. Dunia ini merupakan ujian kehidupan yang bersifat sementara, kelak kita semua akan kembali menghadap pencipta pada hari kiamat yang tidak ada sebarang keraguan padanya.
Semoga dengan doa-doa kebaikan itu akan menjadikan anak-anak sebagai saham kebaikan buat kita semasa di alam barzakh, sebelum tibanya hari kebangkitan. Disebutkan dalam hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh, yang berdoa untuknya.”
Riwayat Muslim (1631), Abu Daud (2880), al-Tirmizi (1376) dan al-Nasa’ie (3651)
Akhir kalam, marilah kita sama-sama menadah tangan seraya berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a‘lam.