#5826: Keluarga Sebagai Asas Masyarakat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah keluarga sebagai asas masyarakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Individu adalah sebahagian daripada keluarga dan keluarga pula adalah sebahagian daripada masyarakat. Dalam membincangkan pembinaan sesebuah negara, keluarga merupakan subjek yang amat penting kerana ia komponen asas kepada pembentukan masyarakat dan seterusnya dalam membina sebuah negara yang berperadaban. Apabila keluarga itu baik, maka baiklah keluarga dan masyarakatnya.

Dalam hal ini agama Islam sebenarnya telah mengajar kita betapa keluarga dan semangat kekeluargaan itu perlu diberi perhatian. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu semua adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977), Riwayat al-Tirmizi (3895)

 Semua nilai baik perlu diterapkan dari rumah dalam kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat kemudian ia dibudayakan dalam hubungan kejiranan dan persekitaran sekolah ketika generasi muda sedang membesar dan belajar mengenali hidup bermasyarakat. Individu yang telah terbiasa dengan nilai-nilai ini akan terus membawanya dan mengamalkan ketika ia dewasa dan matang.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan kaum keluarga kamu dari api neraka, yang kayu bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Saidina Ali RA menyatakan bahawa ayat ini merupakan suatu suruhan kepada ketua keluarga untuk mendidik anak-anak dan ahli keluarga dengan perkara-perkara yang baik. Dalam satu tulisan oleh Mohd Fahimi Zakaria, beliau menyebut bahawa rumah sepatutnya menjadi sekolah pertama kepada generasi muda, manakala ibu bapa merupakan guru pertama kepada anak-anak mereka sendiri demi pembentukan peribadi yang berkualiti.

Penyair Hafiz Ibrahim berkata:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا          أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ

الأُمُّ أُسْتَاذُ الأَسَاتِذَةِ الأُلى        بَلَغَتْ مَآثِرُهُمْ مَدَى الآفَاقِ

Ibu merupakan sekolah, jika kamu sediakannya

            Sebenarnya kamu menyediakan generasi yang baik akhlaknya

Ibu adalah ketua guru yang tinggi

            Sampai kesannya sejauh ufuk.

Kesejahteraan yang dimiliki oleh sesebuah keluarga akan membenarkan berlakunya pendidikan, bimbingan serta pembentukan sahsiah yang cemerlang pada setiap ahli keluarga. Pendek kata, negara membangun sebenarnya bermula dari rumah, atau dari keluarga sejahtera yang berpaksi kepada akidah.

Apa-apa pun, masing-masing hendaklah menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Pasangan suami isteri, ibu bapa, anak-anak sentiasa memahami tugas dan tanggungjawab untuk dilaksanakan sebagai amanah Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya.”

Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)