#5827: Tips Membina Keluarga Bahagia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan, apa tips-tips dalam membina sebuah keluarga yang bahagia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

“Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu.”

Inilah salah satu wasiat Umamah kepada puterinya sewaktu ingin berkahwin dengan al-Harith bin Amru, sedang Rasulullah SAW pernah menasihati Saidina Ali RA ketika beliau meminang Fatimah R.Anha.

Sabdanya, “Dia untukmu, tetapi engkau harus menemaninya dengan baik.”

Dr al-Siba’ie berkata: Sa’adah atau kebahagiaan suami isteri tidak sempurna melainkan kamu faham berkenaan isterimu dan isterimu faham berkenaanmu. Kebahagiaan yang dimaksudkan seperti mana disebut oleh Ibn Khaldun,

“Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikuti garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan..”

Manakala Mattern berpendapat: Jalan menuju kebahagiaan adalah berdasarkan beberapa perkara berikut:

  • Bebaskan hatimu daripada rasa dendam dan rasa takut.
  • Hidup dengan penuh sederhana. Mengharapkan sedikit tetapi banyak memberi.
  • Mengisi penuh harapanmu dengan kasih sayang.
  • Pancarkanlah cahaya mentari.
  • Lupakanlah dirimu sendiri dan ingatlah orang lain.

Seorang suami adalah ketua rumahtangga yang mengemudi nakhoda, maka si isteri pula berperanan sebagai pembantu yang sentiasa menyokong dan membantu sama dalam melayari onak ranjau alam perkahwinan. Justeru, terdapat beberapa tips keluarga bahagia antaranya suami isteri mestilah:

  • Berfikiran matang.
  • Bersedia memikul tanggungjawab.
  • Menyimpan rahsia rumah tangga dengan baik.
  • Saling mendengar pandangan dengan hati yang terbuka.
  • Memahami ilmu agama dan mempraktikkannya

Dalam mencapai hasrat di atas, tiga hal utama perlu ditekankan iaitu sentiasa mengajak pasangan dan keluarga mempelajari ilmu agama pada setiap minggu sekurang-kurangnya, juga melangkah ke masjid untuk solat berjemaah di samping sentiasa menjaga akhlak dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Akhir kalam, banyakkan doa sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”