#5834: Benarkah Amalan Melaungkan Azan Pada Telinga Bayi Tidak Sahih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya baru mendengar yang amalan melaungkan azan di telinga bayi yang baru lahir adalah tidak sahih. Benarkah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan perbahasan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.

Riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)

Azan disyariatkan apabila masuk  waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Malik bin Al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya : Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan.

Riwayat al-Bukhari (628)

Allah SWT mensyariatkan laungan azan bagi menyeru umat Islam untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid. Hukumnya adalah sunat muakkad bagi solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)

Imam Nawawi dalam Majmu’ menyatakan: menurut pendapat mazhab kami yang masyhur bahawa kedua-duanya(azan dan iqamah) adalah sunat bagi kesemua solat ketika bukan musafir dan juga ketika musafir sama ada secara berjemaah dan solat bersendirian. (Lihat  al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/82).

Selain itu, disunatkan juga azan dan iqamat juga pada beberapa ketika dan keadaan diluar solat. Antaranya:

  • Disunatkan azan: Dalam keadaan sedih, pergaduhan, marah, kepada sesiapa tidak terkawal perilakunya sama ada manusia atau haiwan, ketika kebakaran dan ketika dirasuk oleh jin.
  • Disunatkan azan dan iqamat: Di telinga bayi yang baru lahir, menghantar orang yang akan bermusafir dan ketika menurunkan mayat ke dalam kubur. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  amalan melaungkan azan adalah amalan sunnah yang dianjurkan untuk dilakukan ketika menerima kelahiran  baru. Yang demikian berdasarkan apa yang telah baginda lakukan iaitu baginda mengumandangkan azan pada telinga cucunya Hasan bin Ali setelah kelahirannya. Diriwayatkan daripada Abu Rafi’ daripada ayahnya R.A:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ – حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ – بِالصَّلاَةِ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.”

Riwayat Abu Daud (5105) dan al-Tirmizi (1514)

Terdapat juga athar yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya dan oleh al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah yang mana meriwayatkan daripada Umar bin Abd al-‘Aziz Rahimahullah bahawa ketika beliau mendapat cahaya mata, beliau akan mengazankannya di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri. Namun athar ini tidak terlepas daripada kritikan para muhaddith. Wallahu a’lam.

Berkaitan dengan hadith ini, dalam Syarh al-Misykah (9/2837) menyebutkan bahawa Imam al-Tarmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Begitu juga Ibn Malik dalam Syarh al-Misbah beliau menyebutkan hadith ini sebagai sahih namun, Ibn Mulaqqin mendhaifkannya. (Lihat Syarh al-Misbah, 4/533, Takhrij Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/997)

Justeru kami katakan bahawa walaupun hadith ini terdapat kritikan oleh sebahagian ulama namun terdapat juga sebahagian ulama yang menilainya sebagai sahih atau hasan sahih. Oleh yang demikian, kami berpandangan tidaklah menjadi satu kesalahan untuk beramal dengan hadith ini  bahkan para ulama amat menggalakkan untuk dilaungkan azan apabila dikurniakan kelahiran yang baru kerana perkara tersebut termasuk dalam amalan sunnah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam.