#5834: Makan Ikan Naga (Oarfish)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu video orang bercerita tentang sejenis ikan yang menyerupai naga sehingga ia dipanggil sebagai ikan naga atau dipanggil juga sebagai oarfish. Soalan saya, adakah ia halal dimakan seperti mana ikan-ikan yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi dan sedikit penjelasan berkenaan ikan naga atau oarfish ini. Oarfish, (Regalecus glesne) merupakan ikan besar, panjang, berliku-liku dari keluarga Regalecidae (order Lampridiformes), ditemui di seluruh kawasan tropika dan subtropika dalam air yang agak dalam. Ikan berbentuk reben, sangat nipis dari sisi ke sisi, oarfish boleh membesar sehingga panjang kira-kira 9 meter (30.5 kaki) dan berat 300 kg (660 paun). Ia berwarna perak berkilat, dengan sirip pelvis yang panjang, merah, seperti dayung dan sirip punggung merah yang panjang yang naik sebagai jambul seperti manusia di atas kepala. Jarang dilihat di permukaan, ia dikreditkan sebagai “sea serpent”(naga laut) oleh beberapa penampakan yang dilaporkan.[1]

Sumber gambar: https://www.britannica.com/animal/oarfish

Memakan ikan naga (oarfish)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, hukum asal bagi apa-apa yang keluar dari laut yang terdiri daripada makanan adalah halal. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

undefined

Gambar di atas: Lakaran Berkenaan “Sea Serpent” (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Sea_serpent#/media/File:Sea_serpent.jpg)

Selain daripada itu, ulama mazhab Hanafi sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) menyebutkan bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[2] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Manakala jumhur ulama pula berpendapat, bangkai hidupan air adalah halal dimakan tidak kira daripada jenis ikan mahupun selainnya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) haiwan/hidupan air itu terbahagi kepada dua jenis.

Pertamanya, haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i).

Keduanya, hidupan air  yang tidak dalam bentuk kebiasaan ikan (sebagaimana yang biasa dikenali) maka terdapat tiga pendapat masyhur dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i mengenai kehalalannya sebagaimana disebutkan oleh pengarang dalam al-Tanbih, begitu juga al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya turut menyatakan bahawa terdapat tiga pendapat mengenainya. Pendapat pertama iaitu pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i ialah semuanya halal untuk dimakan. Ini adalah sebagai dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan Ikhtilaf al-‘Iraqiyyin kerana sebetulnya perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Menurut Ibn ‘Abbas dan selainnya, “buruan laut” ialah apa yang kamu buru, manakala “makanannya” pula ialah apa yang dilemparkannya.

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Pendapat kedua, haram memakannya dan ini juga adalah mazhab Abu Hanifah. Manakala pendapat ketiga menyatakan, jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan seumpamanya, maka ia juga turut halal dimakan. Jika haiwan di daratan yang menjadi bandingannya tidak dimakan dagingnya seperti babi air dan anjing laut, maka ia juga haram dimakan. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal mengikut apa yang kami telah sebutkan berdasarkan dalil yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ketiga ini, tidak halal dimakan haiwan yang menyerupai keldai, meskipun terdapat di daratan, keldai liar yang boleh dimakan. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Sabbagh, al-Baghawi dan selain kedua-duanya. Seterusnya, Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua hidupan laut/air adalah halal bangkainya melainkan katak.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan, ikan yang terapung adalah halal untuk dimakan. Iaitu ikan yang mati dengan sendirinya. Hal ini kerana menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31-33).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa oarfish atau ikan naga ini adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air/laut dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Apatah lagi, oarfish ini termasuk dalam jenis atau kategori ikan selagi pun sifatnya yang besar, panjang dan berliku-liku, tidak sama seperti mana kebiasaan ikan yang biasa kita kenali atau lihat. Oleh itu, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/oarfish. Diakses pada 30 April 2024.

[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).