#5835: Penggunaan Merkuri dalam Produk Kosmetik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ustaz komen sikit berkenaan penggunaan merkuri atau raksa dalam sesetengah produk kosmetik? Ini kerana sesetengah produk kosmetik seperti alat-alat solek yang dipakai oleh wanita dalam menjaga kecantikan mereka mengandungi bahan tersebut dan seperti mana yang diketahui bahan tersebut berbahaya kepada manusia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya:Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.)

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)

Justeru, hukum pemakaian produk kosmetik tidak kira bagi lelaki mahupun wanita adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Walau bagaimanapun, terdapat batasan dalam hal tersebut bagi wanita. Perkara yang harus diingat dan diberi perhatian bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Al-Syaukani menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan — yakni perhiasan dan kecantikkannya — bagi mata-mata — untuk melihat dan menikmatinya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/61.)

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya:Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.

(Surah al-Ahzab: 33)

Al-Maraghi dalam tafsirnya (22/6) menyebutkan, larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam.

Begitu juga, al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian laki-laki — yakni syahwat mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320.)

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam hal ini, mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Lalu disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka para ulama telah menyatakan ijma’ bahawa ia adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62.)

Justeru, perbuatan bertabarruj itu merupakan kebiasaan wanita Jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.

Selain itu, wanita juga tidak boleh mempamerkan kecantikannya melainkan kepada suami mereka dan sebahagian manusia yang telah disebut di dalam ayat 31 Surah al-Nur sebagaimana firman-Nya:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Al-Sa‘di menafsirkan lafaz “إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا” (yakni kecuali yang zahir daripadanya) pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 566).

Produk Kosmetik yang Mengandungi Merkuri

Merkuri atau juga dikenali sebagai raksa ialah unsur kimia dengan simbol Hg. la adalah sejenis logam berwarna perak, dan tidak seperti logam lain, merkuri pada suhu bilik adalah cecair. Merkuri boleh mengalir dengan cepat dan mudah, hinggakan ia kadangkala dikenali sebagai perakpantas. Tiada siapa yang tahu siapa yang menemui merkuri, tetapi orang Cina, Mesir, Yunani, India dan Rom purba telah mengetahui tentang logam ini. la dinamakan sempena nama pengutus pantas dewa dalam mitos Rom.

Merkuri digunakan dalam sesetengah jenis termometer dan barometer. Sebatian merkuri juga digunakan dalam bidang pertanian dan Industri. la pernah digunakan dengan meluas dalam keluaran biasa seperti cat dan kertas. Oleh itu, merkuri telah tersebar luas dalam persekitaran di sesetengah tempat. Walau bagaimanapun, merkuri adalah sejenis bahan yang benar-benar beracun dan boleh menyebabkan penyakit dan kematian. Selepas ramai orang menyedari bahayanya, industri dan agensi kerajaan cuba untuk mengurangkan jumlah merkuri yang terdapat dalam persekitaran. Berat atom merkuri ialah 200.59 dan nombor atomnya ialah 80. Merkuri melebur pada suhu -38.87°C dan mendidih pada suhu 356.58°C.

Kegunaan. Merkuri mempunyai banyak sifat yang menjadikannya berguna. Misalnya, merkuri mengembang dan menguncup apabila dipanaskan atau disejukkan. Merkuri juga kekal dalam bentuk cecair pada suhu yang berbeza beza dan tidak melekat pada kaca. Sifat ini membolehkan merkuri digunakan dalam termometer. Merkuri mengalirkan elektrik dan digunakan dalam sesetengah suis elektrik dan geganti untuk menjadikannya berfungsi dengan senyap dan cekap. Pembuat bahan kimia perindustrian menggunakan merkuri dalam sel elektrolisis untuk mengubah bahan dengan menggunakan elektrik. Wap merkuri yang digunakan dalam lampu pendarfluor, mengeluarkan cahaya apabila arus elektrik dialirkan.

Pelbagai aloi (campuran logam) yang mengandungi merkuri mempunyai banyak kegunaan. Aloi merkuri dikenali sebagai amalgam. la termasuk amalgam perak iaitu campuran merkuri dengan perak yang digunakan oleh doktor gigi untuk menampal lubang pada gigi. Banyak bateri sel kering mengandungi amalgam zink dan kadmium untuk mencegah bendasing daripada memendekkan hayat bateri.

Sumber. Merkuri tidak banyak terdapat di kerak bumi berbanding dengan logam-logam lain. Walau bagaimanapun, oleh kerana mendapan merkurt agak pekat, ia mudah diperoleh. Kebanyakan merkuri yang digunakan diperoleh daripada bijih yang dikenali sebagai sinabar. Untuk mendapatkan merkuri tulen, loji penapisan memanaskan sinabar dalam aliran udara. Oksigen dalam udara berpadu dengan sulfur dalam bijih, membentuk gas sulfur dioksida dan meninggalkan merkuri.

Sebelum Kesatuan Soviet berpecah pada tahun 1991, negara ini adalah pengeluar utama merkuri. Negara-negara lain yang mengeluarkan merkuri termasuk Algeria, China, Republik Dominica, Finland, Jerman, Itali, Mexico, Slovakia, Sepanyol, Turki dan Amerika Syarikat.

Sebatian. Ahli kimia membahagikan sebatian merkuri kepada dua kumpulan: (1) sebatian merkurus atau merkuri (1) dan sebatian merkurik atau merkuri (II). Sebatian merkurus termasuk merkurus klorida (Hg2Cl2), juga dinamakan kalomel, dan merkurus sulfat (Hg2So4). Kalomel ialah antiseptik yang digunakan untuk membunuh bakteria. Ahli sains menggunakan merkurus sulfat untuk mempercepat ujian tertentu ke atas sebatian organik.

Sebatian merkurik termasuk merkurik klorida (HgCl2), iaitu racun kuat yang pernah digunakan oleh pakar bedah untuk membasmi kuman luka. Merkurik klorida juga dikenali sebagai pejalwapan kakisan atau biklorida merkuri. Kebanyakan amunisi menggunakan merkurik fulminat (Hg[OCN]2) untuk memulakan bahan letupannya. Pembuat cat menggunakan merkurik sulfida (HgS) untuk membuat pigmen merah yang dikenali sebagai vermilion. Bateri merkuri mengandungi merkurik oksida (HgO) Beberapa sebatian merkuri organik adalah penting untuk kegunaan perubatan. Misalnya, sesetengah ubat yang dikenali sebagai diuretik yang digunakan untuk merawat penyakit ginjal mengandungi sebatian ini. Antiseptik Merkurokrom juga adalah sebatian merkuri.

Merkuri dalam persekitaran adalah berbahaya terutamanya kerana sebatian beracunnya terdapat dalam tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menjadi makanan manusia. Ahli sains mendapati sebatian merkuri beracun dalam makanan seperti telur, ikan, bijian dan daging. Merkuri bertindak sebagai racun kumulatif, iaitu badan sukar untuk menyingkirkannya. Oleh itu, ia mungkin terkumpul dalam tempoh yang lama, yang akhirnya mencapai paras yang merbahaya.

Antara sebatian merkuri yang paling berbahaya ialah sebatian yang mengandungi metil merkuri. Sebatian ini boleh merosakkan sel otak. Pada pertengahan tahun 1950-an, lebih daripada 600 orang Jepun telah diracuni oleh ikan yang mengandungi banyak metil merkuri. Merkuri ini datangnya dari sisa perindustrian yang dibuang ke dalam teluk tempat ikan tersebut ditangkap. Pada awal tahun 1970-an, sesetengah ikan tuna dan ikan todak yang dijual di Amerika Syarikat didapati mengandungi sejumlah merkuri yang berbahaya.

Kerajaan menarik balik ikan ini daripada pasaran dan memberi peringatan kepada orang awam. Kerajaan dan industri sedang berusaha untuk menghapuskan merkuri dari persekitaran. Sesetengah negara melarang industri membuang bahan buangan yang mengandungi merkuri. Banyak merkuri telah dibuang ke dalam persekitaran dengan cara lain. Sebatian merkuri pernah digunakan untuk mencegah kulat daripada tumbuh pada kayu, cat, kertas dan biji, dan untuk menghapuskan penyakit kulat tumbuhan. Pembuat kapal menggunakan cat yang mengandungi merkuri untuk mencegah haiwan dan tumbuhan laut daripada membesar pada badan kapal. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 14/118-119).

Berkenaan dengan bahaya merkuri dalam kosmetik, menurut Mohd Dziehan Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, pendedahan kepada merkuri boleh memberi kesan mudarat terhadap kesihatan. Merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kerosakan sistem saraf dan boleh menggangu perkembangan otak bayi dalam kandungan atau bayi yang baru lahir. Selain daripada kerosakan buah pinggang, merkuri bukan organik dalam produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, penyahwarnaan dan parut pada kulit serta mengurangkan pertahanan kulit untuk melawan jangkitan bakteria dan kulat. Kesan lain merkuri juga dikaitkan dengan gejala keresahan dan kemurungan.

Dalam beberapa kajian di Afrika menunjukkan, pengguna produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri bukan organik dalam krim pencerah kulit selama satu hingga sembilan bulan dikesan menunjukkan gejala ‘sindrom nefrotik’ iaitu suatu keadaan di mana kandungan protein yang tinggi dalam air kencing. Pengurangan gelaja sindrom nefrotik ini dapat dilihat dalam hampir tiga per empat daripada golongan wanita setelah mereka berhenti menggunakannya.

Selain daripada itu, individu lain atau bayi juga boleh mendapat pendedahan kepada merkuri di rumah. Pendedahan ini boleh berlaku melalui sedutan wap merkuri daripada krim yang mengandungi merkuri dan dipakai oleh ahli kaum keluarga lain dalam rumah. Bayi juga boleh mendapat keracunan raksa melalui mulut sekiranya bayi tersebut menyentuh kulit ibunya yang menggunakan produk kosmetik yang mengandungi merkuri. Bayi yang menyentuh krim itu tadi akan memasukkan jari atau tangannya ke dalam mulut seterusnya menyebabkan merkuri tersebut masuk ke dalam tubuh dan memberi kesan.

Merkuri yang digunakan dalam sabun atau bentuk kosmetik lain secara amnya akan menjadi bahan kumbahan domestik apabila dibasuh dan seterusnya terlepas ke alam sekitar. Merkuri ini kemudiannya akan bertukar kepada bentuk ‘metil-merkuri’ dan akhirnya boleh memasuki sistem kitaran makanan manusia melalui ikan yang tercemar dengan metil-merkuri ini. Wanita hamil yang mengambil ikan yang tercemar dengan metil-merkuri pula akan memindahkan bahan tersebut kepada bayi dalam kandungannya yang boleh menyebabkan gangguan dalam perkembangan otak dan saraf bayi tersebut.

Menurut Mohd Dziehan Mustapa lagi, produk kosmetik dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Produk kosmetik yang ingin dikilang, diimport, diedar atau dipasarkan dalam Malaysia perlu dinotifikasikan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu.

Syarikat yang memasarkan produk kosmetik perlu memastikan produk mereka selamat, berkualiti serta sebarang tuntutan atau khasiat produk yang dinyatakan pada label atau iklan dapat disokong dengan bukti dokumentasi yang lengkap. Melalui proses kosmetik bernotifikasi ini, pihak BPFK, KKM berupaya untuk menyaring dan menyekat produk-produk kosmetik yang tidak memenuhi keperluan regulatori, mengandungi bahan terlarang atau mengandungi bahan yang melebihi had yang dibenarkan daripada memasuki pasaran dalam negara atau dinotifikasikan.

Usaha BPFK, KKM dalam melindungi pengguna dan kesejahteraan rakyat tidak terhenti dengan proses notifikasi produk kosmetik sahaja. BPFK juga menjalankan aktiviti pemantauan produk kosmetik pasca pemasaran secara berterusan bagi memastikan produk kosmetik yang dijual mematuhi keperluan undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan.

BPFK akan mengambil sampel produk kosmetik dalam pasaran untuk diuji dalam makmal melalui pelbagai kaedah seperti, membeli produk kosmetik dalam pasaran dan bekerjasama dengan Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM untuk mendapatkan sampel daripada syarikat. BPFK juga melakukan pemeriksaan di kilang-kilang pengeluar produk kosmetik agar pengeluar mematuhi keperluan Amalan Perkilangan Baik (GMP), pemantauan label produk serta menyaring iklan-iklan kosmetik.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang seperti merkuri atau raksa yang tidak memenuhi garis panduan daripada KKM adalah tidak dibenarkan dan haram untuk digunakan. Ini kerana raksa atau merkuri itu sendiri sudah terbukti memberi kesan mudarat dan berbahaya kepada penggunanya seperti mana contoh-contoh yang kami sudah sebutkan di atas. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Oleh yang demikian, kami juga menasihatkan para pembaca sekalian atau pengguna yang ingin menggunakan apa-apa produk kosmetik sebagaimana ia juga ditekankan oleh KKM, untuk menyemak terlebih dahulu label produk pencerah kulit, anti penuaan atau apa sahaja produk kosmetik untuk kulit sebelum menggunakannya, bagi memastikan terdapat bahan ini ataupun tidak dalam  kandungannya. Selain itu, kami juga menasihatkan jika produk kosmetik yang digunakan tiada label atau tiada informasi yang jelas berkaitan kandungannya, sebaiknya berhenti menggunakannya kerana garis panduan pelabelan kosmetik oleh pihak BPFK KKM, menyatakan keperluan untuk memberi informasi berkaitan isi kandungan pada semua label produk kosmetik. Justeru pengguna harus sentiasa mengamalkan amalan membaca label sebelum menggunakan produk kosmetik.

Seterusnya, bagi pengguna yang mengesyaki telah menggunakan produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri, maka terus berhenti menggunakannya serta merta. Basuh tangan dan bahagian badan yang telah terdedah kepada produk kosmetik tersebut. Sebelum membuang produk kosmetik yang mengandungi merkuri, balut produk kosmetik tersebut dalam bekas plastik kedap udara dan pastikan tiada sebarang kebocoran. Perkara ini penting agar memastikan alam sekitar kita tidak tercemar dengan merkuri yang dikhuatiri boleh memasuki rantaian makanan manusia pada masa akan datang.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota kaki:

[1] Lihat Laman Facebook Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/bahaya-merkuri-dalam-kosmetikkosmetik-adalah-rakan-karib-bagi-kebanyakkan-wanita/10153245586501237/. Lihat juga https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/44882. Diakses pada 30 April 2024.

[2] Lihat Laman Facebook Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/bahaya-merkuri-dalam-kosmetikkosmetik-adalah-rakan-karib-bagi-kebanyakkan-wanita/10153245586501237/. Lihat juga https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/44882. Diakses pada 30 April 2024