#5838: Isteri Tidur dalam Keadaan Marah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isteri tidur dalam keadaan marah, sedih dan menangis, lalu malaikat akan mencatat apa yang dilakukan oleh suami. Soalan saya, adakah memang terdapat nas al-Quran atau hadith tentang ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan saudara, kami membawakan terlebih dahulu hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَاتَتِ الْمَرْأَةُ مُهَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجِهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita bermalam dengan meninggalkan tempat tidur suaminya, maka para malaikat melaknatnya hingga dia kembali ke tempat tidur suaminya.”

Riwayat al-Bukhari (5194) dan Muslim (1436)

Berdasarkan hadith ini, laknat yang disebutkan itu kerana perbuatan wanita meninggalkan tempat tidur suami itu merujuk kepada wanita yang menolak untuk bersama dalam keadaan dia mampu. Perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang boleh menjatuhkan wanita ke dalam kancah nusyuz, dan isteri yang nusyuz itulah yang dilaknat oleh malaikat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 90-92)

Adapun persoalan nas yang saudara ajukan, ia bersumberkan sebuah kisah yang tidak sahih. Syeikh ‘Alawi bin ‘Abd al-Qadir al-Saqqaf menyatakan di dalam siri hadith-hadith tidak sahih di laman al-Durar al-Saniyyah seliaan beliau, bahawa ia merupakan hadith yang tidak sahih, suatu pendustaan atas nama Rasulullah SAW. Riwayat tersebut berbunyi:

أَوْصَى الرَّسُولُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عِنْدَمَا ارْتَفَعَتْ نَبْرَةُ صَوْتِهِ عَلَى زَوْجَتِهِ بِأَنْ قَالَ لَهُ: تَحَمَّلَتْكَ وَأْطْفَالَكَ؛ تَغْسِلُ لَكَ، وَتَقِفُ عَلَى رِجْلَيْهَا كَيْ تَصْنَعُ لَكَ قُوتَ يَوْمِكَ، وَتَغْسِلُ لَكَ، وَتَعْتَنِي بِكَ، أَوَلَيْسَ مِنْ حَقِّهَا أَنْ تَحْتَرِمَهَا؟! تُقَدِّرُهَا؟! وَلَا تَنْقُصُ عَلَيْهَا قُوتًا أَوْ حَاجَةً؟ فَوَاللهِ لَوْ أَغْضَبَ زَوْجٌ زَوْجَتَهُ وَقَفَى عَنْهَا رَاحِلًا تَارِكًا إِيَّاهَا حَزِينَةً، فَإِنَّ اللهَ يَكْتُبُ لَهُ فِي كُلِّ خُطْوَةٍ لَعْنَةً، وَيُبْعِدُ عَنْهُ رِزْقَهُ، وَيُقَلِّلُ مِنْ عَافِيَتِهِ، وَيُكْتَبُ لَهُ مِنْ كُلِّ دَمْعَةٍ مِنْ عَيْنَيْهَا أَلْفَ جَمْرَةٍ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ، نِصْفُهَا فِي الدُّنْيَا، وَالنِّصْفُ الآخَرُ فِي الآخِرَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewasiatkan kepada ‘Ali bin Abi Talib R.A, ketika mana meningkat intonasi suaranya di hadapan isterinya (Fatimah R.Anha), Baginda bersabda: ‘Dia menguruskanmu dan anakmu; dia membersihkan diri untukmu, berdiri untuk menyediakan makanan harian, dia membersihkan diri untukmu, menjaga kepentinganmu, tidakkah sepatutnya kamu menghormatinya?! Menghargainya?! Kamu tidak menguranginya keperluan harian dan hajat? Demi Allah, jika seseorang suami membuat isterinya marah, meninggalkannya dalam keadaan sedih, maka Allah akan melaknat setiap langkahnya, dijauhkan rezekinya, dikurangkan kesihatannya, dan ditetapkan baginya bara api atas setiap titisan air mata si isteri setiap malam, sebahagiannya di dunia dan sebahagiannya di akhirat’.”[1]

Riwayat ini tidak benar periwayatannya daripada Rasulullah SAW, sebaliknya ia hanyalah rekaan semata-mata yang tidak ada sumber rujukan baginya. Ia telah banyak disebarkan oleh sebahagian pihakm yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan ingin menakut-nakutkan para suami dari mengguriskan hati isterinya. Jelas sekali di dalam riwayat ini terdapat hiperbola dalam menetapkan suatu balasan yang melampaui batas berbanding kesalahan kecil yang dilakukannya.

Sekiranya benar tujuan meriwayatkan kisah di atas bagi menasihati para suami, alangkah baiknya kita berpada dengan riwayat-riwayat yang sahih daripada Rasulullah SAW berbanding rekaan serta pendustaan begini.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menasihati para sahabatnya, sebagaimana yang sahih dalam hadith Abu Hurairah R.A, Baginda bersabda:

اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّ المَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Maksudnya: “Nasihatilah para wanita akan kebaikan, kerana sesungguhnya wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang paling bengkok. Bahagian yang paling bengkok dari tulang rusuk ialah pangkalnya, jika engkau hendak meluruskannya ia akan patah dan jika engkau biarkan maka ia akan tetap bengkok. Maka nasihatilah (untuk bersikap baik) terhadap wanita.”

Riwayat al-Bukhari (3331) dan Muslim (1468)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini memberitahu untuk para lelaki berlembut dengan kaum wanita dan berlaku ehsan dengan mereka, bersabar dengan ketidak tentuan akhlak mereka, dan kekurangan akal mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/57)

Rasulullah SAW bersabda lagi dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:

خَيْرُكُمْ خُيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.”

Riwayat al-Tirmizi (3895), beliau menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib Sahih. Al-Albani pula mensahihkan hadith ini dalam al-Silsilah al-Sahihah (1174)

Hadith ini menganjurkan supaya berbuat baik kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, 10/269)

Dalam hadith lain daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُحَرِّجُ حَقَّ الضَّعِيفَيْنِ الْيَتِيمِ وَالْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Sungguh aku menganggap berat (dosa penindasan) hak dua kaum yang lemah: yatim dan wanita.”

Riwayat Ibn Majah (3678), Ahmad (9664), al-Nasa’ie (9149). Al-Nawawi di dalam Riyadh al-Salihin (146) dan al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah (1015) menghukumkan hadith ini Hasan.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara berkenaan kesahihan kisah yang saudara ajukan. Semoga kita semua diberikan kefahaman yang sahih, serta dapat beramal dengan kefahaman tersebut. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://dorar.net/fake-hadith/517. Diakses pada 30 April 2024.