#5843: Mencium Batu Nisan Ketika Menziarahi Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum mencium batu nisan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kubur ialah tempat disemadikan mayat selepas berlakunya kematian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Para ulama menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan kubur dalam Ahkam al-Janaiz. Dalam Islam, kubur mempunyai haknya yang perlu dijaga oleh orang yang hidup. Rasulullah SAW mengajarkan kita beberapa hak. Antaranya, menziarahi kubur, mengucapkan salam, membaca doa untuk ahli kubur, tidak duduk di atas kubur, tidak memuja kubur, dan jadikanlah kubur sebagai tempat untuk mengingati akhirat. Banyak nas-nas yang menunjukkan ke arah itu.

Kami nyatakan betapa Islam menggalakkan menziarahi kubur. Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Persoalan di atas telah dijawab oleh Rasulullah SAW sendiri. Diriwayatkan daripada Al-Muttalib bin Abdullah bin Hanthab RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم حَمَلَ حَجَرًا فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَأْسِ عُثْمَانَ بْنِ مَظْعُونٍ وَقَالَ: : أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي لِأَدْفِنَ إلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW mengangkat sebuah batu yang besar lalu diletakkan di sisi kepala Uthman bin Maz’un RA di kuburnya dan bersabda: “Aku mengetahui dengannya kubur saudaraku dan mengebumikan di sisinya, mereka yang mati dari kalangan keluargaku.”

Riwayat Abu Dawud (3208)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan amalan menziarahi kubur merupakan amalan yang disyariatkan dalam islam. Hal ini kerana dengan menziarahi kubur ia akan mengingatkan seseorang kepada hakikat kematian. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat al-Nasa’ie (2034) dan Ibn Majah (1569)

Dalam isu ini kami katakan amalan mencium batu nisan merupakan amalan yang mungkar yang perlu dijauhi ketika menziarahi kubur. Perkara tersebut dilarang kerana ia merupakan satu bentuk berlebih-lebihan dalam ritual menziarahi kubur. Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِى الدِّيْنِ، فإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ قَبْلِكُمْ بِالْغُلُوِّ فِى الدِّيْنِ

Maksudnya: “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.”

Riwayat Ibn Hibban (3871)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa Abu al-Hasan menyatakan:   Memegang kubur dan menciumnya, sebagaimana yang dilakukan oleh orang awam sekarang, termasuk dalam bid’ah yang tercela secara syarak. Oleh itu, sepatutnya dielakkan dan orang yang melakukannya perlu ditegah. (Lihat al-Majmu’, 5/311)

Begitu Imam al-Ghazali menyatakan bahawa: Tidak termasuk dalam sunnah perbuatan menyentuh atau mencium dinding kubur, kerana menyentuh dan mencium kubur adalah adat perbuatan  orang Nasrani dan Yahudi. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 1/259,271)

Justeru kami tegaskan di sini bahawa amalan mencium kubur atau batu nisan bukanlah ajaran agama Islam, tetapi merupakan adat amalan bukan Islam. Sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk tidak mengikuti amalan-amalan yang bukan dari ajaran Islam. Kami ingin menasihati kepada sesiapa yang ingin menziarahi kubur agar melaksanakan amalan sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda, iaitu dengan memberi salam kepada ahli kubur, memohon keampunan, dan rahmat bagi mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Wallahua’lam.