#5845: Cara Menundukkan Sifat Tidak Bersyukur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana caranya untuk menundukkan sifat tidak bersyukur?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

Maksudnya: “Dia turut memberikan segala apa yang kamu semua minta daripada-Nya. Jika kamu ingin menghitung nikmat-nikmat Allah maka kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia sangat zalim dan tidak mensyukuri nikmat Allah dan sangat mengingkarinya.”

(Surah Ibrahim: 34)

Allah SWT menyediakan segala apa hajat yang dipinta oleh manusia dalam semua keadaannya, kemudian Dia menggambarkan betapa besarnya nikmat tersebut sehingga para hamba-Nya tidak mampu untuk menghitung nikmat tersebut, apatah lagi mensyukurinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/439)

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, kita seharusnya menanamkan rasa syukur dalam diri pada segenap aspek kehidupannya. Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:

وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar menyembah-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyatakan: “Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/317)

Ini thabit dalam hadith Suhaib bin Sinan al-Rumi R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan lalu dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Munawi menukilkan kalam Imam al-Tibi, katanya: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Menjawab persoalan yang diajukan saudara, meningkatkan kesedaran terhadap nikmat Allah SWT amatlah penting dengan cara memahami kesan dari kesyukuran tersebut, iaitu dilipatgandakan lagi nikmat tersebut. Sebaliknya apabila suatu nikmat itu tidak disyukuri, kelak Allah SWT akan membalas semula dengan azab-Nya. Firman Allah SWT:

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

(Surah Ibrahim: 7)

Yakni, sekiranya seseorang itu mensyukuri nikmat Allah SWT, nescaya akan ditambah lagi nikmat tersebut. Sebaliknya jika nikmat itu dikufuri dengan cara menyembunyikannya dan tidak berterima kasih, maka Allah akan mengazab orang tersebut dengan menarik semula nikmat-Nya dan memberikan balasan atas kekufurannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/412)

Meskipun antara sifat orang yang beriman itu sentiasa bersyukur, kita masih tidak dapat menafikan bahawa iman itu sendiri boleh bertambah dan berkurang. Ini warid dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa beliau menyebutkan dengan jelas:

الْإِيمَانُ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ

Maksudnya: “Iman itu bertambah dan berkurang.” (Lihat al-Sunnah oleh Abu Bakar al-Khallal, 4/38; Syarh Usul I‘tiqad Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, 5/1016)

Dinukilkan juga kalam Yahya bin Sa‘id al-Qattan, katanya: “Aku tidak tahu seorang pun dari kalangan sahabat kami melainkan mereka di atas sunnah kami tentang iman. Mereka mengatakan bahawa iman itu bertambah dan berkurang.” (Lihat Masa’il Ahmad; Riwayat Ibn Hani’, 2/162)

Oleh yang demikian, kita diajar untuk memohon kepada Allah SWT agar hati kita dilimpahi dengan rasa kesyukuran kepada-Nya. Menggambarkan betapa besarnya kepentingan rasa syukur ini, sehingga Nabi Allah Sulaiman A.S menadah tangan berdoa kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

(Surah al-Naml: 19)

Syeikh Mustafa al-Maraghi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Seolah-olah Nabi Sulaiman A.S berdoa: Ilmu pengetahuan merupakan matlamatku yang telah dikecapi, tidak ada lagi selepas itu selain aku memohon taufiq akan sentiasa bersyukur atas inkmat tersebut dengan mengerjakan amal soleh yang Allah SWT redhai, dan aku dimasukkan bersama para solihin dari kalangan atuk-atuk kami para nabi serta selain mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 19/129)

Rasulullah SAW sendiri pernah mengajarkan para sahabat Baginda untuk sentiasa berdoa memohon rasa syukur. Ini disebutkan dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW mengajarkan doa:

وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ مُثْنِينَ بِهَا قَابِلِيهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا

Maksudnya: “Dan jadikanlah kami golongan yang bersyukur terhadap nikmat-Mu, memuji-Mu dengan nikmat tersebut, menerimanya serta sempurnakanlah nikmat-nikmat tersebut ke atas kami.”

Riwayat Abu Daud (969), Ibn Hibban (996), al-Tabarani (10426) dan al-Hakim (977)

Beginilah serba ringkas pesanan kami buat saudara yang bertanya, semoga kita semua dikurniakan rasa syukur terhadap segala nikmat yang dilimpahkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam