#5848: Tersentuh Ibu Mentua Tidak Batal Wuduk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum jika menantu dalam keadaan berwuduk bersentuhan dengan ibu mentua? Batal atau tidak wuduknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, Allah SWT telah menjelaskan wanita-wanita yang dikategorikan sebagai mahram, sama ada mahram selama-lamanya atau mahram secara sementara. Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎﴿٢٣﴾‏ ۞ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۖ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Bagi lelaki mahramnya yang bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) boleh jadi disebabkan keturunan, perkahwinan,  dan susuan. Antaranya:

  • Ibu dan ke atas, termasuk nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.
  • Anak perempuan dan ke bawah, termasuk cucu perempuan.
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan.
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri.
  • Menantu perempuan.
  • Ibu mentua.
  • Anak tiri perempuan.
  • Ibu susuan dan ke atas.
  • Adik beradik perempuan susuan.

Dan perempuan yang haram untuk dikahwini secara sementara adalah:

  • Adik beradik ipar, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan kakaknya.
  • Wanita yang masih bersuami.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ayah, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ibu, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.

Ini berdasarkan firman Allah SWT di atas, dan juga hadith Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).”

Riwayat al-Nasa’i (3288)

Justeru, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa ibu mentua termasuk dalam mahram mu’abbad bagi menantu. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya:Dan ibu-ibu isteri kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan, pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/31-32).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa menantu yang dalam keadaan berwuduk jika bersentuhan atau bersalaman dengan ibu mentuanya sekalipun tanpa berlapik, wuduknya tidak terbatal kerana ibu mentuanya itu termasuk dalam golongan wanita yang haram dikahwininya selama-lamanya (mahram mu’abbad).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”