#5852: Tatabbu’ Al-Rukhas dalam Pengamalan Ibadat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya telah mengambil, selepas siap daripada makeup suami menyentuh saya, bolehkah saya bertalfiq dengan mazhab hanbali disebabkan saya malas untuk berwuduk semula ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tatabbu’ al-Rukhas adalah perlakuan seseorang yang mengumpulkan dan mengambil pendapat yang paling mudah daripada setiap mazhab terhadap masalah-masalah yang berlaku kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, 2/1182)

Dalam masalah ini terdapat khilaf di antara ulama sama ada dibenarkan atau tidak:

Pendapat Pertama: Imam Ghazali berpendapat bahawa Tatabbu’ al-Rukhas dalam mazhab-mazhab adalah terlarang kerana ia lebih mengikut hawa nafsu manusia. Pendapat ini adalah yang terkuat di dalam mazhab Maliki, dan Hanbali. Dinukilkan daripada Ibnu Abdil Bar dan Ibnu Hazim mereka berkata, tidak boleh bagi seseorang awam (muqallid) beramal dengan Tatabbu’ al-Rukhas secara ijma’ kerana ia membawa kepada penghapusan taklif dalam setiap perkara khilaf. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/1182)

Pendapat Kedua: Imam Qarafi, kebanyakan ulama Syafie dan pendapat terkuat dalam Mazhab Hanafi berpendapat bahawa Tatabbu’ al-Rukhas adalah dibolehkan, mereka beralasan tiada halangan daripada syariah kerana seseorang itu boleh mengikut pendapat mudah apabila di sana terdapat jalan untuk mengambil pendapat yang mudah itu selama dia belum bertaqlid dengan pendapat mujtahid yang lain dalam masalah yang sama kerana seseorang muqallid tidak boleh berpatah balik terhadap pendapat yang dia sudah beramal. (Lihat Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah oleh Syeikh Hasanain Makhluf hlm. 76)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan situasi di atas lebih kepada isu tatabu’ al-rukhas. Oleh yang demikian, seseorang yang ingin mengambil pandangan yang lebih ringan daripada mazhab-mazhab yang lain dalam sesuatu situasi, maka dia hendaklah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama.

Disebutkan dalam Kitab al-Tamazhub-Dirasah Nazariah al-Naqdiyyah bahawa: dibolehkan seseorang  untuk Tatabbu’ al-Rukhas dengan syarat-syarat dan dhawabit sebagaimana berikut:

  • Tidak menimbulkan apa yang bertentangan dengan hukum hakim, iaitu apa yang bertentangan dengan kesepakatan umat Islam, atau prinsip-prinsip, atau nas yang tidak boleh ditafsirkan, atau analogi yang jelas.
  • Dibolehkan mengikut keringanan dengan syarat: Bahawa orang yang mengikutinya tidak bertentangan dengan perkara yang disepakati.
  • Dibenarkan untuk mengikut keringanan dengan syarat bahawa tidak mempermain-mainkan agama atau bersikap bermudah-mudahan terhadapnya.
  • Tidak menyebabkan orang yang mengikutinya membuat sesuatu fakta yang tidak disepakati oleh setiap daripada kedua-dua mazhab.
  • Penetapan hukum-hukum diberikan rukhsah oleh para fuqaha adalah dikira dari segi syarak, dan tidak digolongkan sebagai pandangan-pandangan yang jarang atau ganjil.
  • Hendaklah keperluan untuk mengambil keringanan adalah disebabkan oleh kesukaran, sama ada itu keperluan umum masyarakat, peribadi, atau individu.
  • Hendaklah ketika mengambil rukhsah, tidak bertalfiq dengan talfiq yang dilarang.
  • Pengambilan pandangan itu tidak boleh menjadi alasan untuk mencapai tujuan yang tidak syari’i. (Kitab al-Tamazhub-Dirasah Nazariah al-Naqdiyyah, 2/1008-1009)

Di antara contoh perbuatan tatabbu’ rukhas adalah seseorang itu bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah bahawa menyentuh seorang perempuan tidak membatalkan wuduk dan dalam masa yang sama dia bertaqlid kepada Imam al-Syafi‘i bahawa keluarnya darah tidak membatalkan wuduk, kemudian dia menunaikan solat. Solat sebegini tidak dianggap sebagai sah di sisi kedua-dua imam.

Begitu juga contoh yang lain, seseorang itu berkahwin tanpa ada wali, mahar dan juga saksi. Pernikahan yang tidak terdapat ketiga-tiganya ini adalah tidak sah di sisi para ulama.

Contoh-contoh di atas ini menunjukkan sifat bermudah-mudahan seseorang itu dalam memilih mana-mana pandangan ulama mazhab yang menepati hawa nafsu dan kemudahan dirinya sedangkan kita dituntut untuk memilih pandangan yang kuat berdasarkan dalil.

Justeru, dalam isu ini kami berpandangan bahawa jika saudari berpegang kepada mazhab al-Syafi’i, adalah tidak wajar bagi saudari untuk mengambil keringanan dengan bertaklid kepada mazhab lain, kecuali dalam situasi di mana terdapat masyaqqah atau keperluan yang mendesak yang membenarkan tindakan tersebut. Kami menganggap Tatabu’ al-Rukhas ini adalah tidak dibenarkan sama sekali apabila bertentangan dengan prinsip-prinsip syara’, dan semestinya harus dijauhi jika bertujuan semata-mata memenuhi hawa nafsu atau kehendak peribadi.

Oleh yang demikian, mengikuti satu mazhab serta mendalaminya, kami fikir lebih utama untuk diamalkan bagi melihat keseragaman dan juga jalan keluar dari khilaf serta mengelakkan pandangan orang lain yang mana boleh menimbulkan persepsi, selagi mana perkara tersebut bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu’lam