#5854: Pesta Hiburan dalam Kereta Api

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Beberapa hari yang lalu telah tular isu berkenaan satu pesta hiburan yang melampau dalam kereta api. Apakah pandangan dan komen Dato’ berkenaan isu ini. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا ٧٠ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), (70) Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

(Surah al-Ahzab:70-71)

Perbuatan maksiat dan derhaka adalah bertentangan dengan ketaatan, atau bertentangan dengan perintah Allah SWT. Apabila seseorang tidak mematuhi atau melakukan yang bertentangan dengannya, maka dikatakan: Hamba itu telah menderhakai Tuhannya iaitu  dengan melakukan apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, atau meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana dia memilih untuk dirinya sendiri selain dari apa yang dipilih oleh Allah dan Rasul-Nya dalam  menurut hukum syarak, dan inilah kesesatan yang nyata.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

(Surah al-Ahzab: 36)

Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Jika kemaksiatan itu berupa penolakan dan keengganan untuk menerima, maka ia adalah kesesatan kekufuran. Jika kemaksiatan itu berupa perbuatan dan dalam masa yang sama  menerima perintah dan meyakini kewajipannya, maka ia adalah kesesatan pada kesalahan dan kefasikan. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 3/32)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada dasarnya, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur. Namun, hiburan menurut perspektif Islam harus dipandu dan dinilai berdasarkan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama, serta tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang dilarang atau bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, Islam membenarkan hiburan kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ

Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.’”

Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)

Tambahan lagi, ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun dalam isu ini, kami melihat pesta hiburan yang diadakan tersebut adalah melampau dan melanggar batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Tambahan lagi, ia jelas menyerupai budaya Barat dengan pergaulan dan percampuran yang bebas antara lelaki dan perempuan. Diriwayatkan daripada  Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Ibn Abd al-Bar menyebut: Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka). (Lihat  al-Tamhid, 6/80)

Oleh itu, Keadaan ini bukan sahaja menyalahi prinsip-prinsip moral dan etika dalam Islam, tetapi juga boleh membawa kepada kemudaratan sosial seperti keruntuhan akhlak dan nilai-nilai agama.

Bilal bin Saʿd dalam kenyataannya berkaitan dengan maksiat beliau menyebutkan bahawa: Jika maksiat dilakukan secara sembunyi, ia tidak akan memudaratkan melainkan pelakunya. Sebaliknya jika maksiat dilakukan secara terang-terangan dan ia tidak dibendung, ia akan memudaratkan masyarakat. (Lihat al-Zuhd wa al-Raqaiq oleh ibn al-Mubarak, hlm. 1350, Syu’ab al-Iman, oleh Abu Bakar al-Baihaqi, 10/80)

Berhubung dengan hiburan ini juga, di sana terdapat garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa MKI kali ke-68 bertarikh 12 April 2005  bagi memastikan hiburan tersebut mencapai maksud dan selari dengan prinsip Islam. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut:

Program Hiburan

  • Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
  • Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan ramai orang.
  • Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam
  • Tidak disertai oleh perbuatan haram atau maksiat.
  • Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Persembahan Muzik

  • Tidak menimbulkan gerak geri liar.
  • Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
  • Tidak melalaikan.

Lirik

  • Kalimah syahadah dalam Bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
  • Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak dan memberi perangsang melakukan dosa.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
  • Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
  • Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur mengutuk nasib dan lucah .
  • Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
  • Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

Persembahan Artis

  • Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Tidak melakukan gerak-geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
  • Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

Persembahan Tarian

  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
  • Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
  • Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
  • Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah memastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

Inilah sepertimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Hiburan dalam Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-68 (hlm. 3-5).[1]

Justeru, adalah penting bagi kita memastikan setiap bentuk hiburan yang dianjurkan selari dengan ajaran Islam dengan menekankan adab dan tatasusila yang sewajarnya, serta menghindari unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan moral masyarakat. Di sini juga kami mengambil kesempatan menasihati kepada para pemuda pada harini agar sentiasa mendalami ilmu agama dan mendekati para alim ulama agar sentiasa berada di atas landasan yang betul. Begitu juga kepada pihak berwajib mestilah mengambil cakna terhadap apa-apa anjuran aktiviti hiburan yang diadakan adalah selari dengan nilai-nilai islam dan tidak  melanggar ketetapan syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_hiburan_dalam_islam.pdf . Diakses pada 22 Mei  2024.