#5856: Menegur Ketua yang Keluar ketika Waktu Bekerja untuk Melakukan Kerja Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara kita orang bawahan ingin menegur ketua atau ketua jabatan kita yang keluar semasa waktu kerja untuk melakukan kerja lain seperti menguruskan jenazah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱلْعَصْرِ (١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-’Asr: 1-3)

Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/590)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan dalam isu ini kita perlu ada hikmah dalam menegur seseorang. Ini kerana kadangkala seseorang itu tahu akan kesilapannya, namun disebabkan cara yang kurang menyenangkan, ia  akan menyebabkan ketidakpuasan hati sesama pihak. Oleh sebab itu, ini perkara yang amat penting kerana ia termasuk dalam uslub dakwah.

 Antara adab-adab yang boleh dipupuk di dalam diri kita adalah:

  • Ikhlas kerana Allah dalam mencari kebenaran.
  • Berlapang dada dalam masalah yang diperselisihkan.
  • Tidak mengeluarkan kata-kata kesat.
  • Menghormati pihak yang berbeza.
  • Tidak menuduh pihak yang berbeza itu dengan tuduhan yang jahat seperti sesat.

Justeru, kami katakan perkara ini sebenarnya perlu dibawa berbincang bersama mengenai polisi dan peraturan syarikat. Sekiranya ada perkara-perkara keuzuran yang tidak dapat dielakkan, maka sebaiknya ia kembali kepada budi bicara sesama pekerja.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

 اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a’lam.