#5857: Kesan Pengambilan Darah Terhadap Kesahan Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya batal atau tidak puasa jika ambil darah untuk diperiksa ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. (Lihat Fath al-Bari, 4/115)

Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu:

  • Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
  • Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
  • Sengaja muntah.
  • Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
  • Istimna’ iaitu mengeluarkan air mani.
  • Datang darah haid atau nifas.
  • Gila dan murtad.

Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241-245)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan mengambil darah bagi tujuan pemeriksaan ketika sedang menjalani ibadah puasa tidaklah membatalkan puasa sekiranya darah yang diambil itu dalam jumlah yang sedikit mengikut uruf dan sekadar hajat yang diperlukan untuk pemeriksaan sahaja.

Dalam isu ini al-Lajnah al-Lajnah al-Daimah dalam fatwanya menyatakan bahawa: Jika darah yang diambil darinya sedikit mengikut uruf, maka tidak wajib baginya untuk mengganti hari itu. Tetapi jika banyak mengikut uruf, maka hendaklah dia mengganti hari itu sebagai keluar daripada khilaf dan mengambil  langkah berjaga-berjaga bagi berlepas diri dari tanggungjawab. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 10/263)

Syeikh Abd Aziz bin Baz rahimahullah ditanya mengenai pengambilan darah pada bulan Ramadhan untuk tujuan pemeriksaan. Lalu beliau menjawab: Pemeriksaan seperti ini tidak membatalkan puasa malah ia dimaafkan kerana ia adalah sesuatu yang diperlukan dan bukan dari jenis perkara yang membatalkan puasa yang telah sedia maklum daripada syarak. (Lihat Fatawa Islamiyyah, 2/133, Fatawa al-Tib wa al-Mardha, hlm.113)

Begitu juga disebutkan dalam al-Siyam fi Islam fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah (hlm.197) menyatakan : mengambil sedikit darah untuk dianalisis, dan seumpamanya, tidak membatalkan puasa; kerana ia bukan berbekam, dan tidak sama dengan berbekam; kerana ia tidak memberi kesan pada tubuh seperti kesan berbekam.

Justeru, berdasarkan pandangan para ulama yang telah disebutkan di atas, kami katakan sekiranya seseorang itu melakukan pemeriksaan kesihatan yang memerlukan pengambilan darah bagi tujuan pemeriksaan, maka perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa sekiranya darah yang diambil itu dalam kuantiti atau jumlah yang sedikit mengikut uruf. Namun sekiranya boleh ditangguh pemeriksaan tersebut sehingga selepas berbuka puasa maka itulah yang lebih baik sebagai langkah ihtiyat (berjaga-berjaga).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahua’lam.