#5858: Pemberian Ibubapa Menampung Kehidupan Rumahtangga Anaknya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mahu bertanya, katakan ibu bapa seseorang itu kaya dan kekayaannya itu mampu menampung sehingga memberi anaknya jumlah yang sama banyak dengan gaji pekerja sebulan. Adakah anak tersebut boleh menggunakan pemberian tersebut sebagai tampungan seorang wanita yang dijadikan isterinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila seorang itu telah memberi suatu hadiah atau barang kepada seseorang, maka ketika itu barangan tersebut bukan lagi menjadi milik kerana telah bertukar hak milik. Maka, dalam isu ini, anak tersebut boleh menggunakan duit pemberian ibubapanya untuk menampung isterinya.

Namun, meskipun ibubapanya memberi duit pembelanjaan yang mewah, suka kami sarankan agar anak tersebut mencari kerja sambilan yang lain seperti jualan online atau mengajar online dan seumpamanya. Dengan cara ini, sedikit sebanyak menjadikan anak tersebut lebih matang dalam selok belok kehidupan.

Semoga Allah memudahkan urusan anda dalam mendirikan rumahtangga, serta jalanilah tanggungjawab sebagai seorang suami dengan sebaiknya kerana ia merupakan amanah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)