#5862: Melatah Membatalkan Wuduk?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah melatah boleh membatalkan wuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu perkataan “melatah” ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, melatah adalah mengeluarkan perkataan atau mem­buat sesuatu dengan tidak sengaja kerana terperanjat dan sebagainya.[1]

Manakala wuduk pula berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53).

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Dalam menjawab soalan di atas, di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sekadar melatah tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Namun, jika seseorang itu melatah dengan disertai perkara yang membatalkan wuduk seperti misalnya dia terkencing, maka wuduknya terbatal bukan disebabkan dia melatah tetapi kerana terkencing tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=melatah#1. Diakses pada 14 Mei 2024.